[NF139] Keluarga Dakwah, Agen Perubahan Dunia
Penulis: Hamimah Karmidi
Mukaddimah
Secara umum, keluarga merupakan institusi yang menjadi madrasah pertama buat anak-anak dan ahli keluarga dalam mengenal Allah SWT, Islam, dan nilai-nilai kehidupan. Ketika keluarga dibentuk atas dasar ideologi Islam yang kukuh, maka lahirlah generasi yang cinta Islam dan cinta umat. Sebagaimana keluarga para sahabat Rasulullah SAW yang menjadi inspirasi sepanjang zaman iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA.
Keluarga mereka merupakan sumber inspirasi bagi sesebuah keluarga untuk menjadi tonggak dalam menyokong dan memperkasa dakwah Islam. Sirah keluarga ini bukan sekadar tercatat dalam lipatan sejarah Islam semata, tetapi merupakan cerminan kepada sepohon keluarga dakwah iaitu keluarga yang bergerak seiring dalam memperjuangkan Islam, membentuk generasi berfikrah Islam dan menjadi penyokong setia kepada misi dakwah Rasulullah SAW.
Satu Keluarga, Satu Visi Dakwah
Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah membuka lembaran penting dalam tinta emas sejarah Islam. Dalam peristiwa ini, Abu Bakar RA bukan hanya menjadi teman perjalanan Rasulullah SAW, malah menggerakkan seluruh ahli keluarganya untuk terlibat dalam menjayakan misi tersebut. Beliau juga telah mengatur peranan mereka dalam menjayakan misi ini.
Anak lelaki beliau, Abdullah bin Abu Bakar, berperanan sebagai penyampai maklumat. Setiap malam, beliau akan turun ke Gua Tsur membawa laporan dan perkembangan terkini mengenai tindakan kaum Quraisy. Asma’ binti Abu Bakar, seorang gadis muda yang penuh keberanian, menggalas peranan sebagai pembekal makanan dan keperluan harian. Beliau berjalan seorang diri ke gua, merentas padang pasir dan bukit-bukit tanpa rasa takut. Malah, kerana kekangan peralatan, beliau mengoyakkan tali pinggangnya menjadi dua untuk mengikat bekalan makanan. Rasulullah SAW memberinya gelaran “Zat an-Nitaqayn”, wanita yang memiliki dua tali pinggang.
Manakala Aisyah RA yang kemudian menjadi isteri Rasulullah SAW, yang ketika itu masih muda, turut menyumbang dengan membantu menyediakan segala keperluan untuk perjalanan Hijrah ini. Setiap peranan dimainkan dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Ini membuktikan bahawa walaupun mereka berbeza usia dan kemampuan, mereka tetap bersatu dalam satu misi besar iaitu menyokong Rasulullah SAW dalam perjuangan menyebarkan Islam.
Inilah gambaran pohon keluarga yang berkah melahirkan generasi pewaris yang membesar dalam naungan kebaikan iaitu Islam. Mereka hidup dalam satu keluarga yang ditanamkan nilai keimanan, kesepakatan, dan kebersamaan dalam merealisasikan visi dakwah. Firman Allah SWT,
“Dan orang-orang yang beriman, anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka…” [TQM At-Tur (52): 21]
Keluarga Sebagai Tapak Asas Dakwah
Islam sangat menekankan peranan institusi keluarga. Ia bukan sahaja tempat untuk berkongsi kasih sayang dan mendapatkan perlindungan, tetapi juga medan utama untuk melahirkan individu beriman dan berilmu. Keluarga yang dibina atas dasar iman dan kefahaman Islam akan melahirkan individu-individu yang bukan sahaja soleh secara peribadi, tetapi juga aktif dalam menyumbang kepada masyarakat. Ia seperti pohon yang akarnya teguh, batangnya kukuh dan rantingnya menjulang ke langit.
“Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Allah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit.” [TMQ Ibrahim (14): 24]
Pada era globalisasi, setiap keluarga Muslim berdepan dengan pelbagai cabaran, bukan sahaja daripada aspek luaran malah dalam institusi keluarga itu sendiri. Cabaran yang dihadapi oleh setiap keluarga mungkin berbeza, tetapi prinsip asas kekeluargaan dalam menyokong dakwah tetap sama dan relevan dari dahulu sehingga kini. Setiap individu perlulah mengetahui bahawa kekuatan dakwah bukan hanya datang dari individu hebat tetapi juga dari institusi keluarga yang bersatu dalam tujuan yang sama iaitu Islam.
Pembinaan sebuah keluarga dakwah bermula dengan asas yang kukuh. Bagi wanita bujang, langkah awal adalah memilih pasangan yang soleh dan berfungsi sebagai pemimpin rumah tangga sekaligus pemimpin di jalan meraih keredhaan Allah SWT. Pasangan seperti ini akan memimpin keluarga bukan dengan kekerasan, tetapi dengan ilmu, kasih sayang, dan kefahaman Islam yang mendalam.
Bagi mereka yang telah berkeluarga, proses pembentukan keluarga berideologi Islam boleh bermula dengan membudayakan ilmu dalam rumah iaitu dengan menghadiri majlis ilmu, membaca buku-buku ilmiah, berdiskusi tentang isu-isu umat, dan menjadikan rumah sebagai tempat subur untuk fikrah Islam tumbuh.
Keluarga dakwah tidak bermaksud semuanya harus menjadi pendakwah secara formal, tetapi setiap ahli keluarga memainkan peranan dalam menyokong misi Islam dengan cara masing-masing. Ada yang mengajar, ada yang menulis, ada yang menyokong logistik dan ada yang mendoakan. Sabda Rasulullah SAW,
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya.” [HR al-Bukhari & Muslim]
Peranan Wanita Membina Keluarga Dakwah
Ramai wanita mungkin berasa terbatas kerana belum dikurniakan anak. Namun, Islam tidak membataskan peranan dakwah hanya kepada yang bergelar ibu. Wanita tetap mampu membentuk keluarga dakwah dengan penglibatan adik-beradik, ibu bapa, pasangan hidup dan masyarakat sekeliling.
Sejarah membuktikan bahawa ramai wanita hebat yang menjadi pemangkin perubahan dalam masyarakat dan memberi sumbangan kepada tinta sejarah Islam tanpa bergelar ibu. Mereka menyumbang melalui ilmu, kebijaksanaan, kecekalan dan akhlak mulia seperti isteri baginda SAW iaitu Aisyah RA.
Selain itu, peranan wanita dalam membina keluarga dakwah perlu dirancang dan disemai dengan kesungguhan. Antara strategi dalam membina keluarga dakwah adalah seperti berikut:
- Didik anak dengan kefahaman Islam. Bermula dari akidah, ibadah, akhlak hingga sikap peduli kepada nasib umat Islam sedunia.
- Wujudkan budaya ilmu dalam rumah. Adakan halaqah kecil, baca bersama buku tarbiah, tonton video ilmiah, dan berdiskusi isu umat.
- Saling menguatkan antara suami dan isteri. Apabila salah seorang lelah, yang lain menjadi penopang. Saling menasihati dan saling mendoakan. Satu yang boleh diamalkan terdapat dalam ayat 74 surah al-Furqan iaitu, “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”
- Jadikan rumah sebagai markas dakwah. Terima tetamu, anjurkan liqa’, ajak jiran dan saudara ke majlis ilmu. Rumah bukan sekadar tempat tidur.
Khatimah
Keluarga yang hidup dalam kerangka dakwah akan melahirkan generasi yang bukan sahaja berpemikiran cemerlang tetapi juga berjiwa besar dan memahami tanggungjawab mereka memperjuangkan Islam dan berdakwah di tengah-tengah masyarakat. Perubahan dalam masyarakat hanya akan berlaku apabila sistem sekarang diubah kepada sistem yang berlandaskan syariat Islam. Namun, usaha ini bermula dengan keluarga sebagai agen perubahan yang menyemai kefahaman, kesedaran dan semangat perjuangan Islam dalam diri setiap ahli keluarga.
Keluarga dakwah yang bersatu hati, cakna isu umat dan istiqamah memperjuangkan Islam akan menjadi asas kukuh kepada pembinaan masyarakat rabbani. Dari sinilah terbit benih peradaban yang bakal merubah dunia. Firman Allah SWT,
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang berjaya.” [TMQ Ali Imran(3): 104].
RUJUKAN:
- https://muslimahhtm.com/2024/09/23/adakah-keluarga-demokratik-ideal/
- https://muslimahhtm.com/2023/04/12/kemuliaan-wanita/
- https://muslimahhtm.com/2024/01/30/peranan-sahabiyah-dalam-proses-tegaknya-islam/
- https://muslimahhtm.com/2025/03/04/pakar-parenting-keluarga-islam-adalah-keluarga-dakwah/
- https://muslimahhtm.com/2023/02/03/dakwah-di-tengah-keluarga/
- https://muslimahhtm.com/2023/07/30/apabila-masalah-mendekati-keluarga-aktivis-dakwah-bagaimana-sepatutnya-bertindak/
- https://muslimahhtm.com/2025/01/30/tugas-cerdas-para-isteri/
- https://muslimahhtm.com/2024/07/19/dua-makna-penting-di-sebalik-hijrah-rasulullah-saw/
- https://muslimahhtm.com/2025/02/04/seputar-gerakan-islam-fasa-mekah-bahagian-20-22/
- https://mykhilafah.com/fikratul-ummah-mac-2015-2/
- https://alwaie.net/ibrah/keberanian-dakwah/