Bantahan Fatwa Johor – 4.3e & 4.4d

Muat turun PDF
Isi Kandungan

(e) Kegagalan melantik khalifah adalah salah satu dosa terbesar (al-Nabhani: al-Shaksiah al-Islamiyyah jilid 2, cetakan kelima, tahun 2003, halaman 12)

4.4 Mengambil pemikiran Taqiyuddin al-Nabhani dan beberapa karya asal Hizbut Tahrir yang dijadikan rujukan dalam penulisan di Sautun Nahdhah (suara kebangkitan). Antara kenyataan dalam Sautun Nahdhah:

(d) Berpandangan selagi khilafah tidak tertegak maka seluruh umat Islam berdosa.

Oleh kerana ada kemiripan di antara Butiran 4.3 (e) dan 4.4 (d), maka kami rangkumkannya di dalam satu jawapan.

Berhubung dengan rujukan yang dibuat oleh JFNJ dalam Butiran 4.3 (e), kami telah melihat muka surat yang dinyatakan (muka surat 12) dan ternyata tidak menemui apa yang disebutkan oleh JFNJ dalam muka surat tersebut iaitu “kegagalan melantik khalifah adalah dosa terbesar.” Di sini sekali lagi menunjukkan kesalahan dan kegopohan JFNJ dalam membuat rujukan dan mengeluarkan fatwa. Kami paparkan muka surat yang berkenaan untuk perhatian JFNJ dan sesiapa sahaja yang membaca jawapan ini:

Terjemahan:

…Meskipun teknik pembahagian bab dan penyusunannya berbeza-beza, tetapi yang pasti harus ada penjelasan dalil hukum syarak yang menyertai penjelasan hukum tersebut, dan harus ada penjelasan cara pengambilan kesimpulan saat hukum tersebut diperselisihkan. Perpustakaan Islam pun telah dipenuhi oleh ratusan ribu buku tentang fikih dengan cara pembahagian bab dan penghuraian yang bermacam-macam. Hanya saja, setelah orang-orang kafir berhasil menyerang kaum Muslimin pasca pertengahan abad 18 M, mulailah mereka menyesatkan kaum Muslimin tentang ilmu-ilmu Islam. Mereka membuat kaum Muslimin membenci fikih, sebagaimana para Sophis (orang yang tersesat pandangan-pandangannya) berusaha membuat manusia membenci madu dengan mengatakan bahawa madu adalah kotoran lalat. Mereka meletakkan fikih Islam dalam bingkai hitam, sehingga kaum Muslimin berpaling darinya. Jika kaum Muslimin berpaling dari fikih, bererti mereka telah berpaling dari belajar tentang hukum-hukum Islam, dan akhirnya mereka terjerumus dalam kebodohan tentang agama Allah. Inilah yang benar-benar terjadi. Kerana itu, adalah satu kemestian untuk mendorong kaum Muslimin untuk mempelajari fikih, dengan memaparkan beberapa contoh fikih Islam yang dapat membangkitkan hasrat untuk mempelajarinya. Tentu hal ini bermanfaat bagi manusia, dengan memaparkan beberapa contoh hukum syarak yang berkaitan dengan berbagai interaksi yang bersifat umum, yang saat ini mereka sebut dengan hukum-hukum politik atau fikih perundangan; dan beberapa contoh hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan hubungan antara individu, iaitu yang mereka sebut dengan undang-undang sivil; juga beberapa contoh hukum syarak yang berkaitan dengan uqubat; dan beberapa contoh hukum syarak yang berkaitan dengan pembuktian. Sehingga gambaran tentang fikih menjadi jelas dengan sejelas-jelasnya. Semoga hal itu dapat membangkitkan hasrat untuk mempelajari fikih Islam dalam kitab fikih muktabar yang diakui.

Nah, itulah apa yang terkandung dalam muka surat 12. Dengan demikian, kami menyatakan di sini bahawa muka surat 12 yang dirujuk adalah muka surat yang salah! Namun, kerana kami memahami apa yang dimaksudkan oleh JFNJ, maka kami berusaha mencari dan merujuk kepada muka surat lain yang kami rasa adalah muka surat sebenar yang ingin dirujuk oleh JFNJ. Kami mengandaikan yang muka surat sebenar yang ingin dirujuk oleh JFNJ ialah muka surat 18, dan sekiranya andaian kami ini salah, kami tidak mempunyai masalah untuk JFNJ perbetulkan kami. Tetapi sebelum membetulkan rujukan kami, JFNJ hendaklah terlebih dahulu membetulkan rujukan dalam fatwa yang dikeluarkan! Dan bukan sahaja membetulkan rujukannya, malah JFNJ seharusnya membetulkan keseluruhan kesalahan JFNJ yang telah memfitnah kami dalam keseluruhan fatwa yang dikeluarkan.

Berikut ialah muka surat 18 kitab asy-Syaksiyyah al-Islamiyyah, Jilid 2:

Terjemahan:

“Berdiam diri daripada pengangkatan Khalifah bagi kaum Muslimin termasuk kemaksiatan yang  paling  besar.  Ini kerana, hal  itu bererti berdiam diri dari pelaksanaan salah satu kewajipan terpenting  dalam Islam  yang  pelaksanaan hukum-hukum  Islam  bergantung  padanya. Bahkan eksistensi  Islam  dalam  kancah  kehidupan ini bergantung padanya. Maka kaum Muslimin semuanya berdosa besar jika berdiam diri dari  pengangkatan  Khalifah  bagi kaum  Muslim. Jika  mereka  bersepakat untuk  berdiam diri, maka  dosa tersebut  menimpa setiap  orang  dari mereka di  seluruh  penjuru  dunia.  Jika  sebahagian  kaum  Muslimin  melakukan usaha untuk  mengangkat  Khalifah,  sementara sebahagian  yang  lain  tidak melakukannya,  maka  dosa  itu  gugur dari mereka  yang  berusaha mengangkat  Khalifah. kewajipan  tersebut  tetap  berlaku  atas mereka semua sehinggalah seorang Khalifah telah dilantik. Sibuk  melaksanakan  kewajipan tersebut  akan  menggugurkan dosa akibat kelewatan dalam melaksanakannya dalam waktu yang  ditentukan;  dan  dari dosa  tidak melaksanakannya, kerana ia  sedang berkecimpung dalam usaha penegakannya; akibat ada keadaan yang memaksanya untuk tidak dapat merealisasikannya.”

Kami tidak tahu lagi bagaimana ingin meluahkan kehairanan kami yang amat sangat kepada JFNJ dalam hal ini. Bagaimana mungkin mereka yang bergelar agamawan tidak mengetahui akan kewajipan mengangkat seorang Khalifah? Tidakkah anda membaca keseluruhan bab mengenai Khilafah dalam kitab asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah Jilid 2 tersebut? Atau tidakkah anda membaca kitab-kitab atau penulisan lain Hizbut Tahrir yang membincangkan dengan panjang lebar akan kewajipan menegakkan Khilafah? Atau anda telah membacanya, namun tidak seorang pun daripada anda yang memahami akan kewajipannya? Atau anda memahami akan kewajipannya, tetapi tidak seorang pun daripada anda yang mahu mengakui akan kewajipan tersebut?

Apa pun jawapan JFNJ kepada persoalan di atas, dengan fatwa yang dikeluarkan, khususnya dalam Butiran 4.3 (e) dan 4.4 (d) ini, kami hanya ingin katakan la haula wa la quwwata illa billah..

Oleh kerana kami tidak pernah berputus asa menerangkan kewajipan mengangkat seorang Khalifah, kami ringkaskan di sini sedikit jawapan daripada kitab-kitab kami akan kewajipan menegakkan Khilafah, dan kami tambah dengan pandangan para ulama muktabar untuk menghilangkan keraguan pada JFNJ mengenai kewajipannya. Memandangkan jawapan kami untuk kedua-dua Butiran ini agak panjang, jadi untuk memudahkan JFNJ memahami jawapan kami dalam hal, maka kami ringkaskan dahulu apa yang ingin kami sampaikan sebagaimana berikut:

(i) Kami akan menerangkan nas-nas mengenai kewajipan melantik seorang Khalifah yang sekali gus bermaksud kewajipan mendirikan Khilafah;

(ii) Kami akan menerangkan pendapat para ulama yang mewajibkan pengangkatan seorang Khalifah bagi seluruh kaum Muslimin;

(iii) Kami akan menerangkan pendapat para ulama yang secara khusus menyatakan bahawa hukum melantik seorang Khalifah adalah fardhu kifayah;

(iv) Kami akan menerangkan kedudukan fardhu kifayah di mata ulama, yang membawa maksud bahawa selagi tidak tertegaknya sesuatu kewajipan, maka siapa sahaja yang berdiam diri akan berdosa;

(v) Kami akan menekankan lagi berdasarkan nas, betapa besarnya dosa siapa sahaja yang tidak berusaha untuk menegakkan Khilafah.

(i) Dalil Kewajipan Menegakkan Khilafah

Dalil Al-Quran

Di dalam al-Quran memang tidak terdapat ayat yang secara manthuq-nya memerintahkan untuk menegakkan Khilafah. Begitu juga tidak ada istilah ‘Daulah’ yang bererti ‘Negara’ dalam al-Quran. Namun demikian, di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang secara mafhum-nya yang mewajibkan  umat Islam untuk memiliki pemerintahan/negara (ulil amri) dan terdapat banyak ayat yang mewajibkan umat Islam untuk menerapkan hukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah (swt), sekali gus menunjukkan dosa bagi sesiapa yang tidak menerapkan hukum-Nya. Firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kalian kepada Allah dan taatlah kalian kepada Rasul(Nya) dan ulil amri di antara kalian” [An-Nisa’ (4): 59].

Ayat di atas memerintahkan kita untuk mentaati Ulil Amri, iaitu al-Haakim (Penguasa). Perintah ini, secara dalalatul iqtidha’, bererti perintah pula untuk mengadakan atau mengangkat Ulil Amri, jika Ulil Amri itu tidak ada. Ini adalah kerana, tidak mungkin Allah (swt) memerintahkan kita untuk mentaati orang yang tidak wujud. Tatkala Allah (swt) memberi perintah untuk mentaati Ulil Amri, bererti Allah (swt) memerintahkan pula untuk mewujudkannya Oleh itu, jelas bahawa mewujudkan Ulil Amri itu adalah wajib. Tambahan lagi, adanya Ulil Amri menyebabkan terlaksananya kewajipan menegakkan hukum syarak, sedangkan mengabaikan terwujudnya Ulil Amri menyebabkan terabainya penerapan hukum syarak. Inilah apa yang berlaku sekarang di mana hukum syarak tidak lagi diterapkan kerana tiadanya Ulil Amri dalam kalangan umat Islam.

Di samping itu, Allah (swt) telah memerintahkan Rasulullah (saw) untuk mengatur urusan kaum Muslimin berdasarkan hukum-hakam yang diturunkan oleh-Nya. Firman-Nya,

﴿فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ﴾

“Maka putuskanlah perkara di antara di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka (dengan) meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu” [Al-Ma’idah (5): 48].

﴿وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ﴾

Dan putuskanlah perkara di antara di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari apa yang telah diturunkan Allah kepadamu” [Al-Ma’idah (5): 49].

Dalam kaedah ushul fiqh dinyatakan bahawa khitab (perintah) Allah (swt) kepada Rasulullah (saw) juga merupakan perintah kepada umat Islam selama tidak ada dalil yang mengkhususkan perintah ini hanya untuk Rasulullah (saw). Berhubung dengan ayat di atas, tidak ada dalil yang mengkhususkan perintah tersebut hanya kepada Rasulullah (saw). Oleh kerana itu, ayat-ayat tersebut bersifat umum, iaitu berlaku juga bagi umat Islam. Menegakkan hukum-hakam yang diturunkan Allah (swt) tidak mempunyai makna lain kecuali menegakkan hukum dan pemerintahan, sebab dengan pemerintahan itulah hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah (swt) dapat diterapkan secara sempurna. Dengan demikian, ayat-ayat ini secara mafhum menunjukkan wajibnya ada sebuah ‘Negara’ untuk menjalankan semua hukum Allah (swt), dan ‘Negara (Islam)’ itu adalah Khilafah.

Dalil as-Sunnah

Abdullah bin Umar meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah (saw) bersabda,

مَنْ خَلَعَ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ، لَقِيَ اللَّهَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا حُجَّةَ لَهُ، وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ، مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

“Barang siapa melepaskan tangannya dari ketaatan kepada Allah, nescaya dia akan menemui Allah di Hari Kiamat dengan tanpa hujah. Dan barang siapa mati sedangkan di pundaknya tidak ada bai’at (kepada Khalifah) maka dia mati dalam keadaan mati jahiliyah” [HR Muslim].

Nabi (saw) mewajibkan adanya bai’at pada pundak setiap Muslim dan mensifati orang yang mati dalam keadaan tidak berbaiat seperti matinya orang-orang jahiliyyah (mati dalam keadaan dosa). Padahal baiat itu hanya diberikan kepada Khalifah, bukan kepada yang lain. Jadi hadis ini menunjukkan kewajipan mengangkat seorang Khalifah, yang dengannya dapat terwujud baiat di pundak setiap Muslim. Sebab baiat hanya akan ada di pundak kaum Muslimin jika ada Khalifah/Imam yang memimpin mereka.

Rasulullah (saw) bersabda:

إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ، يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ، وَيُتَّقَى بِهِ 

“Bahawasanya Imam itu bagaikan perisai, dari belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung” [HR Muslim].

Rasulullah (saw) bersabda:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمْ اْلأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لاَ نَبِيَّ بَعْدِي وَسَتَكُونُ خُلَفَاءُ فَتَكْثُرُ، قَالُوا فَمَا تَأْمُرُنَا؟ قَالَ: فُوْا بِبَيْعَةِ اْلأَوَّلِ فَاْلأَوَّلِ أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ فَإِنَّ اللهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ

Dahulu Bani Israel diuruskan (dipimpin) oleh para Nabi. Setiap kali wafat seorang Nabi diutuslah Nabi yang lain. Sesungguhnya tidak ada lagi Nabi sesudahku, tetapi akan ada para Khalifah dan jumlahnya banyak.” Para sahabat bertanya, apa yang engkau perintahkan kepada kami (dalam keadaan itu)? Nabi menjawab, “Penuhilah baiat yang pertama dan yang pertama itu sahaja dan berilah kepada mereka hak-hak mereka. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa yang mereka uruskan” [HR Muslim].

Hadis-hadis ini merupakan ikhbar (pemberitahuan) dari Rasulullah (saw) bahawa seorang Khalifah adalah laksana perisai, dan bahawa akan ada penguasa-penguasa yang memerintah kaum Muslimin. Pernyataan Rasulullah (saw) bahawa seorang Imam (Khalifah) itu laksana perisai menunjukkan pemberitahuan tentang adanya fungsi keberadaan seorang Imam, dan ini merupakan suatu thalab (tuntutan). Ini adalah kerana, setiap ikhbar yang berasal dari Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw), apabila mengandungi adz-dzam (celaan) maka yang dimaksudkan adalah thalab at-tarki (tuntutan untuk meninggalkan), atau merupakan an-nahy (larangan); dan apabila mengandung al-mad-hu (pujian), maka yang dimaksudkan adalah thalab al-fi’li (tuntutan untuk melakukan perbuatan). Dan sekiranya pelaksanaan perbuatan yang dituntut itu menyebabkan tegaknya hukum syarak atau jika ditinggalkan mengakibatkan terabainya hukum syarak, maka tuntutan untuk melaksanakan perbuatan itu bersifat jazim (pasti) dan fardhu. Oleh itu hadis-hadis ini menunjukkan wajib adanya Khilafah (yang akan menjalankan fungsi-fungsinya) kerana tanpa Khilafah banyak hukum syarak yang akan terabai.

Dalil Ijma’ as-Sahabat

Sebagai sumber hukum Islam yang ketiga, Ijma’ as-Sahabat menunjukkan dengan sejelas-jelasnya kepada kita bahawa mengangkat seorang Khalifah sebagai pemimpin umat Islam adalah wajib. Para sahabat telah sepakat mengangkat Abu Bakar as-Siddiq (ra), Umar al-Khaththab (ra), Utsman bin Affan (ra), dan Ali bin Abi Thalib (ra), sebagai Khalifah yang memimpin kaum Muslimin.

Ijma’ as-Sahabat yang membuktikan kewajipan pengangkatan seorang Khalifah diambil daripada peristiwa yang berlaku di Saqifah Bani Sai’dah di mana para sahabat dan ahlu halli wal aqdi saat itu sibuk bermesyuarat bagi mengangkat seorang Khalifah. Walaupun jenazah Rasulullah (saw) masih belum dikebumikan, tetapi keseluruhan sahabat tetap menyibukkan diri berbincang mengenai pengangkatan Khalifah. Mereka ternyata telah menunda kewajipan mengebumikan jenazah Rasulullah (saw) dan mendahulukan pengangkatan seorang Khalifah pengganti baginda. Hal ini berlaku walhal mereka mengetahui bahawa menguburkan mayat secepatnya adalah suatu tuntutan, apatah lagi jenazah itu adalah jenazah Rasulullah (saw) sendiri, namun, para sahabat tetap mendahulukan usaha untuk mengangkat Khalifah daripada mengebumikan jenazah Rasulullah (saw).

Sebahagian sahabat lain, (yang tidak terlibat dengan urusan pelantikan Khalifah) turut mendiamkan hal ini dan ikut pula bersama-sama menunda kewajipan mengebumikan jenazah Nabi (saw). Peristiwa ini terjadi dalam rentang waktu 3 hari, padahal mereka mampu mengingkari hal ini dan ramai yang mampu mengebumikan jenazah Nabi (saw) secepatnya. Fakta ini menunjukkan adanya kesepakatan (ijma’) mereka untuk mendahulukan kewajipan mengangkat Khalifah berbanding menguburkan jenazah. Hal ini tidak mungkin terjadi kecuali status hukum mengangkat seorang Khalifah adalah lebih wajib didahulukan daripada menguburkan jenazah.

Demikian pula seluruh sahabat selama hidup mereka telah sepakat mengenai kewajipan mengangkat seorang Khalifah. Walaupun sering muncul perbezaan pendapat mengenai siapakah yang lebih layak untuk dipilih dan diangkat menjadi Khalifah, namun mereka tidak pernah berselisih sedikit pun mengenai wajibnya mengangkat seorang Khalifah, baik ketika wafatnya Rasulullah (saw) mahupun ketika penggantian keempat-empat orang Khalifah. Oleh kerana itu Ijma’ as-Sahabat merupakan dalil yang jelas lagi kuat bahawa mengangkat seorang Khalifah sebagai pemimpin bagi seluruh kaum Muslimin adalah wajib, dan batas waktunya tidak boleh melebihi 3 hari.

(ii) Pendapat Para Ulama Mengenai Kewajipan Mengangkat Seorang Khalifah

Pada umumnya, para ulama empat mazhab tidak pernah berselisih pendapat mengenai kewajipan mengangkat seorang Imam/khalifah, yang bertanggungjawab melakukan tugas ri’ayah asy-syu’un al-ummah (mengatur urusan umat).

Imam al-Qurthubi, seorang ulama besar dari mazhab Maliki, ketika menjelaskan tafsir surah al-Baqarah ayat 30, menyatakan,

Terjemahan:

“Ayat ini merupakan dalil paling asas mengenai kewajipan mengangkat seorang Imam/Khalifah yang wajib didengar dan ditaati iaitu untuk menyatukan pendapat serta melaksanakan hukum-hukum berkaitan Khalifah. Tidak ada perselisihan pendapat tentang kewajipan tersebut di kalangan umat Islam mahupun di kalangan ulama, kecuali apa yang diriwayatkan dari al-Asham” [Imam al-Qurthubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, Juz 1, hal. 395].

Al-’Allamah Abu Zakaria an-Nawawi, dari kalangan ulama mazhab Syafie mengatakan,

Terjemahan:

“Mereka (para Sahabat) telah sepakat bahawa kaum Muslimin wajib mengangkat seorang khalifah” [Imam an-Nawawi, Syarh Shahih Muslim, Ju 12, hal. 283].

Ulama Ahlu Sunnah yang lain, Ibnu Hajar al-Asqalani, juga menegaskan:

Terjemahan:

“…Mereka (para ulama) telah sepakat bahawa wajib mengangkat seorang Khalifah dan bahawa kewajipan itu adalah berdasarkan syariah, bukan berdasarkan akal…” [Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, Juz 13, hal. 208).

Imam Abu Ya’la al-Farra’ juga menyatakan:

Terjemahan:

“Mengangkat Imam (Khalifah) adalah wajib…” [Abu Ya’la al-Farra’, Al-Ahkam as-Sulthaniyyah, hal 19].

Ulama lain dari mazhab Syafie, Imam al-Mawardi, juga menyatakan,

Terjemahan:

“Mengangkat Imamah (Khilafah) bagi  orang yang [mampu] melakukannya wajib berdasarkan Ijma’ meskipun al-Asham menyalahi mereka (ulama)” [Imam al-Mawardi, al-Ahkam as-Sulthaniyyah, hal 15].

Imam ‘Alauddin al-Kasani, ulama besar dari mazhab Hanafi menyatakan,

Terjemahan:

“…dan kerana mengangkat Imam yang agung (Khalifah) itu adalah fardhu tanpa perbezaan pendapat di kalangan ahlul haq, dan ini tidak mengambil kira perbezaan dengan sebahagian golongan Qadariyyah – kerana ijma’ sahabat (ra) atas hal tersebut, serta keperluan mendesak terhadap wujudnya Imam yang agung. Ini adalah perlu agar berlaku keterikatan atas hukum syarak, menyelamatkan orang yang dizalimi dari orang yang menzalimi, memutuskan perselisihan yang membawa kerosakan dan mewujudkan kemaslahatan yang lain yang memang tidak akan terhasil kecuali dengan adanya Imam…” [Imam ‘Alauddin al-Kassani al-Hanafi, Bada’i ash-Shanai’ fi Tartib asy-Syarai’, Juz 9 hal. 83-85].

Imam Umar bin Ali bin Adil al-Hanbali, ulama mazhab Hanbali, juga menyatakan,

Terjemahan:

“…ayat ini (Surah al-Baqarah ayat 30) adalah dalil wajibnya mengangkat Imam dan Khalifah (yang perintahnya) didengari dan ditaati, untuk menyatukan pendapat, serta untuk melaksanakan hukum-hakam tentang Khalifah. Tidak ada perbezaan tentang wajibnya hal tersebut di kalangan para imam kecuali apa yang diriwayatkan dari al-Asham dan orang yang mengikutinya…” [Imam Umar bin Ali bin Adil al-Hambali ad-Dimasyqi, Tafsir al-Lubab fi ‘Ulum al-Kitab, Juz 1, hal 501-503].

Imam Abu Muhammad Ali bin Hazm al-Andalusi adz-Dzahiri dari mazhab Dzahiri menyatakan,

… واتفقوا أن الامامة فرض وانه لا بد من امام حاشا النجدات وأراهم قد حادوا الاجماع وقد تقدمهم واتفقوا انه لا يجوز أن يكون على المسلمين في وقت واحد في جميع الدنيا امامان لا متفقان ولا مفترقان ولا في مكانين ولا في مكان واحد …

“…mereka (para ulama’) sepakat bahawa Imamah (Khilafah) itu fardhu dan adanya Imam (Khalifah) itu merupakan suatu kewajipan, kecuali an-Najdat (dari golongan Khawarij). Pendapat mereka ini (an-Najdat) menyalahi ijma’ dan pembahasan tentang mereka telah dijelaskan sebelumnya. Mereka (para ulama’) sepakat bahawa tidak boleh pada satu waktu di seluruh dunia adanya dua Imam bagi kaum Muslimin baik keduanya sepakat atau tidak, baik keduanya berada di satu tempat atau di dua tempat…” [Imam al-Hafidz Abu Muhammad, Ali bin Hazm al-Andalusi adz-Dzahiri, Maratibul Ijma’, Juz 1 hal 124].

Sesungguhnya masih banyak lagi pendapat ulama yang boleh kami sampaikan di sini jika kami mahu, yang menyatakan bahawa mengangkat seorang Khalifah (sekal gus bermaksud menegakkan Khilafah) adalah satu kewajipan. Namun, cukuplah setakat itu dulu, dan kami ingin mengemukakan di bawah ini pendapat para ulama yang menyebut secara khusus bahawa mengangkat seorang Khalifah itu adalah fardhu kifayah.

(iii) Mengangkat Seorang Khalifah Adalah Fardhu Kifayah

Di dalam Kitab Raudhah ath-Thalibin wa ’Umdah al-Muftin disebutkan:

Terjemahan:

“Sudah menjadi sebuah kewajipan bagi umat untuk memiliki seorang Imam (Khalifah) yang menegakkan agama, menolong Sunnah, menolong orang-orang yang dizalimi, memenuhi hak-hak dan menempatkan hak-hak pada tempatnya. Saya berpendapat bahawa menegakkan Imamah (Khilafah) adalah fardhu kifayah…” [Imam an-Nawawi, Raudhah ath-Thalibin wa ‘Umdah al-Muftin, Juz 10, hal 42-43].

Syeikh al-Islam, Imam Zakaria bin Muhammad bin Ahmad bin Zakaria al-Anshari di dalam Kitab Fath al-Wahab juga menyatakan:

Terjemahan:

(Fasal) tentang syarat-syarat Imam yang agung (Khalifah) serta penjelasan metode pelantikan Imamah, ia merupakan fardhu kifayah sebagaimana peradilan [Imam Zakariya bin Muhammad bin Ahmad bin Zakariya al-Anshari, Fath al-Wahab bi Syarh Minhaj ath-Thulab, Juz 2, hal. 154].

Berkata Imam Abu al-Hasan al-Mirdawi al-Hambali dalam kitab al-Inshaf:

Terjemahan:

“Bab memerangi pemberontak (bughat). Terdapat dua faedah. Pertama, mengangkat Imam itu adalah fardhu kifayah. Dia berkata di dalam al-Furu’: fardhu kifayahlah yang paling tepat” [Imam Abul Hasan Ali bin Sulaiman al-Mardawi al-Hambali, al-Inshaf fi Ma’rifah ar-Rajih min al-Khilaf ala Madzhab al-Imam Ahmad bin Hambal, Juz 10, hal. 310].

Imam al-Bahuti al-Hanafi berkata:

Terjemahan:

“(Mengangkat Imam yang agung itu) atas kaum Muslimin (adalah fardhu kifayah). Ini kerana manusia memerlukan hal tersebut untuk menjaga kemurnian (agama), menjaga konsistensi (agama), menjalankan hudud, menunaikan hak serta amar ma’ruf dan nahi munkar….” [Imam Mansur bin Yunus bin Idris al-Bahuti al-Hanafi, Kasyful Qina’ an Matnil Iqna’, Juz 6 hal. 158].

Dalam kitab Hasyiyyatul Jumal disebutkan:

Terjemahan:

“…dalam syarat Imam yang agung (Khalifah) dan tentang penjelasan metode pelantikan Imamah, mewujudkan Imamah itu adalah fardhu kifayah, sebagaimana pengadilan (syarat Imam mestilah ahli dalam pengadilan). Maka hendaknya dia seorang Muslim, merdeka, mukallaf, adil, lelaki, mujtahid, cerdas, boleh mendengar, melihat dan bijak berbicara, sebagaimana yang terdapat dalam pembahasan tentang pengadilan…” [Hasyiyyatul Jumal, Juz 5, hal 119].

Di dalam kitab Mathalibu Ulin Nuha fi Syarhi Ghayatil Muntaha dinyatakan:

Terjemahan:

“(Dan mengangkat Imam (Khalifah) itu adalah fardhu kifayah) kerana manusia memang memerlukan hal tersebut untuk menjaga kemurnian (agama), memelihara konsistensi (agama), menjalankan hudud, menunaikan hak-hak, dan amar makruf serta nahi mungkar…” [Al-Allamah asy-Syeikh Musthafa bin Sa’ad bin Abduh as-Suyuthi ad-Dimasyqi al-Hambali, Mathalibu Ulin Nuha fi Syarhi Ghayatil Muntaha, Juz 6 hal. 263].

Masih banyak lagi pendapat ulama lainnya dan nescaya tidak akan habis penulisan ini jika kami ingin menukilkan kesemuanya. Jadi, cukuplah setakat ini dulu untuk kami katakan bahawa jumhur ulama Ahlu Sunnah menyatakan bahawa penegakan Khilafah adalah fardhu (wajib). Baik itu fardhu ain atau fardhu kifayah, pokoknya kedua-duanya adalah fardhu. Hanya saja, para ulama membahagikan kategori fardhu itu kepada dua untuk memudahkan kefahaman umat Islam dalam pelaksanaannya. Sebagai sebuah kewajipan, tidak terdapat perbezaan antara fardhu kifayah mahupun fardhu ‘ain di mana kedua-duanya adalah fardhu, meski pun dari sisi pelaksanaannya berbeza.

(iv) Kedudukan Fardhu Kifayah

Kenapa Hizbut Tahrir menyatakan yang selagi tidak tertegak Khilafah, maka seluruh umat Islam berdosa? Pertamanya perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan seluruh umat Islam berdosa itu ialah umat Islam yang berdiam diri, atau yang tidak berusaha untuk menegakkan Khilafah. Dengan kata lain, mereka berdosa kerana mereka tidak berusaha untuk melakukan kewajipan. Ini kerana, menegakkan Khilafah itu adalah fardhu, dan termasuk dalam fardhu kifayah. Maka, siapa sahaja mukallaf yang tidak berusaha menegakkan fardhu kifayah, sudah tentu berdosa. Inilah yang dimaksudkan oleh Hizbut Tahrir.

Ringkasnya siapa sahaja daripada kalangan umat Islam yang tidak menunaikan kewajipan, adalah berdosa, baik itu kewajipan mendirikan solat, puasa, menunaikan zakat, haji dan sebagainya, termasuklah kewajipan mendirikan Khilafah yang telah diterangkan di atas. Maka di manakah salahnya dengan kenyataan ini?

Perkara kedua yang perlu difahami ialah, apabila Hizbut Tahrir menerangkan bahawa tidak menegakkan Khilafah merupakan dosa besar, ini merupakan peringatan dan muhasabah Hizbut Tahrir secara umum kepada umat Islam agar berusaha untuk menunaikan kewajipan ini, kerana Hizbut Tahrir tidak mahu umat ini terus berada dalam keadaan dosa. Ini sebagaimana perintah Allah (swt) kepada Rasulullah (saw), yang juga merupakan perintah kepada umat Islam, bahawa Rasulullah (saw) adalah seorang pemberi khabar gembira dan khabar ancam. Rasulullah (saw) memberi khabar gembira kepada manusia dengan pahala dan syurga apabila mereka melakukan perintah Allah (swt) dan meninggalkan larangan-Nya, dan Rasulullah (saw) memberi khabar ancam kepada manusia dengan dosa dan neraka apabila mereka melanggar perintah dan larangan Allah (swt). Justeru, apa yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir tidak keluar sedikit pun daripada  al-Quran dan as-Sunnah.

Sebagaimana yang kami sebutkan di atas, untuk melenyapkan keraguan JFNJ dalam isu ini, kami berikan pula di sini pendapat beberapa orang ulama mengenai kedudukan fardhu kifayah, yang memperkukuhkan lagi apa yang dikatakan oleh Hizbut Tahrir, bahawa siapa sahaja daripada kalangan umat Islam yang tidak berusaha melakukan fardhu kifayah, maka mereka telah berdosa.

Imam Saifuddin al-Amidi dalam kitab al-Ihkam fii Ushul al-Ahkam menegaskan:

Terjemahan:

“Masalah yang kedua: Tidak ada perbezaan menurut sahabat-sahabat (ulama) kami antara wajib ‘ain dan wajib kifayah dari sudut kewajipan, berdasarkan batas kewajipan untuk kedua-duanya” [Imam Saifuddin al-Amidi, al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam, Juz I hal 100].

Mengenai batas kesempurnaan pelaksanaan fardhu kifayah, Imam asy-Syirazi, dalam kitab al-Luma’ fi Ushul al-Fiqh, menjelaskan:

Terjemahan:

“Apabila terdapat khitab (seruan) dengan lafaz umum, maka termasuk dalam (taklif) seruan tersebut siapa saja yang menerimanya dan perbuatan tersebut tidak gugur atas sebahagian orang kerana perbuatan sebahagian (yang lain), kecuali apabila ada hukum syarak  yang datang di mana Allah menetapkan bahawa khitab tersebut adalah fardhu kifayah; seperti hukum jihad dan mengkafani, menshalatkan dan menguburkan jenazah. Maka apabila kewajipan tersebut telah selesai ditunaikan oleh siapa sahaja yang mampu, maka gugurlah kewajipan tersebut atas yang lain” [Imam asy-Syirazi, al-Luma’ fi Ushul al-Fiqh, hal 108].

Syeikhul Islam Imam al-Hafidz an-Nawawi, dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhadz-dzab menjelaskan:

Terjemahan:

“…dan memandikan jenazah itu adalah fardhu kifayah berdasarkan kesepakatan kaum Muslimin. Makna fardhu kifayah adalah apabila siapa sahaja yang pada dirinya kifayah (berkecukupan untuk melaksanakan kewajipan tersebut) dan dia melaksanakannya, maka ini menggugurkan beban atas yang lain. Namun apabila mereka semua meninggalkan kewajipan tersebut, maka mereka semua berdosa. Ketahuilah bahawa memandikan jenazah, mengkafaninya, menshalatinya serta menguburkannya adalah fardhu kifayah dan tidak ada perbezaan pendapat (dalam hal ini)” [Syeikhul Islam Imam al-Hafidz an-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhadz-dzab, Juz 5, hal 112].

Di sini Imam an-Nawawi menegaskan, apabila fardhu tersebut telah dikerjakan oleh siapa sahaja yang memiliki “kifayah” (kecukupan) maka beban (kewajipan) tersebut gugur atas yang lain. Namun jika semua meninggalkan kewajipan tersebut, semuanya berdosa.

Al-Allamah asy-Syeikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari menegaskan:

Terjemahan:

“Bab Jihad. (Jihad itu adalah fardhu kifayah setiap tahun, meski pun hanya sekali, apabila orang-orang kafir berada di negeri mereka, dan menjadi fardhu ‘ain apabila orang-orang kafir (menyerang) masuk ke negeri kita, sebagaimana yang akan datang (pembahasannya); dan hukum fardhu kifayah itu adalah, apabila ia telah dilakukan oleh siapa saja yang memiliki kecukupan, maka akan gugurlah beban atas orang tersebut dan juga bagi yang lain. Dan berdosa atas setiap orang yang tidak ada uzur baginya dari kaum Muslimin apabila mereka meninggalkannya meskipun mereka jahil [Syeikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari, Fath al-Mu’in, hal 593].

Di sini pemilik Fath al-Mu’in itu menegaskan kembali apa yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi. Beliau menambahkan catatan bahawa kaum Muslimin yang tidak ada uzur, tetapi meninggalkan kewajipan tersebut, maka mereka berdosa.

Justeru, jika kita rangkum penjelasan para ulama’ di atas, fardhu kifayah itu, walaupun tidak semestinya dilakukan oleh semua kaum Muslimin yang mukallaf seperti layaknya fardhu ‘ain, tetapi kewajipan tersebut mesti dilakukan oleh jumlah yang memiliki kecukupan (kifayah). Itu dari aspek yang pertama. Dari aspek yang kedua, kewajipan tersebut akan dianggap telah terlaksana secara sempurna hanya apabila telah sempurna ditunaikan. Contoh kewajipan menguruskan jenazah seorang Muslim yang dibebankan pada suatu komuniti – kewajipan yang sifatnya fardhu kifayah tersebut hanya dikatakan telah selesai dilaksanakan apabila jenazah tersebut telah selesai dimandikan, dikafani, dishalatkan dan dikuburkan. Ketiga, bagi yang meninggalkan fardhu kifayah tanpa uzur, maka ia telah berdosa, kecuali bagi mereka yang bersungguh-sungguh melaksanakannya sahaja yang akan terlepas dari dosa.

Nashbul (melantik) Khalifah, berdasarkan nas dan menurut pendapat para ulama’ yang telah kami sebutkan di atas, adalah fardhu, dan sebahagiannya menyatakan fardhu kifayah. Maka, selama kewajipan tersebut belum tertunai secara sempurna, kewajipan tersebut tetap terbeban atas pundak setiap mukallaf dari seluruh kaum Muslimin, dan meninggalkan kewajipan yang masuk kategori fardhu kifayah tanpa uzur adalah berdosa.

Justeru, sekiranya Khilafah masih belum tertegak, maka seluruh umat Islam (yang tidak berusaha) akan berdosa sehinggalah Khilafah berdiri, barulah dosa-dosa tadi diangkat. Pengecualian (daripada dosa) hanya berlaku ke atas mereka yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendirikannya, walaupun mereka masih belum berjaya. Maka, siapa pun yang berdiam diri, akan berdosa, dan dosa ini berterusan sehinggalah Khilafah telah berjaya didirikan. Apatah lagi jika menghalang pelaksanaan kewajipan ini dengan apa cara sekalipun, maka lagi besarlah dosanya.

Bayangkan apa yang dilakukan oleh anda wahai JFNJ, anda bukan sahaja berdiam diri daripada melakukan kewajipan ini, malah anda menentang perjuangan yang dibawa oleh Hizbut Tahrir untuk mendirikan Khilafah; dan tidak cukup dengan itu, anda telah memfitnah Hizbut Tahrir, lalu menggunakan pihak berkuasa agama yang merupakan rakan-rakan anda, untuk menangkap para anggota Hizbut Tahrir. Tujuan anda tidak lain kecuali ialah untuk berusaha mengheret kami ke mahkamah untuk dijatuhkan hukuman yang anda harapkan; dan apa yang anda harapkan seterusnya ialah untuk menghentikan terus dakwah Hizbut Tahrir! Bayangkanlah betapa besarnya dosa yang anda akan tanggung di sisi Allah (swt)!

(v) Dosa Besar Bagi Mereka Yang Tidak Berusaha Menegakkan Khilafah

Ini merupakan penekanan terakhir kami, kenapa kami katakan bahawa umat Islam yang tidak berusaha menunaikan kewajipan menegakkan Khilafah itu berdosa besar, adalah kerana besarnya kewajipan menegakkan Khilafah itu sendiri.

Imam  Muslim  telah meriwayatkan  melalui  Nafi’, dia berkata, Ibnu  Umar  berkata kepadaku: Aku mendengar Rasulullah (saw) bersabda:

من خلع يداً من طاعة لقي الله يوم القيامة ولا حجة له، ومن مات وليس في عنقه بيعة مات مِيتة جاهلية

“Barang siapa melepaskan  tangan  dari  ketaatan,  maka  dia akan menemui  Allah  pada  hari  kiamat  tanpa memiliki hujah. Dan  barang siapa  mati, sedangkan  di  lehernya  tidak ada bai’at (kepada Khalifah), maka matinya  seperti  kematian  jahiliyah.”

Berkaitan dengan hadis ini, al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalany, dalam Fathul Bari mengatakan:

وَالْمُرَاد بِالْمِيتَةِ الْجَاهِلِيَّة وَهِيَ بِكَسْرِ الْمِيم حَالَة الْمَوْت كَمَوْتِ أَهْل الْجَاهِلِيَّة عَلَى ضَلَال وَلَيْسَ لَهُ إِمَام مُطَاع ، لِأَنَّهُمْ كَانُوا لَا يَعْرِفُونَ ذَلِكَ ، وَلَيْسَ الْمُرَاد أَنَّهُ يَمُوت كَافِرًا بَلْ يَمُوت عَاصِيًا

“Yang dimaksudkan dengan al-mitati al-jahiliyyah – dengan mim dikasroh – (mati dalam keadaan jahiliyyah) adalah keadaan mati seperti matinya orang jahiliyyah yakni di atas kesesatan tidak punya Imam (Khalifah) yang ditaati kerana sesungguhnya mereka dulu tidak tahu yang demikian. Bukanlah yang dimaksud ia mati kafir, bahkan (maksudnya) ia mati dalam keadaan maksiat.”

Al-Hafidz melanjutkan:

وَيَحْتَمِل أَنْ يَكُون التَّشْبِيه عَلَى ظَاهِره وَمَعْنَاهُ أَنَّهُ يَمُوت مِثْل مَوْت الْجَاهِلِيّ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ هُوَ جَاهِلِيًّا

“(Ungkapan al-mitati al-jahiliyyah) mengandung makna tasybih (penyerupaan) atas dzahirnya, yang maknanya dia mati seperti mati jahiliyyah walaupun dia bukan orang jahiliyyah.”

Senada dengan penjelasan di atas adalah penjelasan tentang al-mitati al-jahiliyyah (mati dalam keadaan jahiliyyah) oleh al Hafidz as-Suyuthi dalam Syarh as-Suyuthi ‘ala Muslim (4/459), as-Sindi (wafat 1138 H) dalam Hasyiyah as-Sindi ‘ala an-Nasa’i (7/123), dan Imam Nawawi dalam Syarh Shahih Muslim (12/331).

Terjemahan:

“mata mitatan jahiliyyatan (mati dalam keadaan jahiliyah) dengan mengkasrahkan mim, yakni mati dengan sifat kematiannya orang-orang jahiliyah yang mana mereka berada dalam keadaan kekacauan/kebingungan (kerana) tidak memiliki Imam/Khalifah”

Terjemahan

“(Mitatan) dengan mengkasrahkan “mim” bermaksud keadaan mati (Jahiliyah) yang disifatkan dengan anggapan kematian orang-orang Jahiliyah dan membawa maksud tambahan bahawa mati sebagaimana kematian orang-orang Jahiliyah itu adalah kerana mati dalam keadaan sesat, bukannya mati dalam keadaan kufur…”

Terjemahan:

“man faraqa al-jamaah mata mitatan jahiliyyatan (barang siapa memecah-belahkan kesatuan, mati dalam keadaan jahiliyah) dengan mengkasrahkan mim bermakna (mati dengan) sifat kematiannya orang-orang jahiliyah yang mana mereka berada dalam keadaan kekacauan/kebingungan (kerana) tidak memiliki Imam/Khalifah…”

Tanpa adanya sebuah pemerintahan Islam (Khilafah), hukum syarak telah benar-benar hilang penerapannya satu per satu dan berkembanglah berbagai kemaksiatan sebagaimana yang berlaku hari ini. Sabda Rasulullah (saw):

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ

“Dari Abu Umamah al-Bahili dari Rasulullah (saw) bersabda: ‘Sungguh simpulan Islam akan terurai simpulan demi simpulan (satu per satu). Setiap kali satu simpulan terurai, maka manusia akan berpegang pada simpulan berikutnya. Yang pertama kali terurai adalah pemerintahan, dan yang paling akhir adalah shalat” [HR Ahmad].

Dengan tiadanya Khilafah, hukum Allah (swt) tidak lagi dilaksanakan secara kaffah. Semuanya telah tercabut satu per satu. Apa yang tinggal hanyalah sedikit hukum dalam hal kekeluargaan, perkahwinan, pusaka, zakat dan solat, sedangkan dalam bab pemerintahan, ekonomi, politik, pendidikan, pergaulan (sosial), uqubat, dasar luar, jihad dan lain-lain, semuanya telah hilang. Benarlah sebagaimana sabda Nabi (saw) di atas.

Dengan tiadanya Khilafah, umat Islam telah kehilangan perisainya. Daulah Islam yang dahulunya begitu besar dan merupakan super power dunia, telah terpecah-belah menjadi negeri-negeri yang kecil, lemah dan para pemimpin mereka merupakan boneka kepada kuffar Barat. Umat Islam dibunuh di mana-mana, diperangi habis-habisan oleh puak kuffar, hidup tertindas dan dizalimi di banyak belahan dunia. Sedangkan kemaksiatan semakin marak, jenayah semakin subur, pergaulan bebas dan LGBT semakin berkembang, kes murtad dan penghinaan ke atas Islam semakin menjadi-jadi dan banyak lagi malapetaka lain yang menimpa umat ini akibat ketiadaan Khilafah.

Sedangkan dahulu di bawah naungan Khilafah, umat Islam mengungguli ketamadunan dunia dalam segala bidang, Islam zahir di atas agama-agama yang lain dan rahmat Allah (swt) tersebar ke seluruh penjuru alam. Malah orang-orang kafir dan negara-negara kufur turut mendapat nikmat dan rahmat dengan penerapan hukum Islam.

Begitu pentingnya pemerintahan Islam (Khilafah) telah diungkapkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya, al-Iqtishad fi al-I’tiqad, hal 292-293, sebagai berikut:

Terjemahan:

“Agama dan kekuasaan (Khilafah) adalah ibarat dua saudara kembar…agama adalah asas, sedangkan kekuasaan (Khilafah) adalah penjaga. Sesuatu yang tidak mempunyai asas pasti runtuh. Sesuatu yang tidak mempunyai penjaga pasti akan hilang.”

Atas dasar itu, Hizbut Tahrir sering mengatakan bahawa kewajipan menegakkan Khilafah merupakan tajul furudh (mahkota kewajipan) kerana dengan Khilafahlah seluruh hukum Allah (swt) dapat diterapkan, umat Islam akan kembali hidup dalam kemuliaan dan Islam akan kembali menjadi super power dan menaungi dunia dengan rahmat Allah (swt).

Peri pentingnya untuk umat ini bersatu di bawah seorang Khalifah telah diterangkan oleh Rasulullah (saw) dalam hadis baginda:

مَنْ بَايَعَ إِمَامًا فَأَعْطَاهُ صَفْقَةَ يَدِهِ وَثَمَرَةَ قَلْبِهِ فَلْيُطِعْهُ مَا اسْتَطَاعَ، فَإِنْ جَاءَ آخَرُ يُنَازِعُهُ فَاضْرِبُوا عُنُقَ الآخَرِ

“Siapa saja yang telah membaiat seorang Imam/Khalifah, lalu memberikan huluran tangannya dan buah hatinya, maka hendaklah ia mentaati Khalifah itu semampunya. Kemudian jika datang orang lain yang ingin merebut kekuasaannya, maka penggallah leher orang itu” [HR Muslim].

Sebagai penutup kepada Butiran ini, dan semoga hilanglah keraguan JFNJ dalam hal ini, maka kami kemukakan apa yang telah dikatakan oleh Khalifah kedua umat Islam, Umar al-Khattab (ra) kepada keenam-enam orang calon yang dilantiknya untuk menjadi Khalifah,

Terjemahan:

“Apabila aku meninggal, bermesyuaratlah kalian selama tiga hari. Hendaknya Suhaib yang mengimami shalat orang ramai sehingga janganlah masuk hari keempat, kecuali kalian wajib sudah memiliki seorang amir (Khalifah)…kemudian Umar (ra) berkata kepada Suhaib (ra), “Pimpinlah shalat orang ramai selama tiga hari…jika lima orang telah bersepakat dan meredhai seorang (untuk menjadi Khalifah), lalu ada seorang yang menolak, maka penggallah leher orang yang menolak itu dengan pedang…” [Tarikh ath-Thabari, Juz 4, hal 229].

Begitulah tegasnya kewajipan melantik seorang Khalifah, dan ia wajib dilakukan dalam masa yang tidak boleh melebihi 3 hari, sehingga Umar memerintahkan agar dibunuh sahabat yang tidak bersetuju selepas berlalunya 3 hari.

Sungguh tidak ada apa-apa keraguan lagi tentang kewajipan mengangkat seorang Khalifah (dan besarnya dosa ke atas mereka yang berdiam diri) kecuali mereka yang mempunyai penyakit di dalam hatinya sahaja yang akan ragu-ragu dan akan meragu-ragukan orang lain!

Kesimpulan

Ingin kami tekankan di sini setelah penjelasan kami yang panjang lebar, bahawa, besarnya dosa orang yang tidak berusaha untuk mendirikan Khilafah, ini bukanlah murni pendapat Nabhani atau Hizbut Tahrir…tetapi ini merupakan penjelasan daripada apa yang dikatakan oleh al-Quran, al-Hadis dan ijma’ as-Sahabat. Malah terlalu ramai ulama selain an-Nabhani dan Hizbut Tahrir, yang berpendapat sama seperti Hizbut Tahrir.

Setelah kami mengemukakan segala nas daripada al-Quran, as-Sunnah dan juga Ijma’ as-Sahabat berkenaan kewajipan menegakkan Khilafah, malah kami kemukakan pendapat sebahagian ulama muktabar mengenai pandangan mereka yang kesemuanya mewajibkan pengangkatan seorang Khalifah, dan dosa ke atas mereka yang meninggalkannya, maka sekiranya JFNJ merasakan JFNJ lebih alim dan lebih benar daripada para sahabat dan para ulama tersebut, silakan kemukakan nas anda bahawa Khilafah adalah tidak wajib. Silakan kemukakan nas anda daripada al-Quran, as-Sunnah dan Ijma’ as-Sahabat yang mengharamkan mengangkat seorang Khalifah!

Setelah kami mengemukakan pandangan ulama muktabar daripada kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mewajibkan pengangkatan seorang Imam/Khalifah, maka datangkanlah hujah anda wahai JFNJ daripada kalangan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mengharamkan pelantikan seorang Khalifah dan sekali gus mengharamkan penegakan Khilafah. Ayuh kita sama-sama lihat siapakah yang sebenarnya mengikuti Sunnah dalam hal ini.

Inilah apa yang JFNJ patut lakukan yakni kemukakan hujah kepada kami, dan kemukakan hujah kepada umat Islam berdasarkan nas yang jelas (al-Quran dan as-Sunnah) bahawa mengangkat Khalifah itu hukumnya tidak wajib! Jika JFNJ gagal mengemukakan nas yang mengharamkan pengangkatan seorang Khalifah, maka kemukakanlah nas yang menyatakan bahawa mengangkat seorang Khalifah itu adalah makruh, atau mubah atau sunat, sehingga umat Islam yang tidak melakukannya tidaklah berdosa. Kemukakanlah nas anda wahai JFNJ supaya umat Islam tidak ragu-ragu dengan pendapat anda!