Kenyataan Media: Muslimah hizbut Tahrir Malaysia Menganjurkan Forum Wanita di Kuala Lumpur

        
 
KENYATAAN MEDIA

Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia Menganjurkan Forum Wanita di Kuala Lumpur untuk Mengetengahkan Isu Permasalahan Wanita dalam Pemerintahan Sistem Demokrasi
di Seluruh Dunia



Pada hari Ahad, 29 September 2013, Muslimah Hizbut Tahrir dengan kerjasama Khilafah Centre akan menganjurkan Forum Wanita yang amat penting di Kuala Lumpur bertajuk “Agenda Petualang Umat Islam Terhadap Wanita dan Kanak-kanak”.  Forum ini akan menerima kehadiran penceramah dan ratusan ahli pemikir wanita dari seluruh Malaysia termasuk ahli politik wanita, wartawan, aktivis hak asasi manusia dan wakil-wakil pertubuhan-pertubuhan. Acara ini dianjurkan bertujuan untuk mengetengahkan realiti penderitaan dan permasalahan kaum wanita dan kanak-kanak di seluruh dunia termasuk di Malaysia dan Indonesia yang hidup dalam pemerintahan sistem demokrasi serta menyeru kepada seluruh umat Islam supaya sama-sama bertindak dengan benar dalam menangani isu ini.

Belum lagi terbela nasib etnik Muslim Rohingya di Myanmar, umat Islam di belahan dunia lain pula ditimpa nasib yang serupa malah ada yang lebih buruk. Pergolakan politik terbaru berlaku di Mesir dan Syria telah memperlihatkan ramai rakyat biasa menjadi mangsa termasuklah wanita dan kanak-kanak. Di Mesir, wanita dan kanak-kanak bukan sahaja dicederakan, malah dibunuh oleh rejim tentera kerajaan sementara pimpinan Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi selepas Presiden Morsi dijatuhkan daripada tampuk pemerintahan. Di Syria, senjata kimia yang digunakan oleh rejim Bashar al-Assad untuk mengalahkan puak penentangnya telah membunuh ribuan kanak-kanak yang tidak berdaya.

Pemimpin umat Islam lain pula terus diam dengan tidak mengambil tindakan tegas untuk membantu saudara-saudara mereka di sana. Malah, mereka terus hanyut dengan agenda liberalisme yang menjunjung falsafah kebebasan dalam kehidupan. Penganjuran pertandingan Miss World 2013 di Malaysia dan Indonesia yang penduduknya majoriti Muslim telah secara terang-terangan memposisikan wanita sebagai alat eksploitasi oleh golongan kapitalis yang tamak melariskan produk dan perniagaan mereka. Agenda ini telah membuang jauh maruah wanita ke lembah kehinaan yang selama ini dimuliakan oleh Islam.

Justeru, forum yang penuh bermakna ini akan membangkitkan kesedaran orang ramai tentang penderitaan dan usaha penyesatan ke atas umat Islam dalam pemerintahan berkonsepkan demokrasi berkiblatkan Barat. Umat Islam seharusnya menjadikan Barat sebagai musuh mereka dan bukannya sebagai tuan yang dituruti perintahnya. Forum ini juga akan menegaskan bahawa hanya Negara Khilafah Islamiyyah sahajalah yang mampu menjamin keamanan hakiki dan menyelamatkan umat Islam daripada kesesatan demokrasi dan liberalisme.

Khilafah adalah negara yang akan bertanggungjawab terhadap keamanan dan keselamatan warganegaranya sama ada Muslim atau non-Muslim daripada cengkaman dan ancaman Barat dan para ejennya yang merupakan petualang umat. Khilafah jugalah yang akan sentiasa menjaga aqidah umat Islam daripada terpesong kepada fahaman yang menyesatkan dan menghinakan mereka. Ini adalah kerana hanya sistem ini sahaja yang berdiri atas dasar aqidah Islam yang menolak hukum selain hukum Islam dan menolak puak kuffar daripada campur tangan dalam setiap urusan negara sama ada politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Ini adalah kerana puak kuffar bukan sahaja tidak akan pernah redha terhadap umat Islam malah mereka tidak pernah berhenti memerangi umat Islam secara fizikal atau pemikiran.

Kami dengan ini menyeru semua wanita yang mencari penyelesaian terhadap permasalahan wanita seluruh dunia untuk menghadiri acara yang penuh bermakna ini. Kami juga menyeru semua umat Islam untuk berusaha secara berterusan menegakkan Khilafah yang akan memimpin rakyatnya dengan adil iaitu bersumberkan hukum Allah dan Sunnah Rasulullah SAW bukannya berkiblatkan Barat. Berusahalah bersama Hizbut Tahrir yang bergerak seluruh dunia di bawah pimpinan Amir Hizbut Tahrir, mujtahid yang terkenal iaitu Sheikh Atha’ Abu Rashta yang tidak akan membiarkan umat Islam dizalimi dan disesatkan apa lagi mengkhianati mereka. Daripada Anas r.a katanya, Rasulullah S.A.W bersabda,

Tolonglah saudara kamu yang zalim atau yang dizalimi”, berkata seorang lelaki, “Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika ia dizalimi, bagaimana pula aku akan menolongnya jika dia seorang yang zalim?” Jawab baginda, “Engkau boleh menahannya daripada melakukan kezaliman, maka yang demikian bererti engkau menolongnya”  [HR Bukhari]

Aisyah Rahmat
Ketua Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia