Calon terbaik dalam sistem yang tidak baik
Boleh dikatakan semua parti yang bertanding dalam PRU15 nanti memuji calon masing-masing yang disifatkan sebagai calon terbaik di kawasan yang mereka tandingi. Saban hari ada sahaja pujian ke atas mereka yang dilaporkan oleh media milik mereka.
Umum mengetahui bahawa pujian melambung yang dilontarkan oleh pemimpin parti kepada calon masing-masing adalah untuk tujuan propaganda. Ada sesetengah pujian yang sampai ke tahap menyakitkan jika didengar, khususnya bila calon tersebut sudah dikenal perangai atau diketahui track recordnya oleh rakyat.
Namun, begitulah realiti orang politik sekarang yang sudah tidak tahu malu, apatah lagi di tengah-tengah kehangatan kempen yang masing-masing perlu bekerja keras mengangkat diri sendiri dan parti sendiri untuk mendapatkan undi.
Tanpa menafikan memang terdapat calon yang baik akhlaknya, kaki masjid, suka membantu orang dan sebagainya, namun malangnya mereka bertanding dan bergelumang di dalam sebuah sistem yang tidak baik.
Sistem demokrasi yang diamalkan pada hari ini merupakan sistem kufur yang berasal dari Barat. Sistem ini dibawa oleh kafir penjajah ke tanah jajahannya, termasuk Malaysia, yang dengannyalah mereka (penjajah) berusaha menjauhkan umat Islam daripada sistem dan undang-undang Islam.
Melalui sistem demokrasi, penjajah mengajar umat Islam untuk membuat hukum (undang-undang) sendiri, dengan membelakangkan Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka mengajar umat Islam bahawa halal dan haram itu boleh ditentukan melalui suara majoriti manusia, bukan lagi melalui agama.
Mereka mengajar umat Islam bahawa pilihan raya yang ada dalam sistem demokrasi bertujuan untuk memilih pemimpin, dan hal ini dibenarkan oleh Islam, malah sesuai dengan Islam. Inilah yang mereka zahirkan, dan inilah yang mereka mahu umat Islam fahami dengan sistem demokrasi yang mereka bawa.
Sedangkan mereka menyembunyikan hakikat bahawa sistem demokrasi yang mereka paksakan ke atas umat Islam itu merupakan sebuah sistem yang meletakkan kedaulatan di tangan manusia, yakni sistem yang memberikan kekuasaan kepada manusia untuk membuat hukum dan menentukan halal dan haram.
Justeru, berapa ramai sekalipun calon yang baik dalam pilihan raya, selagi mereka bertanding dan berada dalam sebuah sistem yang buruk, yang bukan datangnya daripada Islam, malah bertentangan dengan Islam, maka ia tidak akan menghasilkan apa-apa kebaikan.
Bukti sudah lama terpampang di depan mata bahawa siapa pun yang menjadi calon, apatah lagi setelah memenangi kerusi, tidak ada seorang pun yang membawa Al-Quran dan As-Sunnah ke dalam Parlimen dan melaungkan kewajipan atas ahli-ahli Parlimen dan pemerintah untuk menerapkannya secara kaffah, menggantikan perlembagaan dan undang-undang penjajah yang sedia ada.
Wallahu a’lam.