Malapetaka 100 Tahun Tanpa Khilafah (Siri 1)
Begitu cepat masa berlalu, dalam sedar atau tidak, pada tanggal 28 Rajab 1442 H ini, genaplah 100 tahun umat Islam tanpa Daulah Khilafah. Sungguhpun di saat hujung hayatnya, Khilafah sangat lemah dan tidak bermaya, namun setidak-tidaknya kewajipan baiah kepada seorang Khalifah masih terlaksana bagi umat Islam. Namun kini, setelah 100 tahun berlalu, kita hidup dalam kenistaan tanpa baiah kepada seorang Khalifah. Bahkan kita hidup jauh dari kehidupan bersyariah, penuh kegelapan dan jauh dari redha Allah (swt). Kita diselubungi 1001 malapetaka akibat tidak diterapkan syariah Allah (swt).
Atas dasar itu, tidak hairanlah jika sebahagian ulama menyebut Khilafah sebagai taj al-furudh (mahkota kewajipan). Ini kerana dengan Khilafahlah, semua kewajipan dalam agama ini, khususnya penerapan Islam sepenuhnya dalam sebuah negara, akan tertunai. Tanpa Khilafah, hukum-hukum Allah (swt) terabai, umat Islam hidup tanpa pelindung dan penjaga. Imam al-Ghazali mengungkapkan,
الدِّيْنُ وَالسُّلْطَانُ تَوْءَمَانِ..الدِّيْنُ أُسٌّ وَالسُّلْطَانُ حَارِسٌ، فَمَا لاَ أُسَّ لَهُ مَهْدُوْمٌ، وَمَا لاَ حَارِسَ لَهُ فَضَائِعُ
“Agama dan kekuasaan (Khilafah) adalah ibarat dua saudara kembar. Agama adalah asas, sedangkan kekuasaan (Khilafah) adalah penjaga. Sesuatu yang tidak mempunyai asas pasti akan runtuh. Sesuatu yang tidak mempunyai penjaga pasti akan hilang.” [Al-Ghazali, Al-Iqtishad fî al-I’tiqad].
Tanpa pelindung dan penjaga, kita terus-menerus diterpa musuh bagai serigala lapar membaham mangsanya. Tanpa belas kasihan sedikit pun, umat Islam dibantai tanpa henti. Detik demi detik, walau sebahagian kita merasa nikmat bahagia, hakikatnya kita sebagai satu tubuh tetap merasa derita dengan apa yang diperlakukan musuh terhadap saudara-saudara kita. Malapetaka ini mesti segera kita tamatkan dengan menegakkan kembali perisai kita, yakni Daulah Khilafah atas manhaj kenabian. Antara malapetaka yang menimpa umat Islam hasil ketiadaan Khilafah ialah:
Malapetaka 1: Umat Islam menjadi lemah dan terpecah-belah
Setelah Daulah Khilafah diruntuhkan, umat Islam hidup terpecah-belah. Negeri-negeri Muslim terpisah-pisah kepada lebih dari 50 negara atas dasar nasionalisme. Akibatnya, kaum Muslimin menjadi lemah walaupun jumlahnya sangat besar. Di beberapa negeri, umat Islam berdepan dengan penjajahan, kezaliman dan penindasan seperti yang terjadi di Palestin, Kashmir, Iraq, Syria, Afghanistan, Arakan dan lain-lain. Walaupun jumlah umat Islam ramai, tapi tidak berdaya dalam menghadapi musuh (Barat) kerana tiadanya penyatuan dan dan juga kerana pengkhianatan pemimpin umat Islam yang menjadi ejen, tunduk dan berkhidmat kepada Barat. Akibat hilangnya kehidupan bersyariat, sebahagian besar umat Islam diresapi cinta dunia dan takut mati. Manakala dalam masa yang sama batas sempadan negara-bangsa telah menjadi racun yang membunuh persaudaraan umat, serta melemahkan tubuh umat sehingga umat tidak mampu berdiri untuk melawan musuhnya, walaupun bilangan musuh jauh lebih sedikit.
Hal ini sebagaimana telah diterangkan oleh Rasulullah (saw),
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
“Rasulullah (saw) bersabda, ‘Hampir tiba masanya kalian diperebutkan (oleh musuh-musuh kalian) seperti sekumpulan pemangsa yang berebut makanannya.’ Lalu seseorang bertanya: ”Apakah kerana sedikitnya jumlah kita pada waktu itu?’. Rasulullah (saw) menjawab, ‘Bahkan jumlah kalian ramai, namun kalian seperti buih-buih yang terapung. Dan Allah telah mencabut rasa gentar daripada dada musuh-musuh kalian terhadap kalian. Dan Allah telah memasukkan dalam hati-hati kalian penyakit al-wahn.’” Seseorang bertanya, ”Wahai Rasulullah, apakah penyakit al-wahan itu?’. Nabi (saw) menjawab, ”Cinta dunia dan takutkan mati.” [HR Abu Daud]
Malapetaka 2: Pelbagai penindasan dan kezaliman
Sehingga kini kita masih menyaksikan bagaimana Muslim Uighur ditindas dengan cukup dahsyat oleh pemerintah kuffar China. Para pemimpin Muslim ternyata tidak melakukan apa-apa, dan terus membiarkan umat Islam di Turkestan Timur itu dizalimi dengan sewenang-wenangnya oleh puak kuffar. Para pemimpin Muslim yang khianat ini bukan sahaja tidak merasa bersalah dengan berdiam dirinya mereka, malah ada yang menyokong dan bersetuju dengan apa yang dibohongi oleh pemimpin China tentang keadaan Muslim Uighur. Sungguh jauh mereka daripada sabda Rasulullah (saw),
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Perumpamaan kaum Mukmin dalam kecintaan, kasih sayang dan tolong-menolong di antara sesama mereka adalah seperti tubuh yang satu; jika salah satu anggota tubuh sakit, maka seluruh tubuh akan ikut merasakannya dengan terjaga dan demam [HR Muslim, al-Bukhari dan Ahmad].
Tragedi yang sama dapat kita saksikan di Myanmar dengan apa yang menimpa saudara kita, Muslim Rohingya yang sampai sekarang terus dibantai oleh rejim kufur di sana. Mereka terusir dari tanahair sendiri, dan malangnya tidak ada satu negara kaum Muslimin pun yang sanggup menerima mereka, dan mereka tidak dilihat sebagai saudara seakidah pun. Sebaliknya mereka dipandang sebagai pendatang yang membebankan. Lihat sahaja pada layanan dan kecaman yang mereka terima di negara ini, yang cukup menyedihkan.
Demikian juga nasib yang menimpa kaum Muslimin di Kashmir yang mengalami penganiayaan dan penyeksaan. Penderitaan umat Islam di Syria pun sampai sekarang masih tidak terhenti. Dengan serangan bertubi-tubi daripada puak kuffar yang menghancurkan, sudah ribuan nyawa umat Islam yang melayang dan sudah tidak terhitung jumlah yang kehilangan tempat tinggal dan kehilangan kehidupan. Bandar-bandar besar di Syria menjadi padang jarak padang tekukur dek kekejaman rejim Basyar al-Kalb yang bersekongkol dengan kuffar Rusia. Semua ini hanyalah sekelumit penderitaan dan kemusnahan yang menimpa umat Islam di segenap penjuru dunia, hasil umat ini kehilangan penjaga dan perisainya.
Malapateka 3: Kekayaan alam wilayah Islam dirampas
Wilayah Islam merupakan wilayah yang kaya dengan sumber alam. Namun sayangnya, kekayaan tersebut tidak dapat dinikmati oleh umat Islam sebagai pemiliknya. Kekayaan alam tersebut dikaut oleh negara-negara kuffar melalui persekongkolan dan komplot para pemerintah Muslim yang khianat. Mereka merampas semua kekayaan alam dan berkongsi hasilnya dengan puak kuffar, dengan membiarkan umat Islam terkapai-kapai. Jika ada yang dapat merasa hasilnya, ia hanyalah titisan-titisan terakhir yang pemerintah berikan sekadar untuk menutup mulut umat. Lebih buruk, rakyat sering diminta untuk bersyukur dengan apa yang diberikan oleh pemerintah, padahal hakikatnya segala sumber alam itu adalah hak rakyat yang dirampas oleh mereka.
Inilah realiti umat Islam yang hidup dalam negara yang diperintah berasaskan sistem Kapitalisme. Dengan kekayaan alam yang luar biasa besarnya yang terdapat dalam negara umat Islam, namun berapa ramai daripada kalangan umat Islam yang hidup dibelenggu kemiskinan, kefakiran dan kedhaifan, dan berapa ramai yang terpaksa bekerja keras sehinggakan isteri dan anak-anak turut sama terpaksa bekerja bagi menampung kos sara hidup yang cukup tinggi. Dalam masa yang sama, pemerintah dan kroni kapitalis mereka hidup dalam kemewahan yang melimpah ruah.
bersambung…
أقيموا_الخلافة#
#TegakkanKhilafah
#ReturnTheKhilafah