Usia hanyalah suatu nombor

Berita:

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji sama ada had umur minimum perkahwinan yang mahu dinaikkan ke 18 tahun itu satu mandatori atau ada pengecualian tertentu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana kerajaan sedang mengkaji kesan penetapan umur itu dari segi perundangan dan sosial.

[Sumber berita: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/466590/]


Komentar:

Islam menetapkan seorang lelaki dan wanita yang telah akil baligh ialah mereka yang telah matang fizikalnya iaitu keluar mani bagi lelaki dan didatangi haid bagi perempuan. Mereka ini juga telah matang fikirannya dan bersedia memikul tanggungjawab berkeluarga dan digalakkan berkahwin sekiranya telah mempunyai keinginan dan kemampuan. Islam tidak pernah menyatakan had umur tertentu kematangan seseorang kerana kematangan fizikal dan mental setiap manusia berbeza-beza. Dalam sejarah Islam, kita akan mendapati bahawa Imam Syafie telah menjadi kadi seawal umur beliau 15 tahun. Selain itu, Sultan Muhammad Al-Fatih telah memimpin tentera ketika berumur 12 tahun, manakala Usamah bin Ziyad ketika 18 tahun, Muhammad bin Qasim 18 tahun, dan Thariq bin Ziyad 18 tahun. Mereka telah mencapai kematangan untuk memikul tanggungjawab dalam usia yang sangat muda jika dibandingkan dengan remaja masa kini. Jika urusan sebesar memimpin tentera dan memegang jawatan penting negara pun tiada pertikaian tentang had umur,  apatah lagi urusan mengurus rumah tangga.

Di suatu ketika rakyat Malaysia pernah dikejutkan dengan kisah seorang pelajar pintar matematik kacukan Malaysia-Pakistan yang diterima masuk ke Universiti Oxford di usia 12 tahun. Masyarakat umum tidak pula mempertikaikan isu kematangan pelajar tersebut atau umur terlalu muda untuk ke universiti. Rata-rata menyetujui bahawa remaja yang telah mencapai kematangan awal dalam pembelajaran boleh melangkau persekolahan dan terus masuk ke peringkat universiti. Namun kepintaran dalam pembelajaran tidak menjamin kematangan dalam menempuh kehidupan mencabar di universiti. Remaja tersebut akhirnya berhenti di pertengahan jalan kerana kejutan budaya yang dihadapi di sana. Ternyata mental dan fizikal remaja tersebut belum bersedia menghadapi cabaran tersebut. Pelajar pintar itu juga dikatakan telah berkahwin dan kemudian bercerai sebelum menarik diri daripada pengajiannya di univeriti.

Pernah suatu ketika, satu majalah mingguan di sekitar tahun 1996 menyiarkan artikel bertajuk “Lelaki Membujang: Berpangkat, Berkedudukan Kenapa Takut Berkahwin”. Kandungan artikel itu mendedahkan terdapat sebilangan lelaki berumur sekitar 30 ke 40an yang masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga kerana kesibukan kerja dan tiada persediaan mental. Artikel ini secara tidak langsung membuktikan bahawa kematangan tiada kena mengenanya dengan umur seseorang. Hal ini demikian kerana, seorang lelaki tua pun belum tentu mampu bersedia mental dan fizikal untuk berkahwin. Manakala boleh jadi seorang lelaki atau wanita remaja belasan tahun mungkin sahaja telah mencapai kematangan fizikal dan mental serta telah bersedia memikul tanggungjawab berumah tangga.

Dr. Norliza Ahmad, seorang pakar perubatan menulis pendapat beliau di dalam Utusan Malaysia bertajuk “Perkahwinan Kanak-kanak Dari Sudut Kesihatan”. Beliau menyatakan tentang risiko perkahwinan tersebut kepada fisiologi wanita remaja yang boleh memudaratkan. Namun begitu, ia tidak pula disertakan dengan bukti-bukti kajian saintifik daripada jurnal-jurnal perubatan terkemuka untuk menguatkan dakwaan beliau tersebut. Malahan banyak pula bukti-bukti yang menunjukkan ramainya bilangan kanak-kanak yang melahirkan bayi di usia muda tanpa apa-apa komplikasi atau mudarat. Akhbar Britain Daily Mail pernah melaporkan seramai 48,000 orang bayi dilahirkan oleh ibu remaja di Britain menerusi portal berita dalam talian mereka. Selain itu akhbar The Sun (Britain) juga melaporkan seorang wanita remaja berumur 12 tahun menjadi ibu paling muda di Britain.

Jika kita meneliti fakta-fakta dengan tepat, kita akan dapati bahawa kematangan individu dan kesediaan untuk berkahwin langsung tidak dipengaruhi oleh faktor usia. Sebab itu Islam meletakkan seseorang lelaki atau wanita itu telah boleh berkahwin jika memenuhi syarat berikut:

  1. Telah akil baligh
  2. Mampu dari segi fizikal dan mental

Oleh itu sebarang penetapan had umur perkahwinan seperti umur minimum 18 tahun merupakan satu perkara tidak syar’ie dan menzalimi individu yang berkeinginan serta mampu dari segi lahiriah dan batiniah.

Abu Hamza
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia