Gelanggang “maksiat” pun turut terbuka
Tempoh berkempen seharusnya dimanfaatkan oleh setiap calon untuk menerangkan apakah agenda yang akan dibawa oleh mereka jika diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya kelak.
Sungguh pun ada yang memang berkempen dengan cara sedemikian, namun sudah menjadi tabiat pertandingan (pilihan raya) dalam sistem demokrasi, akan ada sahaja calon yang sanggup melakukan apa sahaja di sepanjang tempoh kempen bagi memastikan kemenangan, tanpa menghiraukan halal dan haram.
Amalan pemberian wang, rokok, makanan, pakaian dan lain-lain sudah sinonim dalam pilihan raya di Malaysia. Dalam masa yang sama, amalan fitnah-memfitnah, , tuduh-menuduh, saling menghina, merendahkan, membongkar segala salah laku, aib, kelemahan atau skandal calon lain dan sebagainya, juga sudah menjadi suatu yang sinonim.
Dalam PRU kali ini, sudah kedengaran tuduhan bahawa calon itu membawa agenda LGBT, calon itu membawa agenda komunis, calon itu terlibat “songlap” duit dan sebagainya, sehingga sudah ada beberapa laporan polis dibuat oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dalam satu kenyataan mengesahkan yang setakat ini lapan kertas siasatan berkaitan PRU15 telah dibuka.
Ia melibatkan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana fitnah, Seksyen 447 KK kerana menceroboh, Seksyen 506 KK melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 147 KK kerana merusuh, dan beberapa kesalahan lain.
Sebagai Muslim, kita seharusnya menjadikan halal dan haram sebagai tolok ukur dalam setiap perbuatan. Inilah yang seharusnya dipegang oleh setiap calon. Tidak kira di mana, tidak kira dalam situasi apa, dan tidak kira sama ada kita suka atau benci kepada seseorang, halal dan haram tetap wajib menjadi pegangan.
Haram untuk membuka aib orang lain, merendah-rendahkan atau menjelek-jelekkan orang lain, apatah lagi untuk memaki atau memfitnah orang lain, sebagaimana sama haramnya untuk melakukan rasuah, penipuan, menghasut dan menanam kebencian sesama Muslim, memutuskan ukhuwwah dan sebagainya.
Malangnya, segala bentuk keharaman tersebut telah menjadi hidangan rutin sejak zaman berzaman setiap kali pilihan raya. Itulah realiti pilihan raya dalam sistem demokrasi, di samping menjadi gelanggang kempen, ia turut menjadi gelanggang saling melemparkan fitnah, yang seharusnya dihindari oleh umat Islam.
Wallahu a’lam.