Parti baru, politik dan sistem lama, natijah sama


Baru-baru ini, landskap politik negara sekali lagi dihidangkan dengan pengumuman kewujudan sebuah parti politik baru, yang kononnya membawa satu agenda baru untuk rakyat, sebagai alternatif kepada parti-parti yang sedia ada.

Sambutan menggalakkan untuk sesebuah parti yang baru muncul bukanlah suatu yang pelik, dan bukan pula suatu yang perlu dibanggakan. Apabila orang yang menerajui parti ialah seorang tokoh yang sudah dikenali, apatah lagi ada elemen “melawan” pemerintah, maka biasalah untuk parti tersebut mendapat sambutan di peringkat awal.

Lebih-lebih lagi apabila dia merupakan seorang yang berpengaruh dari sebuah parti lama, yang kecewa dengan partinya, lalu membawa diri dengan menubuhkan parti baru, maka tidak menghairankan apabila dia berjaya menarik ramai orang-orang yang kecewa sepertinya, untuk bersamanya.

Sambutan menggalakkan di peringkat awal merupakan suatu yang lumrah, kerana parti baru masih belum ada track record, masih dilihat suci dan bersih. Tambahan lagi, sudah tentu ramai peminat di peringkat awal kerana ramai yang mengintai jawatan kosong yang banyak di peringkat ini. Bagi sesetengah orang, ia bukanlah soal perjuangan sangat, tetapi jawatan, populariti dan pengaruh yang boleh dibina melalui parti baru.

Walaupun kelihatan seperti ada banyak agenda baru yang cuba dibawa oleh parti baru ini, namun realitinya dalam sebuah negara demokrasi, mana-mana parti baru, apabila kemunculannya hanyalah untuk mengabdi kepada demokrasi, maka sesungguhnya tidak ada suatu yang baru pun yang dibawanya.

Amalan politik dalam demokrasi sesungguhnya sama sahaja sejak dulu, tidak pernah berubah dan tidak akan pernah berubah, berapa banyak parti baru yang muncul sekali pun. Selagi semua parti ditubuh dalam kerangka demokrasi, berpolitik dengan cara demokrasi, menjadikan demokrasi sebagai agenda perjuangan, maka apa sahaja agenda yang ditawarkan, ia semuanya merupakan agenda yang sama sebagaimana parti-parti lain, dengan sedikit tambahan perencah di sana-sini sebagai penyedap untuk menarik minat ahli-ahli baru.

Sejak demokrasi mula menguasai negara kaum Muslimin setelah kejatuhan Khilafah, cara berpolitik kesemua parti yang berdaftar dengan demokrasi adalah sama sahaja, termasuklah parti yang melaungkan Islam sebagai perjuangan. Jika parti Islam sendiri sudah terbukti gagal membawa perubahan, apatah lagi menerapkan Islam setelah berkuasa dalam sistem demokrasi, maka apatah lagi parti sekular yang sememangnya tidak pernah menjadikan Islam sebagai agenda perjuangan, dan tidak pernah berjuang untuk merubah sistem.

Politik dalam sistem demokrasi hanyalah politik berdasarkan ajaran dan ikutan penjajah. Ia sarat dengan kekotoran dan kepentingan peribadi atau kelompok. Demikianlah sifat politik Machiavelli. Ia membawa seribu kerosakan, namun para politikus dan parti politik demokrasi sentiasa menabur janji dan mempropagandakan bahawa mereka adalah pembawa perubahan.

Hakikatnya, mereka memperbaiki kerosakan yang mereka cipta sendiri. Mereka bukannya mendatangkan suatu solusi yang baru, kecuali melakukan tambal sulam kepada kerosakan sedia ada yang bersifat sistemik, yang biasanya tidak akan bertahan lama.

Ibarat bahtera usang yang sudah terlalu banyak bocor, maka parti baru menawarkan kepada para penumpang untuk memperbaiki segala kebocoran yang ada, yang kononnya dengan cara itulah para penumpang akan selamat apabila memilih mereka sebagai nakhoda baru. Mereka (dan para penumpang yang tertipu dengan mereka) gagal melihat bahawa bahtera itu sendiri sudah terlalu usang dan tidak layak lagi untuk belayar. Lebih malang apabila para penumpang gagal melihat bahawa orang yang cuba menjadi nakhoda itu hanyalah sebahagian daripada kelompok kitar semula yang telah terbukti merosakkan bahtera sebelum ini.

Sesungguhnya politik baru, lebih-lebih lagi politik Islam, tidak akan terhasil daripada para pejuang demokrasi, apa pun nama parti yang menjadi wadahnya. Politik Islam sama sekali tidak akan terhasil daripada pentas demokrasi. Selagi demokrasi menjadi gelanggang permainannya, maka siapa pun pesilatnya, corak permainannya tetap sama, dan natijahnya tetap sama, kerana semuanya terikat dengan peraturan yang sama. Perubahan hakiki tidak akan pernah berlaku. Apa yang ada ialah kerosakan yang bersilih ganti.

Perubahan mendasar (taghyir) hanya akan berlaku dengan sebuah parti yang ditubuhkan berdasarkan perintah Allah (swt) dan melakukan aktiviti sebagaimana perintah-Nya:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung” [Ali Imran (3): 104].

Inilah tugas, fungsi dan peranan parti politik. Sesebuah parti itu wajib berdiri demi menyeru masyarakat kepada Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Menyeru kepada Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar sudah tentu berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata, bukan berdasarkan sistem, perlembagaan dan undang-undang ciptaan kafir penjajah.

Dalam keadaan tidak ada Negara Islam (Khilafah), maka menjadi satu kewajipan tambahan kepada sesebuah parti untuk mendirikan Khilafah berdasarkan kaedah syarak ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب (suatu kewajipan yang tidak terlaksana kecuali dengan adanya sesuatu, maka sesuatu itu hukumnya wajib). Tegaknya Khilafah yang merupakan sebuah kewajipan sudah tentu tidak akan terlaksana kecuali dengan adanya sebuah parti politik, maka berdasarkan kaedah syarak ini, wajib ada sekurang-kurangnya sebuah parti politik yang berjuang menegakkan Khilafah.

Sesungguhnya kewajipan untuk menegakkan Khilafah merupakan sebuah usaha politik yang wajib dilakukan oleh parti politik, dan usaha ini bukan melalui jalan demokrasi, tetapi jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) sebagaimana baginda menegakkan Daulah Islam Madinah. Inilah satu-satunya jalan perubahan sebenar bagi umat Islam, bukannya perubahan palsu melalui parti politik yang tenggelam dalam kubangan demokrasi ciptaan penjajah.

Wallahu a’lam.