Kenapa Ustaz Wadi Anuar Perlu Mohon Maaf?
Sebelum ini Ustaz Wadi Anuar telah mengeluarkan satu kenyataan semasa ceramah beliau di Masjid Negeri Melaka mengenai segelintir kaum Muslimin yang terlibat dengan perayaan kaum kuffar. Beliau menyelar tindakan segelintir umat Islam tersebut dengan menyatakan ia bercanggah dengan ajaran Islam. Nampaknya kenyataan ini (yang sebenarnya lebih kepada teguran) telah di pergunakan oleh mereka yang suka menangguk di air yang keruh untuk meniup sentimen permusuhan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Akibatnya, Ustaz Wadi Anuar terpaksa membuat kenyataan memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku.
Ini bukanlah kali pertama seorang agamawan terpaksa memohon maaf atas teguran kepada umat Islam yang terlibat dengan perayaan kaum kuffar. Teguran seperti ini kerapkali dicanangkan oleh kaum kuffar bahawa teguran seperti ini adalah bersifat rasis dan penghinaan ke atas mereka. Hakikatnya, para asatizah yang ikhlas ini cumalah menyatakan kebenaran dan ingin melakukan teguran atas kemungkaran yang dilakukan oleh mereka yang telah lalai dan ingin mengembalikan mereka ke jalan yang lurus.
Umat Islam tidak sepatutnya bersifat defensif atas naratif Islamofobia yang cuba dimainkan oleh kaum kuffar. Malah, sekiranya kita bersifat apologetik dan defensif atas serangan tersebut, itulah yang mereka harapkan dalam usaha mereka untuk memadam dan menutup mulut para asatizah yang berani melakukan amar makruf dan nahi mungkar secara terang-terangan. Pertembungan antara Islam dan kekufuran pastinya tidak akan padam. Ia pasti akan terus berlaku sehingga hari kiamat.
Namun begitu, pertembungan yang berlaku di kalangan kaum Muslimin dan kaum kuffar di negara ini haruslah bersifat pertembungan intelektual. Bertukar pendapat dan berdebat untuk mencari kebenaran bukanlah suatu yang tidak boleh dilakukan, malah itulah yang sepatutnya berlaku agar kebenaran dapat diungkapkan kepada mereka yang mencarinya. Pertembungan ini seharusnya berlaku secara harmoni dan bukannya penuh dengan kebencian dan saling mencela antara satu sama lain. Dakwah kepada Islam serta dakwah agar umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya haruslah terus dilakukan secara sseiringan. Dan pada waktu yang sama kita tidak seharusnya terus tunduk kepada desakan kaum kuffar dan sekular yang secara terang-terangan memusuhi Islam dan penganutnya.
Semoga umat Islam terus mendokong para asatizah yang benar-benar ikhlas dan semoga Allah melindungi para asatizah ini dalam menyampaikan kebenaran dan membuka hati-hati mereka yang inginkan kebenaran. Wallahu a’lam.