Tiada Separation of Powers Dalam Sistem Pemerintahan Islam – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Dakwaan bahawa konsep separation of powers atau pengasingan kuasa berasal daripada Islam, malah telah diamalkan oleh Rasulullah (saw) dan para Khulafa’ ar-Rasyidin, merupakan satu salah faham terhadap sistem pemerintahan Islam. Doktrin tersebut bukan sahaja tidak berasal daripada Islam, bahkan berbeza secara mendasar dengan struktur kekuasaan yang ditetapkan oleh syarak.
Demikian penegasan Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman, dalam program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM (KUPAS) bertajuk “Wujudkah Separation of Powers dalam Islam?” pada Jumaat, 13 November 2026.
Pada awal kupasannya, Abdul Hakim menyentuh isu pengampunan dan tahanan rumah yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau mengkritik hujah yang menyatakan bahawa sistem kehakiman Islam lebih mengutamakan pendidikan dan pengampunan berbanding pelaksanaan hukuman.
Katanya, setiap perintah dan larangan dalam al-Quran dan al-Hadis wajib dipatuhi, dan jika dilanggar, maka pelanggarnya akan dihukum melalui proses mahkamah. Kesemua hukum Islam berjalan secara sama rata – ada bab pendidikan dan ada bab hukuman, yang kedua-duanya wajib berjalan atas landasan masing-masing tanpa keutamaan yang satu atas yang lainnya, kata beliau.
Orang yang telah didapati bersalah wajib dihukum. Tambahnya, Islam telah menetapkan hukum yang berbeza bagi setiap kategori kesalahan, sama ada Hudud, Jinayat (Qisas), Ta’zir mahupun Mukhalafat. Pengampunan atau pemaafan hanya berlaku dalam kes Qisas, dan itu pun hak tersebut diberi kepada waris, bukan kepada mahkamah apatah lagi pihak ketiga. Tidak ada Lembaga Pengampunan dalam Islam, tegas beliau.
Jurucakap HTM itu menolak hujah bahawa hakim sepatutnya mencari jalan untuk membebaskan tertuduh. Sebaliknya kata beliau, hakim wajib berlaku adil dengan mendengar keterangan kedua-dua pihak, meneliti bukti dan menjatuhkan keputusan berdasarkan pembuktian. Hakim wajib menjatuhkan hukuman apabila sesuatu kes telah berjaya dibuktikan ala ghalabati dzan (beyond reasoanable doubt), dan tidak boleh bagi hakim untuk mencari jalan membebaskan tertuduh setelah terbukti bersalah.
Beralih kepada persoalan utama, Abdul Hakim menjelaskan bahawa doktrin separation of powers berkembang daripada pemikiran politik Barat, khususnya melalui John Locke dan Montesquieu pada abad ke-17 dan 18 Masihi. Doktrin ini lahir hasil penentangan terhadap kekejaman pemerintahan monarki mutlak di Eropah, dengan matlamat mengelakkan penumpuan kuasa kepada seorang pemerintah.
Doktrin ini membahagikan kekuasaan negara kepada tiga badan iaitu legislatif yang menggubal undang-undang, eksekutif yang melaksanakannya dan kehakiman yang menafsir undang-undang, mengadili pertikaian dan menghukum pelanggaran.
Menurutnya, struktur pemerintahan Rasulullah (saw) sama sekali tidak dibahagikan kepada tiga badan yang terpisah sebagaimana doktrin tersebut. Rasulullah (saw) merupakan ketua negara yang sekali gus merupakan qadhi (hakim) dan menjalankan kesemua fungsi pemerintahan lainnya sebagai ketua.
Sebagai ketua negara, baginda melantik para Wali, Qadhi dan pegawai-pegawai lainnya untuk membantu melaksanakan urusan pemerintahan. Namun, kuasa mutlak tetap berada di tangan baginda (saw), dan tidak ada pemisahan kuasa sedikit pun kerana baginda berkuasa atas segala jentera dan pemerintahan negara selaku ketua.
Struktur dan konsep yang sama diteruskan oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin. Ada pun pelantikan pegawai-pegawai negara sama ada oleh Rasulullah (saw) atau para Khalifah selepas baginda; itu semua merupakan pendelegasian tugas dan autoriti, bukannya pemisahan kekuasaan kepada badan-badan yang berdiri sendiri.
Abdul Hakim seterusnya menegaskan bahawa perbezaan paling mendasar terletak pada kedudukan badan legislatif. Dalam demokrasi, badan legislatif berfungsi menggubal, meminda dan meluluskan undang-undang. Sebaliknya, dalam Islam, hak membuat hukum adalah milik Allah (swt) semata-mata, dan haram untuk manusia berbuat demikian. Dengan kata lain, haram untuk manusia mengambil hak Allah sebagai Al-Musyarri’ (Legislator), dan tidak pernah ada serta tidak boleh ada badan legislative dalam pemerintahan Islam, tegas beliau.
Beliau turut menjelaskan kesalahfahaman banyak pihak mengenai Majlis Umat atau Majlis Syura yang sering disamakan dengan Parlimen dalam sistem demokrasi. Majlis Syura bukan sama sekali badan legislatif kerana fungsinya adalah memberikan pandangan, nasihat dan melakukan muhasabah terhadap pemerintah, bukan menggubal hukum.
Menjawab persoalan bagaimana kekuasaan Khalifah dapat dikawal tanpa pengasingan tiga badan, beliau menggariskan empat mekanisme muhasabah dalam pemerintahan Islam. Pertama, setiap individu rakyat berhak dan wajib melakukan amar makruf nahi mungkar terhadap pemerintah. Kedua, Majlis Umat berperanan memberikan pandangan serta memuhasabah Khalifah secara langsung. Ketiga, parti-parti politik Islam menjalankan kewajipan muhasabah terhadap pemerintah. Keempat, Mahkamah Madzalim berperanan memantau dan mengadili kezaliman pemerintah, dan berkuasa memecat Khalifah.
Jurucakap HTM itu kemudian mengulas dua peristiwa sejarah yang sering dijadikan hujah bahawa Islam telah mengamalkan pengasingan kuasa. Pertama, kisah pertikaian jual beli kuda antara Rasulullah (saw) dengan seorang Arab Badwi yang melibatkan kesaksian Khuzaimah bin Tsabit. Kedua, kisah pertikaian pencurian baju besi antara Khalifah Ali bin Abi Talib dengan seorang Yahudi yang diadili oleh Qadhi Syuraih.
Menurutnya, kedua-dua peristiwa tersebut menunjukkan keadilan Islam dan keterikatan ketua negara kepada hukum Islam, sama sebagaimana rakyat, bukannya menunjukkan kewujudan pengasingan kuasa.
Hakikat bahawa seorang hakim boleh membuat keputusan tanpa memihak kepada pemerintah tidak bermaksud kuasa pemerintahan telah dipisahkan kepada tiga badan sebagaimana dalam sistem demokrasi. Peristiwa tersebut menunjukkan keadilan hukum Islam serta keimanan, ketakwaan dan keadilan seseorang hakim yang berhukum dengan hukum Islam. Langsung tidak ada kena-mengena dengan pemisahan kuasa kepada tiga badan yang berasingan, tegas beliau.
Abdul Hakim turut menyentuh peristiwa Fathu Makkah, apabila Rasulullah (saw) memberikan pengampunan kepada sebahagian pihak yang sebelumnya memusuhi Islam. Beliau mempertikaikan penggunaan peristiwa tersebut sebagai dalil untuk membenarkan pengampunan dalam kes mahkamah pada hari ini kerana keadaan dan fakta kesnya berbeza.
Dalam kes Najib, kata beliau, bekas Perdana Menteri itu telah pun terbukti bersalah dan dihukum oleh Mahkamah. Sedangkan dalam kes Fathu Mekah, mereka yang diampunkan oleh Rasulullah (saw) itu baru sahaja diadili pada waktu itu, atas kesalahan memerangi Islam sebelum Islam berkuasa. Itu dua fakta yang berbeza dan tidak boleh disamakan, ujar beliau.
Malah, menurutnya, peristiwa itu sendiri memperlihatkan bahawa Rasulullah (saw) menjalankan autoriti sebagai ketua negara dan Qadhi sekali gus, yang menunjukkan tidak wujud pemisahan kuasa antara kedua-dua fungsi tersebut.
Dalam sesi soal jawab, beliau sekali lagi menegaskan bahawa Islam mempunyai mekanisme tersendiri untuk mencegah dan menangani kezaliman pemerintah. Beliau turut mengkritik penggunaan dalil agama bagi membenarkan tindakan politik yang menurutnya berubah-ubah mengikut kepentingan pilihan raya dan gabungan parti.
Di akhir program, Abdul Hakim menyimpulkan bahawa sistem pemerintahan Islam mempunyai struktur, hukum dan mekanisme pertanggungjawaban yang tersendiri, bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah. Sedangkan demokrasi merupakan sistem kufur yang berasal dari Barat, yang muncul dari akal manusia.