Non-Muslim terus pertikai undang-undang Islam, di mana salahnya?
Undang-undang syariah tidak semestinya memberi “keadilan sebenar” kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat beliau kerana pertikaian terhadap sabitan ke atasnya bukan soal kelayakan (competency) mahkamah sivil, tetapi persoalan sama ada mahkamah bebas dari sikap berat sebelah (bias) atau tidak, ahli Parlimen DAP dipetik sebagai berkata.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah tersilap dalam mempercayai hanya (keadilan) undang-undang syariah yang dapat mengatasi undang-undang sivil. Kami (DAP) tidak sependapat dengan beliau. Ini adalah masalah kebebasan kehakiman, bukan kerana sistem itu sendiri, tegas Anthony Loke, Setiausaha Organisasi DAP. Loke berkata bahawa undang-undang syariah tidak bermakna yang seseorang bebas (dari sikap berat sebelah).
Itulah antara komen-komen yang diberikan oleh anggota DAP yang sememangnya terkenal membantah undang-undang Islam.
Persoalannya, kenapa mereka terus melatah bila keputusan kes Anwar dikaitkan dengan undang-undang syariah? Walaupun kita tidak bersetuju dengan hipotesis yang diberikan oleh non-Muslim ini, tetapi kita memahami bahawa kejahilan mereka tentang undang-undang Islam dan sejarah Islam-lah yang menyebabkan mereka mengeluarkan komen sebegitu.
Oleh sebab mereka hidup dalam sistem demokrasi yang penuh dengan kerosakan dan ketidakadilan ini, maka mereka tidak nampak bagaimana undang-undang syariah dapat memperbaiki keadaan. Jika mereka mengkaji sejarah Islam di bawah pemerintahan Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin, sudah pasti mereka tidak akan mengeluarkan komen sedemikian. Jadi, kita tidak meletakkan kesalahan ini kepada mereka seratus peratus. Ini dari satu sudut.
Dari sudut yang lain, mereka meletak “kesalahan” pada hakim dan badan kehakiman, bukan pada sistem. Bagi mereka, apa jua sistem yang dilaksanakan, jika tidak ada kebebasan kehakiman, maka keadilan tetap tidak akan dapat dicapai.
Mereka tidak nampak bahawa “sistem” yang rosak inilah yang sebenarnya melahirkan badan kehakiman yang rosak. Sistem yang baik sudah pasti akan melahirkan kebaikan manakala sistem yang buruk sudah pasti melahirkan keburukan. “Sistem” adalah ibarat sebuah mesin yang mengeluarkan produk-produk di mana produk yang terhasil sudah pasti akan mengikut acuan mesin tersebut.
Secara umumnya, manusia yang hidup dan dibentuk dalam sistem komunis, sudah pasti akan menjadi komunis dan mengamalkan ajaran Komunisme. Manakala manusia yang hidup dan dibentuk dalam sistem Kapitalis akan menjadi Kapitalis dan mengamalkan ajaran Kapitalisme. Begitulah juga manusia yang hidup dan dibentuk dalam sistem Islam, sudah pasti akan menjadi Muslim yang akan mengamalkan Islam dengan baik. Inilah yang ditunjukkan oleh sejarah dan inilah realitinya hingga kini.
Begitu jugalah dengan Muslim yang hidup dan bergelumang dengan sistem sekular (memisahkan agama dari kehidupan), maka sekular-lah yang menjadi acuan hidupnya. Hanya mereka yang ikhlas dan bertakwa sahajalah yang dapat membentengi dirinya dari kerosakan yang dihasilkan oleh sistem yang buruk ini.
Jadi, jika hakim dan badan kehakiman dilihat rosak pada hari ini, sudah pasti ia terhasil dari sistem yang juga rosak. Ia bukan berdiri sendiri. Inilah realiti sistem sekular (demokrasi) buatan manusia yang sebenarnya rosak dari segenap sudut, bukan sahaja kehakiman.
Kita tidak berapa sedih jika orang kafir yang mempersoalkan Islam berbanding orang Islam sendiri yang mempersoalkan Islam dan tidak mengamalkan Islam. Apa yang lebih menyedihkan kita ialah apabila tahaluf siyasi yang dibuat atas alasan kononnya dapat mendekatkan orang kafir kepada Islam, ternyata semakin menjauhkan mereka dari Islam, malah tanpa segan silu mereka membantah dan tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum Islam. Semoga hati-hati yang bersih dapat memahami hal ini dan meninggalkan tahaluf siyasi yang diharamkan oleh Islam ini.