‘Henti Politik, Fokus Pasca COVID-19’ – Ironi yang Memualkan

Pada 17 Mei lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, kesemua parti komponen Perikatan Nasional (PN) bertekad untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan tidak tertumpu untuk berpolitik pada masa sekarang. Annuar juga menegaskan bahawa tugas utama PN sekarang adalah untuk membantu meringankan beban rakyat untuk menghadapi tekanan ekonomi pasca COVID-19.

Namun ironinya, dalam kenyataan yang sama Annuar turut menjustifikasi ‘rampasan kuasa’ kerajaan negeri Kedah dengan alasan bahawa ia merupakan ‘sebahagian daripada matlamat Perikatan Nasional untuk memperkukuhkan politik’. Bahkan Annuar telah mengukuhkan lagi ironi yang terpalit ke atas PN melalui mulutnya sendiri, “Kita tidak akan berhenti setakat Kedah sahaja selepas Johor dan Melaka dan sekiranya ada negeri lain yang ingin ikut jejak amat dialu-alukan” [Bernama, 17/5/2020].

Di satu sudut, mereka menempelak langkah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dituduh sibuk berpolitik kerana mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin. Namun dalam masa yang sama empat buah negeri sudah jatuh ke tangan PN, yang sudah pasti bukan terjadi secara tidak sengaja atau tiba-tiba (tanpa perancangan). Tidakkah ini juga berpolitik namanya?

Dari satu sisi memang ucapan dan senario politik seumpama ini sungguh memualkan. Namun dari sisi lain, ucapan dan senario ‘cakap tak serupa bikin’ seumpama ini sebenarnya sudah menjadi lumrah dalam politik demokrasi sejak berzaman lamanya. Samalah dengan isu keluar parti, lompat parti, tukar sokongan, tukar gabungan dan lain-lain perkara yang memualkan, semua ini sudah menjadi sebati dengan ahli politik demokrasi di Malaysia sehingga perkataan “malu” atau “maruah” sudah tidak wujud dalam kamus politikus dalam sistem demokrasi di Malaysia pada hari ini.

Apa yang menyedihkan ialah sebahagian rakyat masih tetap menerima politikus seperti ini.

Baik PN mahupun PH, walaupun bersengketa dalam banyak perkara, namun mereka sebenarnya mempunyai banyak persamaan. Cukuplah untuk menyebut satu persamaan sahaja, iaitu kedua-dua mereka sering bermuka-muka dalam permainan persepsi. Tatkala mereka berkuasa, banyak polisi yang dibuat yang hala tujunya ialah untuk menguntungkan parti masing-masing dan memastikan mereka kekal berkuasa. Manakala nasib rakyat tetap tidak berubah, seperti itu, seperti itu juga.

Bahkan rakyat seringkali dipersalahkan dalam banyak perkara, dituduh pemalas, disuruh bekerja lebih keras demi negara, disuruh berjimat, dituduh tidak tahu berterima kasih kepada kerajaan, dituduh hanya tahu mengkritik, disuruh keluar Malaysia jika tidak suka pada kerajaan, dan bermacam-macam lagi. Namun setelah mereka kehilangan kuasa, mereka kembali menggunakan ‘kalimah suci’ demokrasi dengan membawa slogan suara rakyat suara keramat, kami berjuang untuk rakyat, rakyat didahulukan, kembalikan mandat rakyat dan sebagainya.

Realitinya, tatkala rakyat disuruh mengikat perut dan berterima kasih kepada kerajaan yang telah melakukan segala-galanya untuk rakyat, menteri-menteri hidup mewah dan menikmati gaji dan elaun yang luar biasa besarnya sehingga elaun pinggan-mangkuk sahaja mencecah RM42,000 – menjangkaui jumlah pendapatan tahunan sebahagian besar rakyat!

Di sinilah rakyat perlu sedar, daripada terus terpesona dengan slogan-slogan kosong yang dibawa oleh politikus demokrasi selama ini yang sangat memukau. Tanyalah diri sendiri, sejauh manakah para politikus ini benar-benar memperjuangkan aspirasi rakyat atau hanya memperjuangkan periuk nasi dan takhta masing-masing? Itu belum lagi melihat sejauh manakah politikus dalam demokrasi ini menunaikan amanah untuk menegakkan agama Allah dalam pemerintahan. Lihatlah dengan mata hati, nescaya akan terang benderanglah jawapannya.

Apa yang pasti, senario politik tanah air dijangka akan terus bergolak selepas ini, apatah lagi dengan perbezaan tipis bilangan kerusi kedua-dua belah pihak di Parlimen. Buat masa sekarang, situasi COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi ekoran pandemik, menjadi senjata utama bagi kedua-dua blok untuk meraih political mileage masing-masing. Satu blok berhempas pulas untuk memastikan kekal berkuasa, dan satu blok lagi berhempas pulas untuk mengambil semula kekuasaan. Keadaan sekarang memang sentiasa getir untuk kedua-dua blok.

Langsung tidak mustahil selepas ini akan ada lagi pengumuman demi pengumuman keluar parti, lompat parti, tukar sokongan, gabungan dan sebagainya tergantung kepada manfaat yang ingin diraih oleh masing-masing, dan langsung tidak mustahil yang kerajaan akan bertukar lagi selepas ini. Persoalannya, di mana rakyat? Sekali lagi, rakyat hanyalah slogan dan tidak lebih daripada ‘pawn in the game’ kerana realitinya politikus demokrasi berjuang bukan untuk rakyat, tetapi hanya untuk memastikan kuasa dan harta adalah milik mereka, tidak kiralah parti mana yang mereka wakili.

Wallahu a’lam.

Editor