Pelepasan Zahid: Antara kuasa, justifikasi undang-undang dan sistem

Keputusan Jabatan Peguam Negara untuk memberikan status No Further Action (NFA) terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memang sewajarnya dipertikaikan. Apa tidaknya, setelah mahkamah memutuskan terdapat prima facie dan Timbalan Perdana Menteri itu dipanggil untuk membela diri, kemudian dia dilepaskan dan sekarang diberikan NFA pula. Di manakah logiknya semua ini, apa lagi jika dilihat dari segi undang-undang?
Penjelasan Peguam Negara, yang sebelum ini agak lama berdiam diri, menambahkan lagi ‘ketidaklogikan’ terhadap apa yang berlaku. Penjelasannya bahawa keputusan NFA tersebut dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap representasi pembelaan, bukti, fakta kes serta merit undang-undang, termasuk hasil siasatan lanjut oleh SPRM, ini semua dilihat sebagai sebuah justifikasi yang cuba menyembunyikan hakikat sebenar, selain cubaan untuk “memperbodohkan” rakyat dengan alasan-alasan yang diharap akan diterima rakyat.
Persoalannya, adakah Zahid akan diberi NFA jika dia bukan Timbalan Perdana Menteri? Jawapannya sudah terang lagi bersuluh di mata rakyat walau cuba dijustifikasi dengan apa alasan sekali pun. Rakyat sudah lama tahu bahawa di Malaysia ini, “kuasa” adalah segala-galanya. Kuasa boleh “melogikkan” semua perkara yang tidak logik berdasarkan undang-undang. Ia malah boleh melogikkan apa sahaja walaupun akal yang waras tidak dapat menerimanya. Begitulah hakikatnya sebuah kekuasaan.
Sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri (yang sedang berkuasa), siapakah yang akan percaya bahawa apa sahaja keputusan berkaitan dirinya adalah bebas daripada pertimbangan kuasa? Rakyat sudah lama tidak percaya bahawa sistem keadilan di negara ini benar-benar bebas daripada tekanan politik, kerana inilah realiti yang rakyat saksikan sejak sekian lama. Walau pun rakyat tidak mempunyai bukti untuk semua itu, namun rakyat tidak perlu membuktikannya, sebagaimana rakyat tidak perlu membuktikan adanya siang dan malam.
Sudah berapa banyak kes berprofil tinggi di negara ini yang berakhir dengan keputusan yang menguntungkan mereka yang memegang kuasa. Manakala jika melibatkan rakyat jelata yang mencuri setin susu untuk memberi minum kepada anak yang kehausan, biasanya akan berakhir di belakang tirai besi. Pola keadilan dua darjat ini sudah lama menjadi kitaran persembahan untuk rakyat Malaysia.
Apa yang sebahagian rakyat masih kurang sedar ialah bahawa ini merupakan masalah sistemik iaitu sebuah masalah yang berpunca dari sistem pemerintahan negara yang berteraskan ideologi kapitalisme yang sekular. Ia bukan masalah yang berpunca daripada individu semata-mata, atau berpunca dari parti-parti politik tertentu yang korup, tetapi keseluruhan sistem yang mengatur negara ini – yang dipegang oleh mereka yang berkuasa – telah korup dari akar-akarnya. Maka, individu atau parti politik mana pun yang memegang kekuasaan dalam sistem ini, hasilnya tetap sama sahaja.
Rakyat kononnya disajikan dengan pelbagai janji reformasi institusi, oleh individu dan parti yang menganggap dirinya paling bersih dari rasuah. Namun ternyata apabila dia dan partinya berkuasa, reformasi entah ke mana, manakala rasuah terus sahaja berleluasa, malah perasuah diangkat, dipertahankan dan dibebaskan dari segala kesalahan. Inilah hakikat para politikus dalam sistem demokrasi. Sebuah sistem yang buruk tentunya tidak akan menghasilkan seorang pemimpin yang baik, dan seorang pemimpin yang baik tentunya tidak akan terhasil daripada sebuah sistem yang buruk.
Sistem ini telah membuktikan bahawa “kuasa” adalah segala-galanya. Atas dasar itu, kuasa sangat menjadi rebutan, yang lebih penting daripada maruah, malah lebih penting daripada “keimanan” sehingga ramai politikus sanggup “menggadai akidah” demi meraih undi untuk berkuasa. Siapa yang berkuasa bukan sahaja akan kebal dari segala kesalahan, malah segala habuan dunia dapat disapunya. Undang-undang hanya akan terpakai kepadanya hanya apabila dia jatuh dari kerusi kekuasaan, itu pun jika kekuasaan tersebut diambil alih oleh musuhnya.
Bagi rakyat yang celik politik, kes Zahid Hamidi ini, sebagaimana kes-kes elit politik yang lain yang telah dilepaskan begitu sahaja, seharusnya menjadi cermin untuk menilai sejauh mana sistem hari ini benar-benar berpihak kepada kebenaran, atau sekadar mempertahankan struktur kuasa sedia ada. Selagi sistem ini terus dikekalkan, maka ia akan terus melahirkan ramai lagi elit-elit politik yang kebal hukum, dan rakyat akan terus berputih mata, selain menanggung derita yang tidak terkata.
Wallahu a’lam.