Belasungkawa HTM Atas Pemergian Jaafar bin Hasan
Keluarga besar Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mengucapkan takziah atas pemergian salah seorang anggotanya, Sdr. Jaafar bin Hasan yang telah meninggal dunia 5.15 pagi ini pada usia 59 tahun (1964 – 2023). Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kundur, Bukit Gambir,Tangkak, Johor jam 11.00 pagi, 11 Mei 2023. Beliau meninggalkan seorang balu dan 7 orang anak.
Beliau mula menyertai HTM sekitar tahun 2005 dan sangat berpegang teguh kepada kebenaran dan telah bersungguh-sungguh memperjuangkannya. Beliau yang sangat tsiqah dengan Tsaqofah yang diperjuangkan telah menerima pelbagai ujian dan cabaran di sepanjang hidupnya. Namun, semua kesusahan dan kepayahanya tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan kebenaran. Beliau terlibat dengan banyak aktiviti dakwah Hizb antaranya adalah dengan menjayakan Kempen 100 Tahun Keruntuhan Khilafah.
Setelah bertahun-tahun berpegang teguh dengan kebenaran di dalam jalan perjuangan, akhirnya takdir Allah SWT telah menentukan segala-galanya iaitu pada tahun 2022 beliau terlibat di dalam kemalangan di tempat kerja menyebabkan gangguan saraf hingga menyukarkan pergerakan dan mengalami masalah pernafasan. Keadaan kesihatannya terus merosot sejak itu. Pada 3 Mei 2023 yang lalu, beliau telah diserang strok dan terlantar di hospital sehinggalah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah dan menerima segala amal beliau serta menempatkan beliau bersama-sama para anbiya, para syuhada dan orang-orang yang soleh.
Amiin.