HTM failkan permohonan Semakan Kehakiman terhadap fatwa Johor
Setelah beberapa bantahan dan desakan dibuat oleh Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) kepada pihak berkuasa agama Johor agar menarik balik fatwa ke atas Hizbut Tahrir yang penuh dengan fitnah, pembohongan, pendustaan, pemesongan fakta dan kekeliruan, namun kesemuanya tidak diendahkan, hari ini HTM telah memfailkan permohonan Semakan Kehakiman secara e-filing di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Permohonan Semakan Kehakiman itu telah difailkan melalui firma guaman Tetuan Abdul Razak & Partners yang beralamat di No. 18C, (Third Floor), Jalan Tengku Ampuan Zabedah K9/K, Seksyen 9, 40100 Shah Alam, Selangor.
Dua pihak Responden yang dinamakan dalam permohonan tersebut ialah Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Mufti Johor.
Dalam Semakan Kehakiman tersebut, lima orang anggota HTM yang bertindak sebagai pemohon, telah membuat permohonan antara lain untuk mahkamah mengisytiharkan fatwa tersebut sebagai terbatal kerana berlawanan dengan beberapa peruntukan lain yang terdapat di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003. Selain itu, ia bercanggah dengan beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya mengenai kebebasan beragama, bersuara, berpersatuan dan melampaui hak negeri dalam membuat undang-undang yang menyangkut bidang kuasa persekutuan.
Semalam (09/12/2020), HTM telah cuba menyerahkan jawapan penuh terhadap fatwa fitnah tersebut ke Jabatan Mufti Negeri Johor, malangnya ditolak secara mentah-mentah oleh pihak Jabatan Mufti. HTM dalam kenyataannya semalam telah menyatakan rasa kesal dengan tindakan Jabatan terbabit.