Najib Ada Kuasa Superman? Hanya Khilafah Yang Mampu Untuk Melindungi Umat Islam Di Thailand

altLawatan Najib: Harapan ulama selatan Thailand
KUALA LUMPUR 6 Dis. – Golongan ulama di selatan Thailand menyifatkan lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu ini sebagai lambang keprihatinan Perdana Menteri dan menunjukkan keikhlasan Malaysia dalam membantu menamatkan konflik di wilayah berkenaan. Ketika dihubungi, mereka juga percaya lawatan Najib itu akan membuka satu era baru dalam komitmen Malaysia bagi memastikan penduduk Islam di ketiga-tiga wilayah yang bergolak tersebut iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang terutamanya ekonomi.  Perdana Menteri akan berada di Narathiwat pada hari tersebut dalam rangka lawatan tiga hari ke Thailand bermula esok. Ia merupakan kali pertama dalam sejarah seorang Perdana Menteri Malaysia melawat wilayah yang sedang bergolak itu. 
Seorang ulama dari Yarang, Pattani, Mohamad Alee Nochi berkata, rakyat di wilayah itu sebenarnya sudah bosan dengan pergolakan yang berlaku kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah kepada masyarakat Islam.  Oleh itu kata beliau, mereka berharap melalui kehadiran Najib, ia akan mampu memberikan inspirasi kepada pihak-pihak yang mencetuskan kekacauan tersebut menghentikan perbuatan mereka.  Abdullateh Tohdea dari Yaha, Yala pula berkata, beliau berharap melalui kehadiran Perdana Menteri , ia akan meningkatkan lagi bantuan Malaysia kepada masyarakat Islam di selatan Thailand .  Katanya, beliau percaya melalui bantuan yang diberikan ia akan memberikan peluang kepada mereka untuk membangun ke arah kemakmuran.  ”Kita berjanji akan memanfaatkan apa juga bantuan yang diberikan dengan sebaik-baiknya kerana masyarakat kami sememangnya dahagakan keamanan dan kemajuan,” katanya.  Seorang lagi ulama dari Muang, Narathiwat, Abdul Romae Cheyi berkata, melalui lawatan yang dilakukan, Najib akan berpeluang melihat dan memahami bahawa masyarakat Islam di selatan Thailand sudah bosan dengan konflik yang berlaku. Katanya, masyarakat Islam di wilayah itu boleh hidup aman dengan mana-mana juga kaum asalkan hak dan kepentingan mereka tidak ganggu.  ”Saya berharap lawatan Najib akan memberikan kami semangat untuk berusaha menjadi umat Islam yang maju seperti mana dicapai oleh umat Islam di Malaysia. Bagi kami, umat Islam Malaysia adalah contoh terbaik sama ada dalam soal tolenrasi kaum mahupun kemajuan,” katanya.  Areefeen Jehmea dari Banagseta, Yala pula berkata, beliau terhutang budi kepada kerajaan Malaysia kerana memberikan bantuan biasiswa kepada anaknya melanjutkan pelajaran ke salah sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia .  Katanya, semua itu adalah sebahagian lambang komitmen Malaysia membantu masyarakat Islam di selatan Thailand supaya mereka mampu maju dalam bidang pelajaran.  ”Saya berharap apabila Najib melawat nanti, beliau akan dapat memberikan nasihat, apa yang perlu kami lakukan dalam memastikan keamanan dapat diwujudkan semula di wilayah kami,” katanya.  Seorang lagi ulama dari Yala, Arziz Lenitanjung pula berkata, beliau percaya apabila Najib menemui pemimpin-pemimpin Islam di Narathiwat nanti beliau akan mendapat gambaran sebenar bahawa masyarakat Islam tidak menyokong mana-mana pihak yang mencetuskan pertumpahan darah.  Oleh itu, kata beliau, mereka amat berharap Malaysia akan membantu Thailand dengan apa juga cara bagi mengembalikan keamanan di situ.

Sumber: Utusan Malaysia 07/12/09

Najib Ada Kuasa Superman? Hanya Khilafah Yang Mampu Untuk Melindungi Umat Islam Di Thailand

Sudah terlalu lama umat Islam di Selatan Thailand hidup dalam keadaan tertekan dan senantiasa dihimpit dengan suasana ketakutan di sana-sini. Sudah ribuan umat Islam di sana dibunuh dan nyawa mereka amat rendah harganya di sisi musuh-musuh Islam. Umat Islam yang paling hampir dengan mereka iaitu di Malaysia, terutama para pemimpinnya juga telah terbukti gagal untuk membantu menyelesaikan masalah yang dialami oleh umat Islam di Selatan Thailand. Antara puncanya adalah kerana halangan sempadan negara asabiyyah yang memisahkan kesatuan umat Islam sedunia. Jika adapun bantuan yang diberikan ia bukanlah merupakan suatu yang akan menyelesaikan masalah sebenar yang berlaku di sana. Itulah kelemahan dan kesilapan yang diulang oleh umat Islam saat ini, terutamanya para pemimpin sekular mereka yang hanya menyelesaikan simpton dan bukannya menyelesaikan masalah sebenar.

Kini kedatangan Najib ditunggu-tunggu oleh umat Islam di Selatan Thailand. Namun persoalannya, apakah Najib akan benar-benar dapat menyelesaikan masalah umat Islam di sana? Hakikatnya ini adalah umpama mimpi di siang hari. Ibarat mengejar bayang-bayang fatomargana di tengah-tengah panas padang pasir.  Ketika Najib memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan, beliau tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu menyelamatkan nyawa umat  Islam di Selatan Thailand dari dizalimi oleh musuh-musuh mereka yang bertindak ganas tanpa rasa perikemanusian. Hakikatnya, selama mana kita masih mendasarkan permasalahan ini atas asas assabiyyah, penyelesaian tidak akan muncul.

Wahai umat Islam! Khususnya di Selatan Thailand . Yakinlah hanya Khilafah sahajalah yang akan mampu melindungi dan mempertahankan nyawa dan darah umat Islam di sana. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya imam adalah laksana perisai, yang (umat) akan beperang dan berlindung di belakangnya”. [HR Muslim, Abu Dawud, An Nasa’i, Ahmad dari Abu Hurairah].

Lihat SN034 – RINTIHAN UMAT ISLAM DI SELATAN THAILAND