Politik suatu yang mulia, namun politik Demokrasi Melemahkan Mahasiswa
Ada yang berpandangan bahawa penglibatan mahasiswa dalam politik akan melemahkan golongan ini. Hakikatnya, penglibatan mahasiswa di dalam politik bukanlah sebab melemahnya golongan tersebut. Namun, apabila mahasiswa terlibat di dalam politik demokrasi, inilah punca utama melemahnya golongan tersebut. Perlu disedari bahawa demokrasi lahir daripada ideologi kapitalisme yang bertentangan dengan akidah Islam. Politik demokrasi secara tabii memiliki kecenderungan untuk mempolarisasikan mahasiswa dan menyebabkan mereka menjadi berpuak-puak. Sebarang keputusan di dalam demokrasi adalah berdasarkan kepada suara majoriti dan ini juga cenderung untuk menimbulkan ketidakadilan kepada golongan mahasiswa minoriti.
Demokrasi ialah sistem pemerintahan rakyat yang bertentangan dengan Islam. Ia lahir daripada ideologi kapitalisme dengan asas memisahkan agama daripada kehidupan, sebagai jalan tengah antara pemerintah dan ahli falsafah Eropah. Dalam era moden hari ini, sumber kuasa dalam demokrasi datangnya daripada rakyat, yang mempunyai kehendak, membuat dan melaksanakan peraturan. Namun dalam Islam, penentuan hukum adalah berdasarkan hukum syariah semata-mata. Oleh itu, nas melarang umat Islam daripada menerima pakai, menerapkan atau menyebarkan sistem demokrasi. Seterusnya, kebebasan individu merupakan asas penting dan nadi utama dalam sistem demokrasi, maka tidak hairanlah apabila semakin ramai mahasiswa melakukan maksiat dan terpengaruh dengan idea-idea rosak dari golongan liberal, LGBT dan lain-lain. Seseorang Muslim tidak dibenarkan berbuat sekehendaknya (berdasarkan akal semata-mata atau hawa nafsu).
Politik demokrasi membawa kepada polarisasi politik, di mana para mahasiswa akan menjadi berpuak-puak dan ekstrem dalam pandangan politik mereka. Ini membawa kepada perpecahan dan diskriminasi. Demokrasi adalah pemerintahan yang didasarkan kepada kehendak majoriti, di mana pemilihan pemimpin dan pembuatan hukum didasarkan pada suara majoriti dan peranan akal manusia dijunjung tinggi. Ini berbeza dengan Islam di mana dalam penetapan hukum syara’ (at-tasyri’), kriterianya langsung tidak bergantung kepada pendapat majoriti atau minoriti, melainkan kepada nas-nas syara’ (nas Al-Qur’an dan As-Sunnah) semata-mata. Ini adalah kerana, yang menjadi Pembuat Hukum (Musyarri/The Law Maker) hanyalah Allah SWT, bukan umat atau rakyat. Penguasa Muslim, atau yang disebut sebagai Khalifah adalah pihak yang mempunyai autoriti untuk melakukan tabanni (adoption/melakukan proses penerapan) hukum syara’. Khalifah tidak wajib meminta pendapat rakyat (melalui apa yang disebut sebagai Majlis Umat) mengenai hukum syara’ yang akan ditabanni, meskipun hal ini boleh dilakukannya. Jika Khalifah meminta pendapat Majlis Umat sekalipun, maka pendapat Majlis Umat tidak mengikat Khalifah, meskipun pendapat itu diputuskan berdasarkan suara majoriti. Dalam Islam, ikatan assabiyyah (chauvinisme) tidak diterima dan umat Islam diperintahkan untuk bersatu atas dasar akidah serta tidak membeza-bezakan antara satu sama lain berdasarkan perbezaan kumpulan, bangsa atau keturunan. Nabi mengajar bahawa umat Islam adalah ibarat satu badan dan mesti bersatu tidak kira samada berbeza dari segi kumpulan, bangsa atau tanah air.
Hakikatnya, adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam termasuklah mahasiswa untuk melakukan aktiviti politik seperti menasihati para penguasa dengan Islam dan mengambil berat mengenai permasalahan umat. Di dalam Islam, aktiviti politik didefinisikan sebagai aktiviti menjaga urusan umat melalui penerapan Islam. Ini berbeza dengan politik demokrasi yang meskipun dijustifikasi sebagai aktiviti untuk menjaga urusan rakyat, namun ia penuh dengan tipu daya dan menjurus kepada perpecahan. Seorang mahasiswa yang memahami tanggungjawabnya sebagai ahli politik sesekali tidak akan mengabaikan pengajiannya, malah dia akan memastikan keseimbangan dalam aktiviti kehidupannya – berpolitik dan serius dalam pengajiannya. Aktiviti berpolitik ini merupakan aktiviti yang cukup mulia dan ia boleh dilihat dari hadis Rasulullah SAW:
“Penghulu para syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutallib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim lalu menasihatinya, kemudian dia dibunuh oleh penguasa tersebut” [HR Hakim].
Hadis yang disebutkan di atas menunjukkan betapa pentingnya umat Islam temasuklah mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti politik, walaupun berhadapan dengan risiko yang besar. Kesimpulannya, adalah penting bagi seseorang mahasiswa untuk sedar bagaimana politik demokrasi sebenarnya melemahkan mereka, seterusnya mahasiswa perlu mengenali kepentingan politik dalam Islam dan berusaha untuk memahaminya dengan mempelajari al-Quran dan Hadis dan mempraktikkannya.