Larangan Berhijab di Azerbaijan: Bahaya Sekularisme Terhadap Umat Islam

Azerbaijan, sebuah negara majoriti Muslim, kini mencetuskan kontroversi apabila pelajar dan guru yang berhijab (bertudung) dilaporkan dihalang memasuki sekolah susulan penguatkuasaan peraturan baharu pakaian seragam pada September 2026. Di sebalik alasan mempertahankan pendidikan sekular, kerajaan Azerbaijan mendakwa peraturan tersebut bukan menyasarkan Islam, sebaliknya bertujuan menguatkuasakan undang-undang pendidikan, mengekalkan sifat sekular institusi pendidikan, menghalang eksploitasi politik terhadap agama serta melindungi ketenteraman awam daripada kecenderungan ekstremis.
Apa yang berlaku di Azerbaijan ini bukanlah perkembangan terpencil dan berdiri sendiri. Serangan terhadap Islam, termasuklah bab hijab oleh negara-negara Barat sangat memberi kesan dan mempengaruhi negeri-negeri Muslim, lebih-lebih lagi ke atas penguasa sekular yang senantiasa mencari jalan untuk menunjukkan kesetiaan dan kebersamaan mereka dengan Barat.
Jika larangan hijab dilakukan oleh banyak negara Barat, ini bukanlah suatu yang pelik melihat kepada hakikat kebencian mereka terhadap Islam. Namun apabila sebuah negara yang pemimpinnya mengaku Islam dengan penduduknya lebih 96% Muslim seperti Azerbaijan, bertindak menghalang pemakaian hijab di sekolah-sekolah, hal ini sungguh tidak dapat diterima oleh akal dilihat dari sudut mana sekali pun.
Dalam Islam, hijab bukanlah sekadar pakaian, lambang budaya atau persoalan kebebasan peribadi. Bagi Muslimah, pemakaiannya merupakan sebahagian daripada tuntutan agama, ketaatan dan pengabdian kepada Allah (swt). Lebih dari itu, hijab merupakan lambang kemuliaan dan maruah seorang wanita Muslim. Kemuliaan dan maruah ini bukan sahaja wajib dijaga oleh wanita berkenaan secara individu, bahkan wajib dijaga oleh masyarakat dan paling penting dan utama dijaga oleh negara.
Hijab merupakan penutup aurat wanita, dan Islam sangat menjaga aurat wanita sebagai memuliakan kaum Hawa tersebut. Tidak ada kompromi kepada sesiapa pun yang cuba menjatuhkan kemuliaan atau maruah wanita dengan memaksa wanita untuk membuka hijab mereka. Inilah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) ketika aurat seorang Muslimah dipermainkan oleh seorang Yahudi di pasar Bani Qainuqa’.
Terjadi satu peristiwa ketika seorang Muslimah duduk di sebuah kedai emas milik salah seorang Yahudi, tiba-tiba datang seorang Yahudi dari arah belakang Muslimah itu secara sembunyi-sembunyi, lalu mengikat baju Muslimah itu sehingga apabila dia berdiri, auratnya pun terus tersingkap. Orang-orang Yahudi yang ada di situ ketawa terbahak-bahak sambil menghina Muslimah berkenaan.
Seorang lelaki Muslim yang kebetulan melihat kejadian tersebut menjadi marah lalu menikam Yahudi berkenaan. Pembunuhan itu mengundang kemarahan kaum Yahudi dan mereka beramai-ramai memukul Muslim berkenaan dan membunuhnya. Keluarga Muslim yang terbunuh tersebut menjerit meminta tolong kepada kaum Muslimin untuk menghadapi kaum Yahudi, lalu mereka datang menyerang kaum Yahudi sehingga terjadilah perlawanan antara kaum Muslimin dan Yahudi.
Mendengar peristiwa itu, Rasulullah (saw) terus keluar bersama-sama kaum Muslimin dan mengepung Bani Qainuqa’ dengan kepungan yang sangat rapat, dan memutuskan untuk membunuh seluruh kaum Yahudi berkenaan. Namun, baginda kemudian menukar keputusannya dengan menghalau kaum Yahudi Qainuqa’ dari Madinah semuanya, sehingga mereka kaum terlaknat itu membawa diri ke utara sampai di perbatasan Syam.
Demikianlah ketegasan Rasulullah (saw) dalam menjaga aurat walaupun hanya seorang Muslimah, yang sekali gus menunjukkan hukum bagaimana negara wajib menjaga kemuliaan Muslimah. Ironinya, penguasa Muslim di Azerbaijan menunjukkan sikap sebaliknya di mana mereka, melalui undang-undang, memaksa rakyat mereka (Muslimah) untuk membuka tudung, bahkan menghukum mana-mana Muslimah yang melanggar arahan mereka. Betapa hinanya penguasa seperti ini.
Sesungguhnya tindakan biadap rejim Azerbaijan ini tidak boleh lepas daripada sistem, yang mana diakui sendiri oleh mereka. Mereka memaksa rakyat untuk membuka tudung atas alasan menjaga kesekularan negara. Bagi mereka, pendidikan dan Islam itu dua perkara yang berbeza dan tidak boleh dicampuradukkan. Islam tidak boleh masuk campur dalam sistem pendidikan negara. Inilah pegangan sekular mereka.
Inilah bahana sistem sekular kepada umat Islam, sebuah sistem yang memisahkan Islam daripada kehidupan. Dari akidah sekularisme inilah lahirnya sistem demokrasi, yang telah dipaksakan oleh Barat ke atas tanah kaum Muslimin yang mereka jajah. Setelah merdeka, sistem kufur yang berasal dari Barat ini seharusnya dihapuskan oleh penguasa umat Islam, dan diganti dengan sistem Islam, tetapi malangnya, ia terus dipertahankan oleh penguasa Muslim, dan Islam ditundukkan kepada sistem kufur ini.
Sesungguhnya keburukan akan terus menimpa umat ini selagi penguasa dan sistem sekular berkuasa. Bukan soal tudung sahaja yang telah ditarik dari umat Islam akibat kesekularan sistem, bahkan keseluruhan polisi pendidikan telah dipisahkan daripada Islam. Lebih dari itu, keseluruhan sistem pemerintahan, ekonomi, pergaulan, uqubat, dasar luar negeri dan lain-lain, semuanya telah hilang dari umat Islam akibat penerapan sistem demokrasi-sekular yang meletakkan kedaulatan di tangan manusia, bukan di tangan Tuhan manusia.
Sesungguhnya tidak ada pilihan lain bagi umat Islam untuk “menghukum” rejim sekular yang ada, yang telah menzalimi Islam sejak sekian lama, kecuali dengan umat ini mendirikan kembali Daulah Khilafah – sebuah institusi politik Islam yang akan mengembalikan semula seluruh sistem dan undang-undang Islam, sekali gus mengembalikan kemuliaan dan maruah Muslimah.
Wallahu a’lam.