Covid-19: Apakah maksiat, dan maksiat terbesar yang perlu dihapuskan? (Siri 1)
Seseorang yang beriman semestinya meyakini bahawa wabak Covid-19 yang diturunkan oleh Allah (swt) ini bukanlah tanpa sebab atau tujuan. Sudah pasti ada sebab dan tujuannya. Lalu apakah sebab dan tujuannya? Hanya Dia-lah yang mengetahui, dan kita tidak mengetahui kecuali apa yang dikhabarkan oleh-Nya sahaja. Firman-Nya,
وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ
“Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)” [Asy-Syura (42):30].
Selain persoalan qadha’ Allah (swt) yang berada di luar wilayah yang manusia kuasai, berlakunya wabak Covid-19 ini tidak dapat dipisahkan daripada perbuatan tangan-tangan manusia itu sendiri, sebagaimana dijelaskan oleh ayat di atas. Bagi orang-orang beriman yang terkena musibah ini dan redha dengan qadha’ Allah (swt), maka dia akan mendapat ganjaran yang besar. Bukhari meriwayatkan dari Aisyah (ra), ia berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah (saw) tentang wabak (tha’un), lalu baginda menjawab,
أَنَّهُ عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ وَأَنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ لَيْسَ مِنْ أَحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِراً مُحْتَسِباً يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ شَهِيدٍ
“Tha’un itu merupakan azab yang Allah turunkan terhadap siapa yang Dia kehendaki, dan Allah jadikan sebagai rahmat untuk orang-orang Mukmin. Maka tidak ada seorang hamba pun yang tetap berdiam di negerinya di saat tha’un melanda, lalu dia bersabar mengharap redha Allah, dan dia tahu bahawa tidak ada apa yang akan menimpanya kecuali apa yang telah Allah tuliskan untuknya, kecuali untuknya ganjaran seperti pahala syahid.”
Allah (swt) juga menjelaskan bahawa Dia timpakan kepada manusia musibah agar manusia itu kembali mengingati-Nya dan kembali ke jalan yang benar, setelah manusia itu melanggar perintah-Nya dengan melakukan kerosakan di muka bumi. Firman-Nya,
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah tampak kerosakan di daratan dan di lautan kerana (kemaksiatan) manusia supaya Allah menimpakan kepada mereka sebahagian akibat perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [Ar-Rum (30):41].
Selain daripada terjadinya musibah akibat daripada dosa dan kerosakan yang dibuat oleh manusia itu sendiri, Allah (swt) juga menjelaskan bahawa kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia di muka bumi, bukan sahaja akan menimpa pelaku maksiat itu sahaja, malah akan turut menimpa orang lain juga secara umumnya. Firman-Nya,
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Dan peliharalah dirimu daripada azab yang bukan hanya menimpa orang zalim di kalangan kamu sahaja dan ketahuilah Allah amat keras azab seksa-Nya” [Al-Anfal (8):25]
Apakah Maksiat Anak Adam Sehingga Ditimpa Musibah?
Persoalannya, apakah dosa dan kerosakan yang telah dilakukan oleh manusia sehingga Allah (swt) menimpakan musibah ke atas dirinya dan ke atas seluruh manusia? Sesungguhnya dosa dan kerosakan yang dilakukan manusia itu amat banyak sekali, yakni apa sahaja yang telah diharamkan oleh Allah (swt), namun tetap dilakukan oleh manusia. Antara dosa yang disebut secara nyata oleh Rasulullah (saw), yang menyebabkan Allah (swt) menurunkan azab-Nya ialah:
«إِذَا ظَهَرَ الزِّنَا وَالرِّبَا فِيْ قَرْيَةٍ، فَقَدْ أَحَلُّوْا بِأَنْفُسِهِمْ عَذَابَ اللهِ»
“Jika zina dan riba berleluasa di suatu negeri, maka sungguh mereka telah menghalalkan atas mereka azab Allah” [HR al-Hakim, al-Baihaqi dan at-Thabrani].
Dalam hadis lain pula, Rasulullah (saw) bersabda,
لاَ تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا لَمْ يَفْشُ فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا، فَإِذَا فَشَا فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللهُ بِعِقَابٍ
“Umatku akan terus berada dalam kebaikan selama belum menyebar di tengah mereka anak (hasil) zina. Jika di tengah-tengah mereka menyebar anak zina, maka Allah (swt) hampir meratakan azab ke atas mereka” [HR Ahmad].
Itulah antara dua dosa dan kemaksiatan besar yang diperingatkan oleh Rasulullah (saw) iaitu zina dan riba, yang menyebabkan Allah (swt) menurunkan azab-Nya kepada kita semua.
Sejak sekian lama, perzinaan sudah menjadi kemaksiatan yang biasa dalam masyarakat. Bayangkan di Malaysia, antara tahun 2013-2016, Jabatan Pendaftaran Negara merekodkan sebanyak 159,725 pendaftaran anak luar nikah (daripada kalangan orang Islam sahaja), yang secara purata statistiknya ialah 140 kes sehari.
Jika anak zina masih dapat dihitung jumlahnya (berdasarkan pendaftaran, walaupun jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi), namun umat Islam yang terlibat dengan riba sudah tidak terhitung statistiknya, sehingga ramai yang tidak merasa bersalah sedikit pun apabila mengambil pinjaman riba. Malah, orang yang tidak mengambil pinjaman riba pula dituduh bodoh, kolot, ekstrem atau rugi. Begitulah riba dan zina yang sudah mendarah daging dalam masyarakat.
Apa yang lebih buruk daripada zina ialah munculnya golongan songsang ELGIBITI yang semakin berani menampilkan diri dan melakukan aktiviti-aktiviti terbuka untuk mempromosikan kebejatan dan kerosakan mereka tanpa segan silu. Apatah lagi di zaman IT ini, banyak aktiviti mereka, baik secara perseorangan mahupun berkumpulan, dipromosikan oleh mereka di internet tanpa henti.
Dengan berleluasanya kerosakan dan kemaksiatan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia seperti yang dinyatakan di atas, maka apakah tidak layak lagi untuk Allah (swt) menurunkan azab-Nya ke atas kita semua? Na’uzubillah min zalik..
Persoalan seterusnya, kenapakah dosa dan kemaksiatan yang telah disebutkan dan diingatkan dengan tegas oleh Rasulullah (saw) itu, bahawa ia akan mengundang azab Allah (swt) secara langsung ke atas kita semua, boleh berlaku dalam skala yang cukup besar, baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia? Kenapakah hal ini boleh berlaku sedemikian rupa sedangkan sudah ada peringatan yang begitu tegas daripada Rasulullah (saw)?
…bersambung