UMNO sendiri tidak percaya kepada UMNO
Tindakan bekas Menteri Besar Terengganu yang juga ADUN Kijal, Datuk Ahmad Said yang tiba-tiba berani untuk mengusulkan undi tidak percaya kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman merupakan suatu perkembangan yang menarik untuk diperkatakan. Ini kerana, alasan di sebalik usul itu tidak begitu jelas untuk difahami oleh rakyat. Apa yang pasti, tindakan itu tidak dapat lari daripada krisis dalaman UMNO itu sendiri yang sudah semakin parah, termasuklah di Terengganu.
Inilah realiti dunia politik hasil acuan demokrasi-kapitalisme. Istilah kawan makan kawan memang tidak asing dan usaha untuk jatuh-menjatuhkan satu sama lain memang ‘sentiasa hijau’ (evergreen). Walaupun usul tersebut telah ditolak oleh Speaker DUN Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong, namun ia tetap memanaskan dewan yang bersidang.
Terdahulu, ADUN Kijal tersebut juga pernah mengisytiharkan keluar dari UMNO sewaktu krisis penyingkirannya dari jawatan Menteri Besar Terengganu. Mungkin sahaja ini antara serangan balas yang dilakukan oleh beliau terhadap kepimpinan Terengganu secara khusus dan kepada kepimpinan Najib secara amnya yang telah ‘menendangnya’ dari kerusi empuk Menteri Besar.
Api pergolakan dalam UMNO semakin hari semakin panas. Tidak mustahil yang senario di Terengganu ini akan merebak ke peringkat persekutuan terhadap kepimpinan Najib pula, kerana kerusi Najib sedang bergoncang kuat sekarang ini.
Suasana ini menggambarkan betapa kepimpinan sekarang sudah tidak boleh dipercayai. Jika ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada pemimpinnya, bagaimana mereka mahu rakyat percaya kepada pemimpin tersebut!? Politik demokrasi-kapitalisme memang diasaskan kepada manfaat yang sering memunculkan ketidakstabilan dan mencetuskan pertentangan antara pihak-pihak yang berkepentingan. Pemimpin dalam demokrasi lebih mementingkan kerusi dan perut masing-masing berbanding kepentingan rakyat. Rakyat hanya menjadi saluran atau lebih tepat ‘alat’, untuk mereka sampai ke kerusi empuk dan membuncitkan perut masing-masing. Dengan kata lain, rakyat sentiasa tertipu. Itulah demokrasi!
Umat Islam seharusnya sedar tentang hal ini dan secara khusus rakyat Terengganu harus sedar bahawa siapa pun yang menjadi Menteri Besar dari kalangan UMNO, baik yang sekarang mahupun yang terdahulu, Islam tidak pernah menjadi agenda perjuangan mereka! Seandainya Ahmad Razif berjaya diturunkan sekalipun, kejayaan tersebut tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada umat Islam di sisi Islam, kerana hakikatnya sistem yang digunapakai tetap sistem yang sama, iaitu demokrasi dan parti yang memerintah tetaplah parti korup yang sama. Sedangkan parti dan sistem itulah yang menjadi punca kepada segala kemelut dan kerosakan yang berlaku.
Justeru, umat Islam sepatutnya mengambil iktibar dari peristiwa ini dari sudut kepercayaan kepada pemimpin dan sistem. Pemimpin UMNO tidak akan mengusulkan undi tidak percaya dengan begitu mudah terhadap rakannya sendiri, kecuali ada suatu yang besar yang tidak kena, sama ada oleh orang yang diusulkan atau orang yang mengusulkan, atau kedua-duanya sekali.
Jika mereka sudah tidak percayakan satu sama lain, kenapa pula rakyat perlu percayakan mereka? Tambahan lagi, mereka sebenarnya tidak pernah mewakili rakyat, kerana mereka hanya mewakili parti mereka dan kepentingan diri mereka sendiri, kerana yang demikian adalah ajaran demokrasi yang mereka pegang selama ini, yang sesungguhnya bertentangan dengan ajaran Islam!