Ucapan Ulama Tersohor dan Amir Hizbut Tahrir, al-Alim al-Jalil Atha’ bin Khalil Abu ar-Rashtah (semoga Allah melindunginya) Sempena 105 Tahun Kejatuhan Khilafah

بسم الله الرحمن الرحيم
Ucapan Ulama Tersohor dan Amir Hizbut Tahrir, al-Alim al-Jalil Atha’ bin Khalil Abu ar-Rashtah (semoga Allah melindunginya) Sempena 105 Tahun Kejatuhan Khilafah
[Terjemahan]
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah (saw), ahli keluarganya, para Sahabatnya, dan siapa jua yang mengikutinya…wa ba’du
Kepada umat Islam, umat jihad, umat yang adil dan ihsan dengan izin Allah..sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia..semoga Allah memuliakannya dengan kemenangan dan kekuasaan.
Kepada para pengembang dakwah yang berjuang untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dengan jalan menegakkan al-Khilafah ar-Rasyidah…kami menganggap mereka – dengan izin Allah – sebagai orang-orang yang bertakwa, murni, mulia lagi diberkati.
* Pada hari-hari seperti ini 105 tahun yang lalu, pada akhir Rajab 1342 H, bersamaan awal Mac 1924 M, kaum kafir penjajah yang diketuai oleh Britain pada waktu itu, dengan kerjasama para pengkhianat Arab dan Turki, telah berjaya menghancurkan Khilafah. Penjenayah ketika itu, Mustafa Kamal, telah mengisytiharkan kekufuran yang nyata (al-kufr al-bawaah) dengan menghapuskan Khilafah, mengepung Khalifah di Istanbul, dan mengusirnya pada pagi hari tersebut.
Demikianlah berlakunya goncangan yang sangat dahsyat di negeri kaum Muslimin dengan lenyapnya Khilafah, sumber kemuliaan mereka dan keredhaan Tuhan mereka. Adalah menjadi kewajipan ke atas umat Islam ketika itu untuk mengangkat pedang terhadap si penjenayah tersebut sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Rasulullah (saw) Muttafaq ‘Alaih daripada Ubadah bin as-Samit (ra):
وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْراً بَوَاحاً عِنْدَكُمْ مِنْ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ
“(Bahawa) kami tidak merampas urusan daripada pemiliknya kecuali kalian melihat kekufuran secara terang-terangan yang mana kalian memiliki bukti yang nyata dari Allah tentangnya”
Namun umat Islam telah gagal dalam hal itu, mereka tidak melakukan tindakan yang boleh menghentikan penjenayah itu dan para pengikutnya dan menewaskan mereka. Sebaliknya, goncangan kehilangan Khilafah itu berterusan, diikuti dengan merebaknya pengaruh kafir penjajah ke dalam negeri kaum Muslimin, sehingga mereka berjaya memecah-belahkan negeri-negeri kita, dan merobek-robeknya menjadi cebisan-cebisan kecil yang mencecah sehingga kira-kira 55 cebisan!
* Kemudian, para penguasa Ruwaibidhah di negeri kaum Muslimin menambah satu lagi goncangan ke atas goncangan ini – mereka tidak menghalang Yahudi daripada menjajah Tanah Palestin Yang Diberkati, tanah Isra’ dan Mi’raj-nya Rasulullah (saw). Para penguasa ini kemudian menjunam lagi beberapa darjat dengan bergegas ke arah menormalisasi hubungan dengan entiti Yahudi tanpa kaum terlaknat itu berundur sedikit pun (dari Palestin)!! Sebahagian mereka melakukan jenayah normalisasi ini di sebalik tabir, manakala sebahagian lagi melakukannya secara terang-terangan siang dan malam!
Demikianlah mereka semua berlumba-lumba dalam melakukan jenayah tanpa mempedulikan kehinaan yang menyelubungi mereka dari hujung rambut hingga ke hujung kaki:
﴿سَيُصِيبُ الَّذِينَ أَجْرَمُوا صَغَارٌ عِنْدَ اللَّهِ وَعَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا كَانُوا يَمْكُرُونَ﴾
“Orang-orang yang berdosa akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan azab yang keras kerana tipu daya yang mereka lakukan” [Al-An’am (6): 124].
* Beginilah keadaan kalian wahai kaum Muslimin setelah lenyapnya Khilafah daripada kalian, dan kalian diperintah oleh penguasa Ruwaibidhah yang pada hari ini tunduk pada arahan si diktator Trump, hatta berkenaan Gaza Hasyim dan seluruh Tanah Yang Diberkati sekali pun. Trump telah mempengerusikan satu mesyuarat pada bulan September 2025 yang menghimpunkan Arab Saudi, UAE, Qatar, Mesir, Jordan, Turki, Indonesia dan Pakistan, di sisi mesyuarat Perhimpunan Agung PBB, dengan menyifatkannya sebagai satu mesyuarat yang terpenting.
Kemudian Trump membentangkan, atau lebih tepatnya memaksakan, ke atas para penguasa tersebut, pelan 20 perkara yang mana butirannya membawa maksud kehilangan Gaza, penguasaan dan penjajahan ke atas tanah tersebut, demi menjadikan Gaza sebagai taman syurga untuknya dan entiti Yahudi! Selepas itu, Al-Sisi mengadakan keraian di Mesir untuk Trump dan pelan durjananya itu.
Ini adalah mukadimah kepada Resolusi Majlis Keselamatan PBB No. 2803 yang memberikan amanah atau penjajahan untuk mentadbir Gaza Hasyim (melalui satu lembaga) yang Trump namakannya sebagai Lembaga Keamanan! Kemudian Presiden negara penjajah itu mengisytiharkan bahawa dia akan mengumumkan ahli-ahli lembaga tersebut yang akan diketuainya di Gaza pada awal tahun ini, 2026.
Al-Jazeera juga telah memetiknya sebagai berkata, “bahawa kemungkinan besar Trump akan melantik seorang Jeneral Amerika untuk memimpin pasukan penstabilan di Semenanjung itu” (Al-Jazeera, 11/12/2025). Dengan kata lain, Trump akan menguasai lembaga pemerintahan dan pasukan keselamatan di Gaza!
Kemudian wakilnya, Witkoff, bertemu di Miami dengan negara-negara “perantara” Turki, Mesir dan Qatar pada 19/12/2025 untuk memajukan fasa kedua perbincangan berkenaan cara menghantar pasukan penstabilan dan perlucutan senjata Hamas serta membincangkan langkah-langkah praktikal untuk melaksanakannya!
Kemudian Trump bertemu dengan Netanyahu di Florida dan berkata: “Mesyuarat itu sangat produktif” dan menambah kepada wartawan: “Perbincangan menyentuh isu perlucutan senjata Hamas, menegaskan bahawa tempoh yang singkat akan diberikan kepada Hamas untuk berbuat demikian, sambil memberi amaran bahawa akibat yang buruk akan berlaku jika Hamas tidak mematuhinya” (BBC, 30/12/2025).
Trump berkata demikian sedangkan dialah yang membekalkan entiti Yahudi dengan segala senjata, berat dan sangat berat, dalam perang ganas ke atas Gaza yang menghancurkan manusia, pepohonan dan bebatuan. Trump berkata demikian dan melakukan semua kejahatan itu di hadapan mata dan telinga para penguasa negeri kaum Muslimin, yang telah mengkhianati Tanah Yang Diberkati dengan terus berpeluk tubuh daripada membebaskannya, malah bertepuk tangan untuk Trump atas pelan 20 perkaranya!
* Para penguasa ini bukan hanya mengkhianati Palestin semata-mata, tetapi juga negeri-negeri yang mereka perintah sendiri, demi kepentingan kafir penjajah dan atas arahan kafir penjajah, terutama Amerika. Selatan Sudan telah dipisahkan dari utaranya dan kini Darfur sedang menuju jalan yang sama. Begitu juga Libya, sedang berada dalam konflik dan perpecahan kepada dua negara. Yemen turut terpecah kepada utara dan selatan, malah bahagian selatan itu sendiri berpecah sesama sendiri!
Manakala Syria baru pula, telah melemparkan dirinya ke pangkuan Amerika. Ia membebaskan para samseng dan konco-konco rejim sebelumnya, dan dalam masa yang sama menahan para pemuda Hizbut Tahrir yang menyeru kepada Khilafah, menghukum dan memenjara para pemuda tersebut sehingga mencecah sepuluh tahun.
Tidak cukup dengan itu, para penguasa Ruwaibidhah ini bahkan menyerah kalah atau menyerahkan bahagian-bahagian lain dari wilayah Islam – Kashmir dibiarkan dirampas oleh musyrikin Hindu; Rusia dibiarkan merampas Chechnya dan juga wilayah kaum Muslimin lainnya di Asia Tengah; Timor Timur dipisahkan dari Indonesia; Cyprus, kubu kuat umat Islam selama bertahun-tahun, kini sebahagian besarnya dikuasai oleh Greece; Muslim Rohingya dibiarkan disembelih di Myanmar, dan jika mereka lari ke Bangladesh, rejim di sana menekan mereka, dan tidak menolong mereka dengan memerangi musuh mereka! Manakala Turkestan Timur pula diperlakukan oleh China dengan kebuasan yang binatang buas sekali pun akan lari darinya.
Sedangkan para penguasa yang ada di negeri-negeri kaum Muslimin terus diam seumpama kubur. Jika mereka bersuara sekali pun, mereka akan mengatakan yang penindasan China terhadap umat Islam adalah masalah dalaman China!
﴿كَبُرَتْ كَلِمَةً تَخْرُجُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ إِنْ يَقُولُونَ إِلَّا كَذِباً﴾
“Alangkah buruknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka; mereka tidak mengatakan (sesuatu) kecuali dusta” [Al-Kahf (18): 5]
Wahai perajurit dalam angkatan tentera kaum Muslimin! Apakah kalian tidak mampu untuk mengikuti jejak langkah orang-orang sebelum kalian dari kalangan tentera Islam, lalu kalian menegakkan kewajipan Allah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa dengan membebaskan Palestin dan Gaza Hasyim melalui jihad fi sabilillah, yang merupakan puncak ajaran Islam? Lalu kalian seterusnya mengembalikan setiap jengkal tanah kaum Muslimin yang telah dipisahkan dari asalnya atau dirampas oleh kafir penjajah di timur dan barat bumi, serta memburu mereka sehingga ke sarang mereka? Tidakkah kalian mampu berbuat demikian? Sesungguhnya kalian mampu dengan izin Allah:
* Kerana kalian adalah putera-putera umat Islam, umat Rasulullah (saw), umat kaum Muhajirin dan Ansar, umat Khulafa’ ar-Rasyidin dan para Khalifah selepas mereka. Kalian adalah anak-cucu Harun ar-Rasyid yang memberikan jawapan terhadap Raja Rom kerana melanggar perjanjiannya dengan kaum Muslimin dan menyerang mereka: “Jawapannya ialah apa yang kamu lihat, bukan apa yang kamu dengar”, dan demikianlah yang terjadi. Kalian adalah anak-cucu al-Mu’tasim yang memimpin bala tentera untuk menyelamatkan seorang wanita yang dizalimi oleh orang Rom, yang menjerit “Wahai Mu’tasim”. Kalian adalah anak-cucu Salahuddin, penakluk tentera Salib dan pembebas al-Aqsa daripada kekotoran mereka pada 27 Rajab 583H bersamaan 2 Oktober 1187M.
* Kalian adalah anak-cucu Muhammad al-Fatih, seorang pemimpin muda yang dimuliakan Allah (swt) dengan pujian Rasulullah (saw) sebagai penakluk Konstantinopel:
فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ
“Sebaik-baik pemimpin ialah pemimpin (yang membuka)nya, dan sebaik-baik tentera ialah tentera (yang membuka)nya”
Kota tersebut dibuka melalui tangannya – semoga Allah merahmati dan mengurniakan nikmat ke atasnya – pada tahun 857 H (1453 M). Kalian adalah anak-cucu Khalifah Salim III, yang pada zamannya Amerika Syarikat terpaksa membayar cukai tahunan kepada walinya di Algeria sebanyak $642,000 dalam bentuk emas, serta 12,000 Lira emas Uthmaniyyah sebagai ganti pembebasan tawanan mereka yang berada di Algeria, dan membenarkan mereka lalu di Lautan Atlantik dan Laut Mediterranean tanpa sekatan oleh Tentera Laut Uthmaniyyah. Buat pertama kalinya Amerika terpaksa menandatangani perjanjian bukan dalam bahasanya, tetapi dalam bahasa Negara Uthmaniyyah pada 21 Safar 1210 H (5/9/1795 M).
* Kalian adalah anak-cucu Khalifah Abdul Hamid yang memanggil duta Perancis di Istanbul dan sengaja menemuinya dengan pakaian tentera, kemudian mengancamnya supaya menghentikan persembahan teater yang memfitnah Rasulullah (saw) sambil berkata: “Aku adalah Khalifah umat Islam…aku akan terbalikkan dunia ke atas kepala kalian jika kalian tidak menghentikan teater itu”, maka Perancis terpaksa akur dan membatalkan persembahannya, iaitu pada tahun 1307 H (1890 M).
Kalian adalah anak-cucu Khalifah ini yang tidak tergoda dengan jutaan emas yang ditawarkan oleh Yahudi kepada perbendaharaan negara, dan tidak gentar dengan tekanan antarabangsa yang dikerahkan terhadapnya untuk membenarkan mereka membina penempatan di Palestin. Beliau mengucapkan kata-katanya yang masyhur: “Terkerat-keratnya tubuhku dek pisau lebih ringan bagiku daripada aku melihat Palestin dikerat daripada negara Khilafah”, dan beliau berpandangan jauh apabila menambah “..Yahudi boleh menyimpan jutaan wang mereka…sekiranya negara Khilafah dihancurkan suatu hari nanti, maka ketika itu mereka boleh mengambil Palestin dengan percuma”, dan inilah yang benar-benar telah berlaku!
Wahai kaum Muslimin! Wahai tentera di negeri-negeri kaum Muslimin! Sesungguhnya jika Khilafah kembali tegak, kalian akan kembali mulia seperti mana nenek-moyang kalian dahulu. Tindakan-tindakan mereka telah membuktikan kemuliaan mereka dan keredhaan Allah adalah lebih besar. Mereka menegakkan Khilafah dan menjaganya, maka mereka beroleh kemuliaan, kemenangan serta keredhaan Tuhan mereka. Kalian adalah anak-cucu mereka, maka ayuhlah kepada kebenaran yang mereka ikuti dan ikutilah kebenaran itu; ayuhlah kepada kemuliaan yang mereka bina dan binalah kemuliaan itu. Kembalikanlah Khilafah dan jagalah ia.
Hizbut Tahrir berada di tengah-tengah kalian, maka sokonglah ia, kerana ia bekerja siang dan malam untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dengan jalan menegakkan Khilafah Rasyidah. Ia memimpin umat dan memandunya untuk tugas yang agung ini, tugas yang mengganggu tidur kafir penjajah dengan seruannya kepada Khilafah. [Itu baru seruan] Maka bagaimanakah keadaannya jika Khilafah benar-benar berdiri, lalu menghapuskan sempadan dan halangan yang dilukis oleh kafir penjajah dari hujung Lautan Pasifik di Indonesia dan Malaysia hingga ke pantai Atlantik di Maghribi dan Andalusia?!
[Apabila Khilafah berdiri] Maka kembalilah umat Islam sebagaimana dahulunya sebagai umat yang satu, di bawah negara yang satu – Khilafah Rasyidah – yang akan memuliakan Islam dan kaum Muslimin, serta menghinakan kekufuran dan orang-orang kafir. Ia akan mendapatkan kembali tanah Islam dan kaum Muslimin daripada tangan kafir penjajah, dan memburu kaum kafir hingga ke setiap ceruk negara mereka, serta menyinari semula dunia [dengan cahaya Islam]. Dan pada hari itu, yang hak akan tertegak dan yang batil akan lenyap.
﴿وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقاً﴾
“Dan katakanlah: “Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap”. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap” [Al-Isra’ (17): 81]
* Mungkin ada yang bertanya, adakah Khilafah mampu melakukan semua ini? Adakah ia mampu mencipta kemenangan dan menolak kekalahan? Adakah ia mampu membebaskan negeri-negeri kaum Muslimin daripada kafir penjajah bahkan memburu mereka hingga ke sarang mereka? Kami katakan ya, Tuhan kita (swt) berfirman:
﴿إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ﴾
“ Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” [Muhammad (47): 7]
Pertolongan sebenar dari Allah tidak akan datang melainkan dengan mendirikan Daulah Islam yang melaksanakan hukum-hukum-Nya. Apabila ia berdiri, Allah (swt) akan menolongnya, lalu ia menjadi teguh dan mulia, dihormati kawan dan digeruni lawan. Rasulullah (saw) bersabda mengenai hal ini:
الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ
“Imam (Khalifah) itu adalah perisai, orang berperang dan berlindung di belakangnya”
Khalifah dan Khilafah adalah perisai iaitu pelindung, dan sesiapa yang ada pelindung, dengan izin Allah, dia akan beroleh kemenangan pada akhirnya. Negaranya tidak akan hilang, dan musuh-musuhnya tidak akan berani mendekatinya.
Sejarah Khilafah telah membuktikan hal ini. Di manakah Byzantium dan tongkat kekuasaannya? Di manakah Parsi dan Kisra-kisranya? Siapa lagi jika bukan Daulah Islam, tentera Islam, dan keadilan Islam yang telah (mengalahkan mereka, lalu) melaungkan seruan Takbir di tanah-tanah luas yang terbentang dari satu lautan ke satu lautan?
Sekiranya Khilafah pada masa itu mengetahui ada tanah di sebalik dua lautan di timur dan barat, nescaya ia akan meredah geloranya untuk menyeru kepada Allah Yang Maha Kuat, Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
* Mungkin ada yang menyatakan bahawa Hizbut Tahrir tidak mempunyai modal lain selain Khilafah. Di mana sahaja ia berada atau pergi, ia tidak bercakap yang lain selain Khilafah, tidak tahu yang lain selain Khilafah, dan tidak kenal yang lain selain Khilafah. Kami katakan ya. Sesungguhnya Khilafah adalah modal dan projeknya; ia adalah kemuliaan dan kekuatan; ia adalah penjaga agama dan dunia; ia adalah asas dan intipatinya.
Dengan Khilafahlah hukum-hakam ditegakkan, sempadan ditakrifkan, dan futuhat (pembukaan) dilakukan, serta kepala (maruah) diangkat tinggi dengan kebenaran. Itulah (pengangkatan Khalifah) yang dimulakan oleh kaum Muslimin sebelum mereka memulakan pengurusan jenazah Rasulullah (saw) dan pengebumian baginda, walau pun pengebumian itu sangat penting dan agung. Semua itu kerana keagungan dan kepentingan urusan Khilafah di mana para Sahabat besar berpendapat bahawa menyibukkan diri dengannya adalah lebih utama daripada fardu yang besar itu iaitu menguruskan pengebumian Rasulullah (saw).
Wahai kaum Muslimin! Wahai tentera di negeri kaum Muslimin! Sesungguhnya menegakkan Khilafah adalah isu vital bagi kaum Muslimin. Sesungguhnya kami yakin dengan pertolongan Allah, dan dengan kemuliaan Islam dan kaum Muslimin, serta dengan kembalinya Khilafah Rasyidah yang akan melancarkan jihad. Kami yakin dengan penghapusan entiti Yahudi yang menduduki Palestin, dan pembukaan Rom sebagaimana Konstantinopel telah dibuka dan menjadi Darul Islam “Istanbul”. Kami yakin dengan hal itu walaupun orang-orang kafir dan munafik berkata:
﴿إِذْ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ غَرَّ هَؤُلَاءِ دِينُهُمْ﴾
“ (Ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit di dalam hati mereka berkata: “Mereka itu (orang-orang Mukmin) ditipu oleh agamanya” [Al-Anfal (8): 49]
Sesungguhnya semua kemenangan bagi kaum Muslimin itu berada dalam janji Allah (swt):
﴿وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ﴾
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kalian dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi” [An-Nur (24): 55]
dan ia (kemenangan itu) merupakan khabar gembira dari Rasul-Nya (saw) setelah pemerintahan diktator (al-Mulk al-Jabriy) yang sedang kita lalui ini:
ثُمَّ تَكُونُ مُلْكاً جَبْرِيَّةً فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ ثُمَّ سَكَت
“ Kemudian akan ada zaman kekuasaan diktator, ia tetap ada dengan kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan kembali zaman Khilafah di atas jalan kenabian. Kemudian Nabi pun diam” [Musnad Ahmad]
Maka, Khilafah pasti akan tegak kembali dengan izin Allah. Bagaimana pun, ia memerlukan kerja yang serius dan bersungguh-sungguh untuk menegakkannya. Sesungguhnya Sunnatullah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana menetapkan bahawa malaikat tidak akan turun dari langit untuk menegakkan Khilafah untuk kita, dan merealisasikan janji Allah dan khabar gembira Rasul-Nya (saw), sedangkan kita hanya berpeluk tubuh. Sebaliknya Dia (swt) akan menurunkan para malaikat untuk membantu kita apabila kita berusaha bersungguh-sungguh, tekun, benar dan ikhlas. Kemudian, Dia (swt) merealisasikan kemenangan untuk kita serta kejayaan di dunia dan akhirat, dan itulah kemenangan yang agung.
Hizbut Tahrir berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk menegakkan kembali Khilafah, dan jangkaan berdirinya Khilafah sudah sangat dekat. Maka bersegeralah wahai kaum Muslimin, bersegeralah wahai Ahlul Quwwah, sertailah dakwah ini dan berilah Nusrah (pertolongan), dan bersegeralah untuk mendirikan kembali Khilafah bersama dengan Hizbut Tahrir, bukan sekadar menyaksikannya dari jauh. Sesungguhnya kemenangan itu, dengan izin Allah, sudah hampir tiba.
﴿إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْراً﴾
“Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu” [At-Talaq (65): 3]
﴿وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ * بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ﴾
“Pada hari kemenangan itu, bergembiralah orang-orang yang beriman dengan pertolongan Allah, Dia menolong siapa yang Dia kehendaki dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Penyayang” [Ar-Rum (30): 4-5].
Doa akhir kami ialah segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Saudara yang menyayangi kalian
Atha’ Bin Khalil Abu ar-Rashtah
Rajab 1447 H
Januari 2026 M