Tidak ada Kewajiban Untuk Memuliakan Tetamu Yang Telah Menumpahkan Darah Jutaan Umat Islam!
Alasan beberapa pihak yang menyambut Obama dengan dalih menghormati tetamu tidak dapat diterima oleh Hizbut Tahrir Indonesia. Jurucakap Hizbut Tahrir Indonesia, Muhammad Ismail Yusanto mengatakan bahawa memang benar Obama adalah tetamu, tetapi tetamu itu ada dua jenis. Ada tetamu yang baik dan ada juga tetamu yang bermasalah. Obama adalah jenis tetamu yang kedua, kerana dia sehingga ke saat ini masih berterusan menghancurkan negeri-negeri kaum Muslimin dan membunuh umat Islam di pelbagai negara.
Menurut Ismail, Obama merupakan presiden dari sebuah negara yang pada saat ini secara jelas sedang menjajah negara-negara umat Islam seperti Iraq dan Afghanistan. AS juga secara terus-menerus menyerang wilayah perbatasan Pakistan dan Afghanistan. Akibatnya, kedua-dua negara itu kini sedang hancur. Bukan setakat serangan fizik, tetapi mereka juga menyerang umat Islam melalui bidang sosial, politik, ekonomi dan budaya. Tidak dapat dihitung betapa besarnya angka kerugian yang dilakukan oleh mereka sehingga saat ini. Ratusan ribu atau mungkin mencecah jutaan rakyat di sana telah meninggal dunia akibat kejahatan yang telah dilakukan oleh rejim AS.
Menurut penelitian John Hopkins University, akibat campur tangan AS ke Iraq sejak tahun 2003, lebih daripada 1 juta orang penduduk awam Iraq telah terbunuh. Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab di atas tragedi ini? Sudah tentu jawapannya adalah Amerika Syarikat. Dan kini, negara itu sedang dipimpin oleh Obama. Dahulu, ketika AS menceroboh Iraq dan Afghanistan, AS dipimpin oleh Presiden Bush. Tetapi Obama tidak sekali-kali mengubah polisi biadab itu. Memang pernah ada rancangan untuk menarik kembali pasukan tentera keluar dari Iraq, tetapi sehingga ke hari ini, rancangan itu tidak pernah terlaksana. Lebih memburukkan lagi, 30 ribu pasukan tentera tambahan telah dikerahkan ke Afghanistan. Ini bermakna, jumlah kerosakan, penderitaan dan kematian rakyat di sana akan terus meningkat.
Menurut Ismail lagi, Obama tidak jauh beza dengan Bush, di mana tangan mereka senantiasa berlumuran darah dan tidak memiliki rasa belas kasihan sedikit pun terhadap umat Islam. Faktanya, sehingga kini tidak ada sedikit ungkapan rasa simpati pun terhadap mangsa korban tragedi Gaza setahun lalu. Jangankan simpati terhadap mangsa atau kutukan terhadap pelaku (Israel), malah untuk membincangkan peristiwa itu pun tidak pernah dilakukan. Dalam pidato perlantikannya sebagai Presiden, tidak ada sedikit pun yang ia sentuh berkenaan isu Gaza. Padahal Tragedi Gaza merupakan peristiwa besar yang telah meragut nyawa lebih daripada 1300 orang, sekaligus telah menarik perhatian masyarakat dunia. Tetapi bagi Obama, tragedi Gaza itu seolah-olah tidak pernah wujud di dalam sejarah dunia.
Ketika Ismail ditanya tentang Rasulullah SAW mewajibkan umat Islam untuk memuliakan tetamu walaupun seseorang itu adalah dari kalangan orang kafir, Ismail menjawab, memang benar, tetapi dengan syarat jika tetamu itu mempunyai niat yang baik dan tidak melakukan kejahatan terhadap umat Islam seperti mahu menuntut ilmu, ingin mengetahui tentang Islam atau tetamu itu merupakan utusan dari sebuah negara musuh yang ingin membincangkan tentang perundingan damai dengan umat Islam, dengan syarat bahawa peperangan itu perlu dihentikan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perundingan.
Oleh kerana itu, untuk menerima Obama sebagai tetamu yang baik, Obama haruslah terlebih dahulu menghentikan kejahatan Amerika di seluruh dunia Islam, termasuklah menarik pasukan tenteranya keluar dari Iraq, Afghanistan, Pakistan dan tidak lagi menyokong Israel yang terus-menerus membunuh umat Islam.
“Tetapi Obama datang ke Indonesia sama sekali bukan untuk membicarakan tentang hal itu (rundingan), bagaimana kita dapat menyambut tetamu seperti itu, sedangkan tangannya masih basah dengan lumuran darah saudara-saudara kita umat Islam?”, tegas Ismail Yusanto.
Ismail kemudian membacakan Hadis Rasulullah SAW :
مَنْ ذَبَّ عَنْ عَرَضِ أَخِيْهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ كَانَ حَقًّا عَلَى اللهِ أَنْ يَعْتِقَهُ مِنَ النَّارِ
“Barangsiapa yang melindungi kehormatan saudaranya pada saat tidak berada di sampingnya, maka Allah pasti akan membebaskannya daripada api neraka”.[HR. Ishaq bin Rahwiyyah dari Asma’ binti Yazid]
Ibnu Hisyam di dalam Sirah Nabawiyyah meriwayatkan tentang bagaimana sikap Rasulullah SAW terhadap Abu Sufian, seorang pemimpin kafir Quraisy (yang juga bapa mertua Rasulullah SAW). Baginda SAW sama sekali tidak melayan kedatangannya, bahkan dengan tegas menyatakan bahawa baginda bersedia untuk menyerang Mekah kerana pengkhianatan yang telah dilakukan oleh kaum Quraisy terhadap perjanjian Hudaibiyyah. Nabi SAW tidak pernah menerima dan menyambut Abu Sufian bin Harb dengan sambutan hormat dan belas kasihan. Akan tetapi baginda SAW melayan Abu Sufian dengan sangat tegas sehinggakan harga diri dan kesombongan Abu Sufian luruh bagaikan serangga yang sedang kepanasan kerana disambar oleh api.
Lihatlah, bagaimana sikap Rasulullah SAW terhadap utusan yang ingin membincangkan perdamaian dengan umat Islam diperlakukan dengan buruk kerana telah mengkhianati kesepakatan damai, apatah lagi dengan Obama yang sememangnya datang bukan bertujuan untuk berunding dan menghentikan kejahatan perangnya terhadap umat Islam.
Justeru, dari aspek manakah yang dapat dikatakan bahawa para penguasa negeri umat Islam wajib menerima, menyambut, dan memuliakan tetamu dari kalangan para penguasa kafir yang angkuh dan zalim itu? Sedangkan bukankah Nabi SAW dan para sahabatnya secara jelas menolak dan tidak melayan kedatangan Abu Sufian bin Harb. Oleh itu, sesiapa yang menggunakan kisah tentang kedatangan Abu Sufian ke Madinah sebagai justifikasi untuk membenarkan tindakan mereka (dalam menyambut Obama), itu adalah merupakan satu istinbath yang keliru dan direka-reka.
Sumber : Syabab.com