UMNO tiup wisel perpaduan sebagai talian hayat
Media massa kerajaan digerakkan sehabis-habisnya untuk melaporkan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 yang diadakan di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur. Multaqa yang julung kali diadakan itu mengangkat tema “Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi” dan membawa dua ‘seteru’ politik tanahair untuk berada sepentas iaitu Najib sebagai Presiden UMNO dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS.
Sewaktu berucap merasmikan Multaqa tersebut, Najib memetik ayat 103 Surah Ali Imran tentang perintah berpegang teguh kepada tali Allah dan jangan berpecah-belah, lalu Presiden UMNO itu menyeru, “Maka saya ingin menyatakan saya mewakili kabilah saya dan tuan guru (Abdul Hadi) mewakili kabilahnya, marilah kita berpegang kepada pengertian ayat ini jangan kita pula macam negara-negara Islam lain.”
Sebelum itu, Najib, sewaktu menyampaikan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung parti itu 10 Disember lepas, telah menghulurkan “tali silaturahim” kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam.
Media massa dan ramai tokoh yang turut hadir dalam Multaqa tersebut menyambut baik seruan perpaduan Najib ini. Hal ini memang mudah sahaja untuk difahami kerana, selain persoalan perpaduan yang tidak sepatutnya ditolak oleh mana-mana Muslim, Multaqa itu sendiri diadakan dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, yang tidak memberanikan media massa atau mereka yang hadir untuk memberi komen yang negatif.
Apa pun, kita semua perlu ingat bahawa antara ucapan yang paling tidak boleh dipercayai di dunia ialah ucapan yang datangnya dari orang politik, khususnya mereka yang terlibat dalam politik ala Machiavelli. Berbeza halnya kalau ucapan itu datangnya dari seorang ahli politik Islam yang ikhlas, yang terkenal dengan keimanan, ketaqwaan dan kewarakannya yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan di dunia. Namun, jika ucapan tersebut datangnya dari mereka yang mempunyai kepentingan duniawi seperti ahli politik demokrasi yang ada sekarang, maka ucapan apa pun yang keluar dari mulutnya tidak akan lepas dari agenda politik duniawinya.
Umum mengetahui bahawa UMNO sekarang berada dalam keadaan semakin lemah dan terdesak, walaupun pelbagai usaha telah dilakukannya, namun ternyata tidak membuahkan hasil. Dua parti komponen terbesarnya, MCA dan MIC pun mengalami nasib yang sama, malah lebih parah sehingga tidak mampu berdiri lagi. Kekalahan teruk UMNO-BN pada PRU yang lepas masih terus menghantui mereka, walaupun cuba disembunyikan oleh UMNO.
Perbalahan dan perpecahan dalaman parti jangan cerita, apatah lagi setelah Najib memecat Timbalan dan Naib Presidennya sendiri, dua orang paling kuat dalam hierarki UMNO selepas Presiden. Serangan bertubi-tubi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir juga telah menembusi ke seluruh urat nadi UMNO. Itu belum masuk pelbagai skandal dan penyelewengan yang dikaitkan dengan parti assabiyyah Melayu itu dan para pembesarnya.
Pendek kata, semua rakyat 1Malaysia sudah tahu yang kapal UMNO sudah hampir karam dan nakhodanya sudah pun berpeluh kelemasan. Hayat mereka sekarang ini benar-benar bergantung kepada pertolongan dari luar. Jika tiada pertolongan luar, maka tidak lama rasanya parti sekular ini akan terus tenggelam ke dasar dan tidak lagi dapat diselamatkan.
Dalam suasana inilah, Najib bercakap tentang Islam dan meniupkan wisel perpaduan serta menghulur tangan silaturahim. Dengan sisa-sisa kekuatan yang ada, wisel itu ditiupkan sekuatnya sehingga gegak gempita seluruh alam dan tangannya dihulur sepanjang mungkin demi mencapai talian hayat untuk berpaut. Manakala parti Islam yang sering berubah pendiriannya pula, sudah pun menyahut wisel ini walaupun belum menghulurkan tangan pertolongan, yang mungkin sahaja akan dilakukannya sedikit masa lagi.
Dengan seruan “salam perpaduan” ini, ternyata parti Islam yang selama ini lantang melaungkan kezaliman pemerintah dan mendedahkan skandal pemerintah satu per satu serta sering mendesak untuk mendapatkan penjelasan mengenai segala penyelewengan pemerintah, ternyata boleh beriringan dan tersenyum mesra, seolah-olah telah melupai segala kezaliman pemerintah selama ini. Ya tidak salah untuk berbaik dan menolong sesama Muslim, tetapi berhati-hatilah sehingga kita tidak termasuk menolong orang-orang yang zalim di dalam kezalimannya.
Manakala rakyat Malaysia yang selama ini kepanasan dan berang dengan persoalan derma peribadi sebanyak RM2.6 bilion yang belum habis terjawab sehingga kini, ternyata berjaya dipalingkan minda mereka dari membincangkannya, setidaknya untuk sejenak, hanya gara-gara ucapan “salam perpaduan” dan Multaqa yang berjaya meletakkan dua musuh tradisi, sepentas. Inilah hebatnya ucapan dan tindakan orang politik, yang hanya dimengerti oleh orang-orang yang mengerti.