Peranan Negara Dalam Pengurusan Ibadah Haji

Oleh: Hidayah Muhammad

Muqaddimah

“Labbaikallahhumma labbaik, labbaika laa syarikalaka labbaik, innalhamda wan ni’mata, laka wal mulk laa syariikalaka.”

Apabila terdengar lantunan talbiah ini, tentu hati terdetik untuk menyahut panggilan ke Baitullah. Kepada wanita, jihad paling utama adalah haji yang mabrur sehingga mencetuskan keinginan menggunung tinggi untuk menyahut seruan Rabbnya. Dari Aisyah RA dia berkata, Aku bertanya, “Wahai Rasulullah! Kami memandang bahwa jihad adalah amal yang paling utama, apakah kami boleh berjihad?” Baginda menjawab, “Tetapi jihad yang paling utama bagi kalian (kaum wanita) adalah haji mabrur” (HR Bukhari)

Namun,  mereka yang mampu daripada segi kewangan dan fizikal belum tentu lagi dapat menunaikan ibadah haji kerana masih menunggu giliran. Antara kekangan yang dihadapi umat Islam saban tahun ialah kos pembiayaan yang tinggi. Pada tahun ini, kos haji dianggarkan mencecah RM31,000 sehingga ada cadangan untuk mengurangkan kos dengan cara mengurangkan jumlah hari ketika berada di Tanah Suci. Dalam masa yang sama, Bank Islam  melancarkan kempen Once in a Lifetime, khususnya kepada bakal haji atau waris terdekat yang ingin membantu ibu bapa menunaikan haji dengan memohon pembiayaan peribadi dengan jumlah minimum sebanyak RM50,000.

Persoalannya, adakah cara tersebut dapat menyelesaikan masalah ini secara benar?

Hukum Berhutang untuk Menunaikan Haji

Hukum asal adalah tidak wajib bagi seseorang  itu berhutang untuk menunaikan haji jika dia masih belum mempunyai kemampuan (istitha’ah). Termasuk istitha’ah adalah kos pembiayaan. Fuqaha sepakat bahawa istitha’ah adalah syarat untuk menunaikan haji. Firman Allah SWT, “Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang-orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah..” [TMQ: Ali-Imran (30): 97]

Imam Nawawi berkata, “Tidak wajib atas dia (seorang Muslim) untuk berhutang agar dia dapat menunaikan haji, dalam hal ini tidak ada perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama”. (Al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 7/76). Imam Syafie berkata, “Barangsiapa yang tidak mempunyai kemudahan, keluasan (lebihan) harta yang membolehkannya menunaikan haji tanpa membuat pinjaman (berhutang), ketika itu, ‘dia dianggap tidak berkelayakan untuk pergi haji”. (Al-Umm, 2/116)

Menurut para fuqaha dibolehkan/tidak ada halangan syarak (mani’) bagi seorang Muslim untuk berhutang bagi menunaikan haji atau umrah dengan memenuhi 4 syarat; Pertama, iaitu orang yang berhutang mempunyai kemampuan untuk melunasi pinjaman tersebut,  terdapat riwayat mauquf (pendapat/ijtihad sahabat) dari Abdullah bin Abi Awfa ra pernah ditanya mengenai seseorang yang berhutang supaya dapat naik haji, maka ia menjawab, “seharusnya ia mencari rezeki dari Allah (berkerja) dan tidak meminjam .” lalu Abdullah  bin Abi Awfa berkata , “kami dulu berkata, ‘janganlah ia meminjam, kecuali ia mampu melunasi pinjaman itu.” [HR: Al-Baihaqi, dalam As-Sunan al-Kubra, Bab Al-Istislaf li al-hajj, No 8654]; Ibnu Syaibah, Al-Mushannaf (3/449); dinilai sebagai riwayat yang sahih oleh Nashiruddin al-Albani dalam Al-Silsilah al-Dhai’fah (13/1/329)]

Kedua, hutang yang dilakukan tidak mengakibatkan mudarat (bahaya) bagi keluarga yang wajib dinafkahi ketika orang yang berhutang dalam proses melunasi tersebut. Jika seseorang meminjam wang untuk naik haji, tetapi mengakibatkan terabainya nafkah untuk isteri dan anak-anaknya ketika dia hendak melunasi pinjamamnya, maka meminjam wang itu hukumnya haram. Adapun  jika tidak mengakibatkan terabai nafkah untuk isteri dan anak-anaknya, maka boleh hukumnya ia meminjam wang untuk naik haji. Syarat kedua ini didasarkan pada sabda Rasulullah SAW, “TIdak boleh menimbulkan bahaya bagi diri sendiri (dharar) dan juga bagi orang lain (dhirar).” [HR: Ibnu Majah, no 1909]

Ketiga, Pemberi pinjaman (al-muqtaridh) reda dengan kepergian pihak peminjam (al-mustaqridh) untuk naik haji atau menunaikan umrah. Ada syaratnya keredaan dari pihak peminjam dijelaskan antara lain oleh Syeikh Al-Hatab al-Ru’ainiy, ulama mahzhab Maliki, dalam kitabnya Mawahib Al-Jalil sebagai berikut, “JIka seseorang berhutang untuk dapat naik haji dengan harta yang halal yang menjadi tanggungnya, dan ia berkemampuan untuk melunasi hutang itu, serta pihak pemberi hutang reda (akan kepergian peminjam untuk naik haji), maka hukumnya tidak mengapa (boleh).” (Al-Hatab al-Ru’aini, Mawahib al-Jalil, Juz III, hlm 501)

Syarat keempat, pinjaman untuk naik haji atau umrah tidak mengandungi riba. Jika pinjamannya yang  mempunyai riba, contohnya riba yang berbentuk bunga, walaupun bunga ringan atau dalam bentuk denda ketika orang yang berhutang terlambat melunasi bayaran pinjamannya atau bentuk bayaran tambahan wang yang disepakati pada saat akad pinjaman dan bentuk-bentuk riba lainnya, maka jelas pinjaman itu haram hukumnya. Syeikh Ibnu ‘Utsaimin menegaskan, “JIka seseorang berhutang dengan pinjam yang mengandungi riba agar ia dapat naik haji, maka ini adalah salah satu dari dosa yang terbesar.” (Majmu Fatawa al-syeikh Ibnu ‘Utsaimin, 21/93)

Pengurusan Haji Dalam Negara Khilafah

Peranan negara amat penting dalam mengatur dan mengurus segala persiapan yang dilakukan oleh para jemaah haji. Kerana itulah, Islam menetapkan Khalifah  sebagai Ra’in (pengurus urusan rakyat). Sabda Rasulullah SAW, “Imam (khalifah) adalah pengurus rakyat dan dia bertanggungjawab atas rakyat yang dia urus” [HR Bukhari]. Antara perkara yang wajib diuruskan oleh Khalifah adalah:

(1) Melantik pegawai khusus untuk memimpin dan mengelola pelaksanaan haji dengan sebaik-baiknya. (2) Jika negara perlu menetapkan kos menunaikan haji, maka nilainya tentu akan disesuaikan dengan biaya yang diperlukan oleh para jemaah berdasarkan jarak wilayahnya dengan Tanah haram (Mekah-Madinah), serta penginapan dan prasarana yang diperlukan sepanjang tempoh pergi dan kembali dari Tanah Suci. (3) Khalifah berhak mengatur kuota haji dan umrah. Dengan itu,  tempat terhad tidak menjadi halangan bagi para calon jemaah haji dan umrah. Dalam hal ini, Khalifah perlu memastikan bahawa kewajipan haji hanya dilaksanakan sekali seumur hidup dan bagi mereka yang memenuhi syarat dan berkemampuan. (4) Khalifah akan membangun berbagai sarana dan prasarana untuk memastikan kelancaran, ketertiban, keselamatan dan keselesaan para jemaah haji termasuk sarana pengangkutan menuju ke Tanah Suci serta pengangkutan untuk ke lokasi pelaksanaan ibadah haji seperti Masjidil Haram, Mina, Arafah dan sebagainya.

Negara khilafah bertanggungjawab memastikan prasarana ini disediakan dan ini dapat dibuktikan dengan apa yang dilakukan oleh Khalifah terdahulu. Antaranya, pada tahun 783M, Khalifah Muhammad Al-Mahdi bin Al-Mansur telah melakukan perluasan Masjidil Haram dan memperbanyakkan pintu yang mengelilingi Masjid Haram untuk memudahkan para jemaah melakukan ibadah haji ataupun umrah. Al-Mahdi meninggal sebelum projek perluasan ini selesai. Maka putera yang bernama Musa Al-Mahdi  meneruskan apa yang telah diusahakan ayahnya. Dia menambah luas Masjidil Haram seluas 12,512 meter hingga selama 810 tahun masjidil Haram tidak mengalami perubahan.

Khilafah Abbasiyyah ketika era Khalifah Harun ar-Rasyid telah membangunkan jalur haji Iraq hingga Hijaz (Mekah-Madinah) dan telah membangun saluran air untuk para jemaah haji yang yang telah kekurangan bekalan air sepanjang perjalanan. Di setiap checkpoint dibangunkan pos perkhidmatan umum yang menyediakan logistik termasuk dana zakat. Cadangan yang dipelopori oleh isteri beliau iaitu Zubaidah ini telah mengeluarkan kos sebanyak 1.7 juta dinar.

Khatimah 

Paradigma negara Khilafah adalah ri’ayah syu’un al-hujjaj wa al-‘ummar (mengurus urusan jemaah haji dan umrah). Jadi segala yang dilakukan dalam pengurusan haji itu dilakukan dengan prinsip ri’ayah (menyediakan perkhidmatan), bukan bermotifkan unsur komersil atau mengambil keuntungan daripada jemaah. Berbeza dengan realiti hari ini, pengurusan haji diurus oleh negara masing-masing tanpa ada kesatuan dalam perkhidmatan kerana tiada kesatuan dalam kepimpinan. Akibatnya masalah yang dihadapi oleh bakal haji disebabkan kos menunaikan haji yang melambung tinggi akan sentiasa berlaku kerana urusan haji diperingkat negara-negara umat Islam diatur oleh negara-negara itu sendiri selain mereka sendiri terpaksa akur kepada aturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi yang menganggap raja mereka sebagai Khadim al-Ḥaramain asy-Syarifain  (Penjaga Dua Kota Suci), seolah-olah dua kota suci iaitu Mekah dan Madinah adalah milik mereka dan bukannya milik umat Islam di seluruh tanpa mengira sempadan dan geografi. Wallahu alam bisshawab.

Rujukan

https://www.sinarharian.com.my/article/225255/berita/nasional/isu-tempoh-tunggu-giliran-haji-akan-ditangani-pengurusan-th

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/02/kurang-jumlah-hari-bukan-penyelesaian-isu-kos-haji-meningkat/

https://www.astroawani.com/berita-bisnes/bank-islam-tawar-pembiayaan-peribadi-untuk-bakal-haji-414186

https;//muslimahnews.net/2023/02/09/17511/

https://muslimahnews.ner/2023/05/11/199964

https://www.muslimahnews.com/2021/06/21/penyelenggaraan-ibadah-haji-perlu-visi-pelayanan/