SN007 – Kemiskinan Atau Pemiskinan?

PDF

SN Keluaran 2005

 

SN

[SN007] Kemiskinan adalah satu permasalahan global yang masih menghantui umat Islam di seluruh dunia semenjak dahulu hingga kini. Kemelut ini seringkali meletakkan umat Islam di kancah kehinaan. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, “tidak ada cabaran yang paling hebat melanda dunia Islam hari ini selain daripada kemiskinan yang menyebabkan agama itu dan umatnya dipandang rendah serta diperlekehkan” (Utusan Malaysia, 18hb Februari 2005). Pelbagai pendapat di utarakan dan bermacam pendekatan telah dan sedang dibincangkan terutamanya di sidang-sidang kemuncak peringkat dunia (world summit) yang mana, matlamat akhirnya adalah untuk mencari jalan penyelesaian paling berkesan untuk mengurangkan kadar kemiskinan. Akhbar itu juga memetik PM sebagai berkata ”Tidak ada yang menjatuhkan maruah, imej dan pengaruh umat Islam melainkan kemiskinan. Negara-negara miskin dengan rakyatnya yang lemah akan dipandang rendah, dieksploitasi dan diketepikan, ujarnya sambil menambah hanya kekayaan dan kemajuan akan menjadikan dunia Islam dihormati dan dipandang tinggi”. Persoalannya, adakah benar kata-kata Perdana Menteri bahawa hanya kekayaan dan kemajuan akan menjadikan dunia Islam dihormati dan dipandang tinggi? Adakah benar ini merupakan penyelesaian sebenar menurut Islam ataupun umat Islam sendiri masih teraba-raba sehingga penyelesaian masalah dicari menurut perspektif Kapitalis?

 

Takrif Kemiskinan menurut Kapitalis

Kemiskinan biasanya ditakrifkan secara relatif mengikut keadaan masyarakat di sesebuah negara. Dua konsep kemiskinan yang biasa digunakan adalah kemiskinan mutlak iaitu konsep cukup makan dan kemiskinan relatif iaitu konsep ketidaksamaan pendapatan. Pengukuran yang kerap digunakan bagi mengukur kemiskinan mutlak adalah kadar kemiskinan iaitu peratusan penduduk atau isi rumah yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan.

Kemiskinan Mutlak

~ Satu keadaan yang mana pendapatan kasar bulanan tidak mencukupi untuk membeli keperluan minimum sesebuah isi rumah yang diukur berdasarkan tahap perbelanjaan minimum atau Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Kemiskinan Relatif

~ Ketidaksamaan pendapatan antara kumpulan. Ia diukur dengan menggunakan nisbah perbezaan pendapatan kumpulan pendapatan, kumpulan etnik dan penghuni bandar serta luar bandar. Satu lagi pengukur kemiskinan relatif yang sering digunakan adalah peratus isi rumah dengan pendapatan misalnya kurang daripada separuh pendapatan penengah atau purata.
SUMBER: Kualiti Hidup Malaysia 1999, Unit Perancang Ekonomi.

Takrif Kemiskinan Menurut Islam

Memang benar, kemiskinan adalah salah satu sebab kemunduran dan kehancuran suatu bangsa. Bahkan Islam memandang kemiskinan merupakan suatu ancaman dari syaitan. Allah SWT berfirman:

“Syaitan menjanjikan(menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat yang keji dan Allah menjanjikan kepadamuampunan dan kurnia; dan Allah Maha Luas (kurniaNya) dan Maha Mengetahui” [Al-Baqarah(2): 268]

Disebabkan itulah, Islam sebagai risalah syumul dan sebuah ideologi yang sahih, sangat prihatin terhadap masalah kemisikinan dan usaha-usaha mengatasinya.

Dalam fiqih, dibezakan antara istilah fakir dan miskin yang mana fakir adalah orang yang tidak mempunyai kecukupan harta untuk memenuhi keperluan pokoknya sedangkan miskin adalah orang yang sama sekali tidak mempunyai apa-apa.

Cara Islam Mengatasi Kemiskinan

Islam sebagai sistem hidup yang sahih memiliki cara untuk menangani masalah kemiskinan. Syariat Islam memiliki banyak hukum yang berkaitan dengan penyelesaian masalah kemiskinan walau apapun jenisnya, yang mana ia tidak berdiri sendiri, melainkan ianya saling berkait-rapat dengan hukum-hukum lainnya secara bersepadu. Penyelesaian Islam untuk mengatasi kemiskinan dapat dijelaskan sebagai berikut:

1. Jaminan Pemenuhan Keperluan Pokok (Primary Needs)

Islam telah menetapkan keperluan pokok manusia terdiri dari makanan, pakaian dan tempat tinggal. Walaubagaimanapun, jaminan pemenuhan keperluan pokok bagi setiap individu tidak bererti negara akan membahagi-bahagikan makanan, pakaian, dan perumahan kepada sesiapa sahaja sehingga menjadikan rakyatnya malas, sebaliknya, ia dilakukan dengan mengujudkan mekanisma-mekanisma yang dapat menangani masalah kemiskinan. Mekanisma tersebut adalah:

a. Mewajibkan Lelaki Memberi Nafkah Kepada Diri dan Keluarganya.
Islam mewajibkan laki-laki yang mampu dan memerlukan nafkah untuk bekerja dalam rangka memenuhi keperluannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

”Kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’ruf.”
[Al-Baqarah (2): 233].

b. Mewajibkan saudara terdekat untuk membantu saudaranya

Realiti menunjukkan bahwa tidak semua lelaki berkemampuan untuk bekerja mencari nafkah. Ada dikalangan mereka yang cacat mental atau fizikal, sakit, lanjut usia dan lain-lain penyebab ketidakmampuannya untuk bekerja. Dalam situasi sebegini, pemenuhan nafkahnya adalah menjadi tanggungjawab kerabat terdekat yang memiliki hubungan darah untuk membantu mereka. Allah SWT berfirman yang bermaksud::

“…Dan kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya, dan seorang ayah kerana anaknya. Dan warispun berkewajipan sedemikian…” [Qs. al-Baqarah (2): 233].

Jika seseorang secara peribadi tidak mampu memenuhi keperluannya maka kewajiban memenuhi nafkah beralih ke kerabat terdekatnya sekiranya terdapat kelebihan harta.

“Sebaik-baik sedekah adalah harta yang berasal dari selebihnya keperluan.”
[HR. Imam Bukhari dari Abu Hurairah].

c. Mewajibkan Negara untuk Membantu Rakyat Miskin
Jika seseorang yang miskin tidak memiliki saudara yang boleh membantunya, kewajiban memberi nafkah beralih ke Baitul Mal (kewangan negara). Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Siapa saja yang meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya, dan siapa saja yang meninggalkan ‘kalla’ (sebatang kara iaitu orang yang lemah, tidak mempunyai anak dan ibu-bapa), maka dia menjadi kewajiban kami.”
[HR. Imam Muslim].

d. Mewajibkan Kaum Muslim untuk Membantu Rakyat Miskin
Apabila di dalam Baitul Mal tidak ada harta sama sekali, maka kewajiban menafkahi orang miskin beralih ke kaum Muslim secara kolektif. Allah SWT berfirman:

“Di dalam harta mereka, terdapat hak bagi orang miskin yang meminta-minta yang tidak mendapatkan bahagian.” [Qs. adz-Dzariyat (51): 19].

Mekanisma ini dilakukan dengan dua cara. Pertama, kaum Muslim secara individu membantu orang-orang yang miskin. Kedua, negara mewajibkan dharibah (cukai) kepada orang-orang kaya, hingga mencukupi keperluan untuk membantu orang miskin. Cukai ini hanya diwajibkan ketika Baitul Mal benar-benar kehabisan sumber kewangan.

2. Pengaturan Pemilikan

Pengaturan pemilikan yang dimaksud mencakup tiga aspek, yaitu jenis-jenis pemilikan, pengelolaan pemilikan dan pengagihan kekayaan di tengah-tengah masyarakat. Pengaturan pemilikan untuk mengatasi masalah kemiskinan dijelaskan sebagai berikut.

a. Jenis-jenis Pemilikan

Syariat Islam mendefinisikan pemilikan sebagai izin dari as-Syaari’ (Pembuat Hukum) untuk memanfaatkan suatu zat atau benda. Terdapat tiga jenis pemilikan dalam Islam, iaitu pemilikan individu, pemilikan umum dan pemilikan negara.

* Pemilikan individu adalah izin dari Allah SWT kepada individu untuk memanfaatkan sesuatu seperti hasil kerja seperti gaji, warisan, pemberian negara, hadiah dan lain-lain. Pemilikan individu ini menjadi motivasi kepada individu untuk berusaha mencari harta untuk mencukupi keperluannya dan berusaha untuk tidak hidup miskin.

* Pemilikan Umum adalah izin dari Allah SWT kepada jamaah (masyarakat) untuk secara bersama-sama memanfaatkan sesuatu. Aset yang tergolong pemilikan umum ini tidak boleh sama sekali dimiliki secara individu atau dimonopoli oleh sekelompok orang. Aset yang termasuk jenis ini adalah: Pertama, segala sesuatu yang menjadi keperluan utama masyarakat, dan akan menyebabkan persengkataan jika ia lenyap seperti sumber air, elektrik dll. Kedua, segala sesuatu yang secara semulajadi tidak boleh dimanfaatkan hanya oleh individu seperti sungai, danau, laut, jalan umum, dan lain-lain. Ketiga, bahan galian yang jumlahnya sangat besar, seperti emas, perak, petroleum, arang batu dan lain-lain.

Secara praktiknya, pemilikan umum ini dikelola oleh negara dan hasilnya (keuntungannya) dikembalikan kepada masyarakat. Elektrik atau air, sebagai contoh boleh diagihkan kepada masyarakat umum dengan harga yang murah, atau percuma. Pengaturan pemilikan umum seperti ini jelas menjadikan aset-aset milik masyakat dapat dinikmati bersama, tidak dimonopoli oleh seseorang atau sekelompok orang, sehingga yang lain tidak memperoleh apa-apa; sebagaimana yang tejadi dalam sistem kapitalis. Dengan demikian masalah kemiskinan dapat dikurangkan, bahkan diatasi dengan adanya pengaturan pemilikan umum seperti ini. Pengaturan kepemilikan umum dibawah Islam ini akan melepaskan bebanan kepada rakyat dalam membayar cukai tahunan seperti yang berlaku di negara-negara yang mengamalkan sistem kapitalisma. Ini adalah kerana keuntungan yang diperolehi dari pengelolaan kepemilikan umum seperti petroleum dan bahan-bahan galian lainnya, sebagai contoh, akan menjadi salah satu dari sumber pendapatan untuk dibelanjakan kembali bagi tujuan kemaslahatan masyarakat. Ini adalah suatu yang amat mudah untuk ditanggapi memandangkan sumber petroleum dunia dikuasai hampir sepenuhnya oleh negeri-negeri kaum muslimin.

* Kepemilikan Negara adalah setiap harta yang menjadi hak kaum Muslim, tetapi hak pengelolaannya diwakilkan pada Khalifah (sesuai dengan ijtihadnya) sebagai ketua negara. Aset yang termasuk jenis pemilikan ini di antaranya adalah: fa’i, kharaj, jizyah, atau kilang-kilang seperti kilang yang menghasilkan peralatan berat yang mempunyai kepentingan untuk Daulah. Adanya pemilikan negara dalam Islam jelas menjadikan negara memiliki sumber-sumber aliran masuk tunai (cash in-flow) dan aset-aset yang cukup banyak. Dengan demikian negara akan mampu menjalankan tugas dan fungsinya sebagai pengatur urusan rakyat termasuk memberikan jaminan pemenuhan keperluan rakyat miskin.

b. Pengelolaan Pemilikan

Pengelolaan pemilikan dalam Islam mencakup dua aspek iaitu pengembangan harta (tanmiyatul Mal) dan penginfaqkan harta (infaqul Mal) melalui pengaturan berbagai hukum Islam seperti melarang seseorang untuk mengembangkan hartanya dengan cara riba, melarang seseorang bersifat kedekut dan sebagainya. Dengan adanya pengaturan pengelolaan pemilikan akan menjadikan harta itu beredar, ekonomi berkembang dengan sihat dan kemiskinan dapat diatasi.

c. Pengagihan Kekayaan di Tengah-tengah Masyarakat

Pincangnya pengagihan kekayaan di tengah-tengah masyarakat telah menjadi faktor terpenting penyebab terjadinya kemiskinan. Dengan mengamati hukum-hukum syara’ yang berhubungan dengan masalah ekonomi, akan kita jumpai secara umum hukum-hukum tersebut senatiasa mengarah pada terwujudnya pengagihan kekayaan secara adil dalam masyarakat.

3. Penyediaan Pekerjaan

Menyediakan pekerjaan merupakan kewajiban negara. Hal ini menyandar pada keumuman hadits Rasululah SAW:

“Seorang iman (pemimpin) adalah bagaikan penggembala, dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas gembalaannya (rakyatnya).”
[HR. Bukhari dan Muslim].

4. Penyediaan Perkhidmatan Pendidikan
Kemiskinan yang sering dikaitkan dengan kualiti pendidikan dan lemahnya sumber manusia dapat diatasi dengan memberikan pendidikan kepada rakyat secara percuma dengan tujuan untuk melahirkan individu yang memiliki berkeperibadian Islam yang teguh dan memiliki keterampilan serta kelayakan untuk bekerja.

Khatimah

Kemiskinan hanyalah merupakan masalah cabang (furu’) iaitu simptom atau gejala dan bukannya penyakit sebenar didalam umat Islam hari ini. Selagi umat Islam tidak berusaha mengubati masalah pokok, iaitu tidak terlaksananya hukum-hakam Islam secara keseluruhan (kaffah), masalah ini tidak akan dapat diselesaikan. Konsep penyelesaian kemiskinan yang ditunjukkan oleh Islam seperti yang dibincangkan diatas tidak akan dapat dijalankan tanpa adanya Daulah Khilafah. Memberi pendidikan dan menyediakan sarana untuk menjana kekayaan tanpa mengasaskannya kepada Islam melalui penegakkan Daulah Khilafah mungkin akan hanya menyelesaikan gejala tersebut buat sementara waktu. Masalah kemiskinan pasti akan muncul kembali kerana ‘pemiskinan’ manusia sebagai harga yang dibayar buat kekayaan sebahagian kecil manusia lainnya merupakan sifat naluriah sistem kapitalis. Islam akan tetap dihina dan usaha untuk menghancurkannya akan terus berlaku. Hanya dengan menerapkan Islam sepenuhnya kemiskinan akan dapat diatasi. Hanya dengan Islamlah umat Islam tidak akan diperlekehkan lagi. Hanya dengan Islamlah kaum muslimin akan kembali menerajui kepimpinan dunia. Pilihan kini terletak ditangan kita sendiri; kemiskinankah yang ingin kita atasi atau pemiskinan yang ingin terus kita jejaki. Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah, buatlah pilihan yang mulia; marilah kita sama-sama berusaha untuk mengembalikan Islam sebagai rahmatan lil-‘alamin (rahmat bagi seluruh alam) dan ini hanya akan dapat direalisasikan dengan menegakkan semula Daulah Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah.

Wallahua’lam