Pentingnya kesedaran politik Islam untuk Islam memerintah

Berdasarkan banci penduduk dan perumahan yang dijalankan pada tahun 2020, daripada 34.2 juta penduduk Malaysia, dari segi komposisi agama, umat Islam mewakili sebanyak 63.5% penduduk, diikuti Buddha 18.7%, Kristian 9.1%, Hindu 6.1%, tiada agama 1.8% dan lain-lain 0.9%. Umum mengetahui bahawa di Tanah Melayu ini, bangsa Melayu sudah sinonim beragama Islam walaupun ada segelintir yang bukan Islam atau murtad.

Dari sudut pemerintahan, daripada keseluruhan 31 jumlah menteri, 20 daripadanya ialah Muslim iaitu mewakili kira-kira 65%. Dengan kata lain, majoriti penduduk negara ini ialah Muslim dan majoriti yang memegang pemerintahan juga adalah Muslim.

Namun, di sebalik jumlah majoriti tersebut, sistem dan undang-undang yang dilaksanakan di negara ini bukanlah Islam sepenuhnya, bahkan sangat sedikit hukum Islam yang dilaksanakan, itu pun hanya dalam ruang lingkup individu seperti perkahwinan, perceraian, pusaka, wasiat dan sebagainya. Negara ini mewarisi sistem dan undang-undang yang datangnya dari kafir penjajah, khususnya British, sebagai penjajah terakhir yang menjajah negara ini sebelum ia memberikan kemerdekaan palsunya pada 31 Ogos 1957.

Sejarah menyaksikan yang umat Islam negara ini amat gembira setelah pemergian British kerana kuasa pemerintahan telah beralih secara langsung kepada penduduk tempatan khususnya Melayu-Islam, walaupun terdapat sebahagian kecil non-Muslim yang turut berada di kerusi pemerintahan. Sejak itu, apa yang ada dalam benak orang-orang Melayu-Islam di negara ini, dan apa yang “ditanam” oleh pemerintah ialah peri pentingnya orang Melayu-Islam berada di pemerintahan, tanpa melihat lagi sistem dan undang-undang apakah yang memerintah.

Di sinilah bukti nyata bahawa kemenangan dan “penjajahan” kafir British ke atas negara ini sebenarnya tidak pernah berhenti, apabila sistem dan undang-undang yang memerintah negara ini, semuanya berasal dari mereka, padahal mereka sudah lama keluar dari tanah ini. Apa yang berubah dan bertukar sejak tahun 1957 hanyalah muka-muka orang yang memerintah, dari muka-muka British ke muka-muka Melayu. Itu sahaja.

Bertitik tolak dari sini, umat Islam di negara ini telah kehilangan kesedaran politik Islam. Umat Islam berjaya didoktrin oleh British bahawa apa yang penting ialah muka-muka Melayu-Islam yang memerintah, bukan sistem dan undang-undang Islam yang memerintah. Umat Islam tidak nampak bahawa tidak cukup dengan hanya sampainya orang Islam ke pemerintahan, tetapi Islam itu sendiri wajib sampai ke pemerintahan.

Hakikatnya, kemenangan Melayu-Islam menduduki pemerintahan sama sekali tidak bermaksud kemenangan Islam. Bahkan, inilah makna sekular yang sebenar apabila agama Islam dipisahkan daripada pemerintahan, walaupun yang memegang tampuk kekuasaan ialah Muslim. Ini semua berpunca daripada kegagalan memahami politik Islam, yang menimpa penduduk Muslim negara ini, sejak merdeka hingga kini. Mereka gagal memahami bahawa tolok ukur keberhasilan politik umat Islam ialah apabila sampainya Islam pada kekuasaan, bukan hanya sekadar berkuasanya orang-orang Islam.

Agama dan Kekuasaan Mesti Seiring

Setiap Muslim mesti memahami bahawa agama dan kekuasaan mesti seiring. Jika hanya orang Islam yang berkuasa, tetapi dia tidak menjadikan agamanya berkuasa, maka dia akan memerintah berdasarkan sistem yang sedia ada, walaupun sistem tersebut bertentangan dengan agamanya.

Apabila sistem yang sedia ada merupakan sebuah sistem yang rosak, maka pemerintahannya akan turut membawa kerosakan. Pemerintahannya bukan sekadar bertentangan dengan Islam, bahkan tidak akan berpihak kepada rakyat, kerana sistem pemerintahan selain Islam adalah sistem yang berdasarkan hawa. Pemegang kuasa yang mencipta sistem tersebut sudah tentu akan memastikan yang sistem (dan undang-undang) yang diciptanya berpihak kepadanya.

Dalam Islam, kekuasaan adalah metode untuk menerapkan Islam. Tanpa kuasa, Islam tidak dapat diterapkan, sebagaimana kedudukan Rasulullah (saw) di Mekah. Setelah hijrah ke Madinah, barulah Islam dapat diterapkan kerana Rasulullah (saw) ketika itu telah mendapat kekuasaan.

Benarlah sebagaimana yang disampaikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali:

الدِّينُ وَالسُّلْطَانُ تَوْأَمَانِ، الدِّينُ أُسٌّ وَالسُّلْطَانُ حَارِسٌ، فَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ

“Agama dan kekuasaan (ibarat) saudara kembar. Agama adalah asas, dan kekuasaan adalah penjaganya. Sesuatu yang tidak asas akan runtuh. Sesuatu yang tidak ada penjaga akan hilang.

Tanpa adanya kekuasaan Islam, keharaman dan kerosakan merajalela. Manusia mengatur manusia lain dengan hawa, bukan dengan agama. Undang-undang dibuat oleh manusia yang berkuasa, yang tentunya bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Pemerintahan dipenuhi dengan manusia yang zalim dan korup, rasuah dan penyelewengan terjadi di sana-sini, kes-kes jenayah tidak pernah terbanteras, bahkan pemerintah sendiri merupakan penjenayah atau menjadi pelindung kepada penjenayah. Sistem ekonomi ribawi, dasar pendidikan yang gagal, kehidupan sosial yang porak-peranda dan segala macam kemungkaran berlaku dalam negara – semuanya kerana Islam tidak menjadi agama yang memerintah.

Semua itu terjadi padahal orang Islam berada di kekuasaan. Demikianlah realitinya apabila Islam tidak memerintah, walaupun orang Islam berada di pemerintahan. Apabila pemerintah tidak menjadikan agama sebagai asas pemerintahannya, maka runtuhlah dan hilanglah segala kebaikan dan keberkatan.

Politikus dan parti politik Islam yang kehilangan idealisme

Kita telah menyaksikan di negara ini dan kebanyakan negara demokrasi di dunia bahawa politikus yang lahir dari sistem yang rosak, biasanya akan turut rosak. Mereka akan larut bersama sistem yang melahirkan mereka. Mereka bukan sahaja sangat jauh dari Islam, malah tidak ada idealisme perjuangan, kerana mereka hanya berjuang untuk meraih kerusi kekuasaan demi menikmati segala habuan duniawi.

Berapa ramai dalam kalangan anggota parti politik Islam sendiri yang tidak ada idealisme perjuangan. Mereka tidak melengkapkan diri mereka dengan ilmu pemerintahan Islam sehingga apabila Allah memberi peluang kepada mereka dengan berada di kerusi pemerintahan, mereka hanya menjadi penerus kepada sistem kufur sedia ada tanpa mampu berbuat apa-apa untuk meninggikan agama Allah.

Boleh dikatakan semua parti politik Islam yang berjuang dalam sistem demokrasi tidak memiliki visi dan misi politik Islam yang jelas dan tegas. Mereka gagal memahami Islam sebagai sebuah ideologi yang lengkap, yang mengatur seluruh aspek kehidupan manusia dan negara, bahkan dunia. Ketiadaan idealisme perjuangan dan kegagalan memahami Islam sebagai ideologi menyebabkan parti-parti Islam turut larut dalam sistem demokrasi yang bukan sahaja telah merosakkan mereka, bahkan merosakkan kefahaman Islam yang ada pada mereka. Mereka seringkali bersifat pragmatis, mengkompromikan Islam dengan sekular dan akhirnya meletakkan Islam di bawah, walaupun mereka melaungkan Islam dalam perjuangan mereka.

Fokus parti-parti Islam dalam demokrasi juga telah jauh tersasar di mana mereka hanya berlumba-lumba untuk berebut kerusi dan menang pilihan raya, bukan lagi berkobar-kobar untuk menerapkan Islam itu sendiri. Segala kekuatan, kewangan, masa dan tenaga mereka dicurahkan dan dikerahkan demi meraih kerusi, yang berulang-ulang kali dilakukan walaupun ternyata tidak mendatangkan apa-apa hasil untuk Islam. Lebih buruk, mereka bekerjasama dengan parti sekular dan parti kafir dan bila menang, mereka berkongsi kuasa dengan puak sekular dan kafir, dengan mengorbankan Islam.

Atas dasar itu, walaupun mereka berjaya berada di kekuasaan, namun Islam tidak pernah berkuasa.

Masalah Sistem (Demokrasi)

Politikus dan parti-parti sekular sudah terkenal membawa perjuangan selain Islam, samada memperjuangkan bangsa, tanah air, kepentingan ekonomi, kaum buruh dan sebagainya. Maka, tidak hairan apabila mereka berkuasa, Islam tidak pernah diterapkan walaupun mereka mengaku Muslim. Bahkan sebahagian mereka sangat menentang penerapan Islam.

Masalah besar yang dihadapi oleh umat Islam ialah apabila parti-parti Islam yang mereka harapkan untuk menerapkan Islam, apabila berjaya meraih takhta, ternyata tidak ada beza sedikit pun dengan parti sekular. Kenapa boleh terjadi demikian? Kerana parti-parti Islam turut terbelenggu, atau lebih tepat sengaja membelenggu diri mereka, dengan sistem demokrasi, sebuah sistem yang sesungguhnya “anti-Islam”.

Oleh kerana itu, kita menyaksikan kegagalan demi kegagalan yang dihadapi oleh parti Islam di seluruh dunia untuk mencapai cita-cita Islam mereka. Orang-orang Islam berjaya duduk di kerusi pemerintahan, namun Islam tidak pernah sampai walau di kaki kerusi sekali pun. Sedar atau tidak, sistem demokrasi yang mereka taati itulah yang merupakan penghalang utama mereka daripada menerapkan Islam. Anehnya, mereka terus memuji dan berharap pada demokrasi.

Sistem demokrasi merupakan sebuah sistem ciptaan Barat yang tidak akan membenarkan Islam dijadikan agama yang memerintah. Ia membenarkan orang Islam memerintah, tetapi tidak agama Islam itu sendiri. Malangnya parti Islam, walaupun sudah mengetahui hal ini, tetap menaruh keyakinan dan harapan kepada sistem kufur ini kononnya boleh dimanfaatkan untuk menerapkan Islam. Atas dasar itu, walaupun telah gagal bahkan ditipu berkali-kali dalam pilihan raya, mereka tetap tidak mahu meninggalkan demokrasi. Sudah puluhan tahun terbukti bahana demokrasi di mana Islam tidak pernah dapat diterapkan, walaupun orang Islam atau parti Islam menguasai negara.

Kesimpulan

Setiap Muslim, lebih-lebih lagi parti politik Islam hendaklah memahami bahawa tujuan dakwah ialah untuk mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah, dan atas dasar itu hendaklah berusaha untuk menjadikan Islam berkuasa, bukan naiknya orang Islam ke kekuasaan semata-mata. Inilah kesedaran politik yang mesti dimiliki oleh orang Islam dan parti politik Islam, yang tanpanya, Islam tidak akan pernah menjadi agama yang mengatur negara. Ingatlah bahawa tanpa kesedaran politik yang benar, dan tanpa pertukaran sistem, Islam selamanya tidak akan memerintah, walau seramai mana, dan walau sesoleh mana pun Muslim yang berada di kerusi pemerintahan.

Wallahu a’lam.