SN150 – POLITIK KUFUR -VS- POLITIK ISLAM

PDF

SN Keluaran 30 November 2007

                      Logo SN

[SN150]
Mutakhir ini banyak perkembangan yang berlaku sama ada di dalam mahupun di luar negeri telah menggugat kedudukan parti pemerintah. Ia juga sekali gus telah membuka mata banyak pihak bahawa ada sesuatu yang ‘tidak kena’ telah berlaku atau sedang berlaku dengan sistem pemerintahan yang ada pada hari ini. Jika dulu rakyat hanya menutup mata dan memendam rasa dengan segala kezaliman dan ketidakadilan parti pemerintah, kini kesedaran rakyat sudah semakin meningkat dan ia telah dimanifestasikan dengan pelbagai cara. Pemerintah pula dilihat semakin tertekan dan terdesak dengan gelombang kesedaran rakyat yang semakin menerpa mereka. Lihat sahaja apa yang berlaku di Pakistan, Myanmar, Indonesia dan tidak terkecuali di negeri orang-orang kafir sekalipun seperti di Amerika sendiri, United Kingdom dan Australia di mana iklim perubahan telah mula melanda. Rakyat sudah semakin nampak dan membenci pemerintah dengan kezaliman, penyelewengan yang mereka lakukan. Di Malaysia contohnya, baru sahaja perhimpunan besar-besaran di adakan pada 10 November lalu, beberapa hari lepas muncul pula perhimpunan yang dianjurkan oleh Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang menuntut keadilan kerana mendakwa mereka selama ini telah ditindas oleh parti pemerintah.

Walaupun terdapat banyak pandangan pro dan kontra dengan apa yang berlaku, namun yang pasti ialah telah muncul satu ‘kesedaran politik’ di kalangan rakyat bahawa terdapat banyak kepincangan dengan orang atau sistem yang ‘menguruskan’ mereka. Kesedaran ini mula muncul apabila rakyat mula merasa bahawa hak-hak mereka selama ini telah dirampas atau tidak ditunaikan oleh pemerintah. Justeru, tidak hairanlah jika di Myanmar, sami-sami Buddha yang selama ini tidak pernah terlibat dalam politik tiba-tiba turun padang dan bukan setakat menyertai, malah mengetuai perhimpunan besar-besaran menuntut perubahan. Jika di kalangan orang-orang kafir sekalipun telah wujud kesedaran ini, apatah lagi kita umat Islam seharusnya mempunyai ‘kesedaran’ yang jauh lebih tinggi. Ini kerana kita sepatutnya sedar bahawa kita wajib ‘diurus’ oleh pemerintah dengan Islam – dengan Al-Quran dan As-Sunah, bukannya dengan sistem taghut (selain Allah). Kita sewajibnya mengetahui apakah hak dan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim/rakyat, dan juga apakah hak dan tanggungjawab pemerintah menurut Al-Quran dan Al-Hadis. Dengan ini barulah kita tahu sama ada kita ‘diatur’ dengan betul (dengan hak) atau dengan batil oleh pemerintah yang ada, dan jika kita diatur dengan bathil, maka wajib pula bagi kita mengetahui apakah kewajipan yang Allah kenakan ke atas kita untuk membetulkan kebatilan ini. Inilah yang dinamakan ‘kesedaran politik’ dan kesedaran ini wajib ada pada umat Islam agar kita semua dapat memastikan satu sama lain hidup hanya dalam keadaan tunduk dan patuh kepada ketentuan Allah dan Rasul. Dengan itu, Insya Allah Sautun Nahdhah kali ini akan mengupas pengertian politik (siyasah) menurut Islam dan mengharapkan agar umat Islam sedar akan tanggungjawab yang wajib mereka mainkan sebagai seorang ahli politik Islam.

Kesalahfahaman Tentang Pengertian Politik

Sejak kemunduran berfikir melanda umat Islam dan setelah jatuhnya Daulah Islam pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), keseluruhan negeri umat Islam telah diperintah dengan sistem sekular yang berasal dari Barat di mana asas/tunjang pemerintahannya adalah memisahkan agama dari kehidupan (faslu din anil hayah). Bermula dari sini, kafir Barat telah berjaya menguasai dan mengawal pemikiran umat Islam bahawa agama dan politik mesti dipisahkan (sebagaimana mereka memisahkannya). Mereka seterusnya mengangkat pemimpin-pemimpin dari kalangan umat Islam yang sepemikiran dengan mereka dan melalui pemimpin-pemimpin inilah, sistem sekular telah diterap dan dipertahankan. Apabila setiap detik dan ketika, rakyat dihidangkan dan dijamu dengan pemikiran-pemikiran kufur ini, sudahnya pemikiran ini berjaya meracuni mereka. Apatah lagi, dengan adanya ‘ulama’ yang digaji oleh pemerintah untuk ‘membenarkan’ segala tindakan mereka, maka keyakinan rakyat akan politik dan agama adalah suatu yang terpisah, semakin kuat. Ulama yang diberi gaji ini akhirnya digunakan habis-habisan oleh pemerintah sekular yang ada untuk menyokong pemerintahan dan undang-undang kufur yang diterapkan. Tugas ulama hanya dipersempit untuk mengeluarkan fatwa terhadap perkara-perkara furu’ (ranting), manakala dalam bab pemerintahan, undang-undang, ekonomi, pendidikan, jihad, dasar luar dan dalam negeri, ‘tugas’ ulama ini hanyalah untuk mengangguk dan mengiyakan apa sahaja yang dilakukan oleh pemerintah. Akhirnya, ulama yang sepatutnya bertugas membetul dan menasihatkan pemerintah dengan Islam, telah berjaya ‘di sekularkan’ oleh pemerintah.

Racun sekular yang telah menular hingga ke urat saraf umat ini menyebabkan wujudnya umat Islam dan jemaah Islam yang tidak mahu terlibat dengan politik kerana beranggapan bahawa agama dan politik adalah dua perkara yang berlainan. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada orang bergelar ulama yang bukan sahaja tidak mahu terlibat dengan politik, malah menyalahkan individu Muslim mahupun gerakan-gerakan Islam yang terlibat dengan politik. Kecelaruan ini timbul disebabkan oleh satu perkara asas, iaitu kerana mereka tidak memahami apakah maksud politik (siyasah) menurut Islam. Hal ini timbul kerana mereka telah sebati hidup dalam lingkaran politik kufur/sekular yang ada sekarang di mana apa yang mereka lihat hanyalah kekotoran dan kejijikan politik yang diamalkan oleh ahli-ahli politik yang ada. Politik, bagi mereka adalah suatu yang kotor manakala Islam adalah suatu yang suci, justeru, bagi mereka Islam tidak sama dengan politik atau perlu dipisahkan dari politik. Memang benar, kita bersetuju jika dikatakan politik (sekarang) adalah kotor dan keji. Kenapa? Kerana politik yang ada sekarang adalah politik kufur – politik yang datangnya dari kafir Barat, politik yang dikuasai oleh orang-orang yang berkiblatkan Barat, politik yang membelakangkan al-Quran dan Sunnah, politik yang dipenuhi dengan penipuan, politik yang dilingkungi ketamakan akan kekayaan dan kerakusan untuk berkuasa, politik di mana seseorang cuba menjatuh dan mengaibkan satu sama lain, politik di mana seseorang suka memfitnah satu sama lain, politik yang dipenuhi dengan rasuah, politik yang membenarkan arak, judi, riba serta pergaulan bebas merajalela, politik yang mana sistem dan undang-undangnya dibuat oleh manusia dan pelbagai kekejian lagi yang ada. Dengan kata lain, politik yang ada sekarang sememangnya kotor dan keji kerana telah memisahkan agama dengan kehidupan.

Dengan segala kamaksiatan yang ada inilah yang menjadikan umat Islam melihat bahawa politik itu kotor dan jijik sehingga ada sebahagian umat Islam yang menolak politik. Memang benar, kita mesti menolak politik kotor ini, kerana ia adalah politik kufur. Tetapi dalam masa yang sama, kita tidak boleh menolak dan hanya membiarkan politik kotor ini terus bermaharajalela dan menguasai kita, bahkan kita wajib menggantikannya dengan politik Islam (siyasah syar’iyyah) yang bersih dan benar. Sesungguhnya inilah apa yang wajib kita lakukan sebagai seorang Muslim. Kita sedih kerana ada ulama yang tahu akan segala kekejian dan kekotoran yang ada dalam politik sekarang, bahkan menolak politik kerana kekotorannya, tetapi ada di antara mereka yang tetap ‘rela dan redha’ dilantik oleh ahli politik dan terus berkhidmat dengan pemerintah dalam sistem politik yang penuh maksiat ini. Walhal apa yang wajib dilakukan oleh para ulama ini adalah ‘membersihkan’ segala kekotoran ini dengan menasihati pemerintah atau ahli-ahli politik yang ada agar kembali mengamalkan politik Islam (siyasah syar’iyyah), bukannya hanya duduk sepejabat atau semeja (dengan pemerintah) dan bergelumang dengan sistem kufur dan politik kufur ini.

Definisi Politik

Terdapat di kalangan umat Islam yang kerana telah dibesarkan dengan sistem pemerintahan sekular yang diwarisi dari British ini, beranggapan bahawa politik adalah pilihan raya dan pilihan raya adalah politik. Pemikiran mereka telah disempitkan sehingga sudah tidak boleh keluar dari pengertian ini. Kemalasan belajar dan mengkaji fiqh Islam menyebabkan mereka ini dilanda kejumudan berfikir yang amat parah, malah lebih parah lagi, mereka sanggup belajar, mengkaji dan mengamalkan politik sekular, tapi tidak sanggup untuk belajar, memahami dan mengamalkan politik Islam. Ada yang terjerumus dengan kesalahan yang fatal bila berani mengatakan bahawa politik tidak ada di dalam Islam atau Islam perlu dipisahkan dari politik. Ada juga yang terkeliru dengan mengakui bahawa ada politik di dalam Islam, tetapi kita tidak perlu mementingkannya. Juga, ada yang bercelaru pemikirannya dengan mengakui bahawa politik adalah sebahagian dari Islam, tetapi dia sendiri tidak mahu terlibat di dalam politik. Sebagaimana dimaklumkan, segala ketidakjelasan dalam berfikir ini wujud kerana mereka tidak memahami apakah maksud siyasah (politik) menurut Islam.

Secara lughah (bahasa), siyasah (politik) berasal dari kata sasa, yasusu, siyasatan yang bererti ‘mengurus kepentingan seseorang’. Perkataan siyasatan menurut pengertian bahasa adalah ‘pemeliharaan/pengurusan’. Dalam kamus Al-Muhits dikatakan – sustu ar-ra’iyata siyasatan, ai amartuha wa nahaituha, ai ra’itu syu’naha bi al-awamir wa an-nawahi (aku memimpin rakyat dengan sungguh-sungguh, atau aku memerintah dan melarangnya, atau aku mengurusi urusan-urusan mereka dengan perintah-perintah dan larangan-larangan). Ini dari segi bahasa. Adapun maksud siyasah menurut istilah/syara’ adalah ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan (mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri) [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur]. Pengertian ini diambil dari beberapa hadis di mana Rasulullah saw menggunakan lafaz ‘siyasah’ untuk menunjukkan maksud pengurusan/pemeliharaan urusan umat, antaranya hadis riwayat Bukhari dan Muslim,

“Adalah Bani Israel dahulu yang mengatur urusan mereka adalah nabi-nabi (tasusuhum al-anbiya’). Bila wafat seorang Nabi, maka diganti dengan Nabi yang berikutnya. Sesungguhnya tidak akan ada lagi Nabi sesudahku tetapi akan ada Khulafa’ dan jumlahnya banyak. Para sahabat bertanya, ‘Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami?’ Nabi bersabda, ‘Penuhilah ba’iat yang pertama, yang pertama sahaja, berikanlah kepada mereka hak mereka. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa saja yang mereka urus/pelihara.”

Berkenaan lafaz tasusuhum al-anbiya’, Ibn Hajar al-‘Ashqalani berkata, “Dalam hal ini terdapat isyarat bahawa harus ada bagi rakyat, orang yang mengatur urusan mereka, membimbing mereka ke jalan yang baik, dan memberikan keadilan kepada orang yang dizalimi dari orang yang zalim.” [Fath al-Bari, VI/497] Menurut Imam As-Suyuthi pula, tasusuhum bermaksud “yang menjalankan urusan mereka” [As-Suyuthi, ad-Dibaj, IV/456]. Dan menurut Imam an-Nawawi, tasusuhum bererti “yang menangani urusan mereka sebagaimana para amir dan wali menangani urusan rakyat.” [Imam an-Nawawi, Sahih Muslim bi Syarh an-Nawawi, XII/231-232]. Justeru, hadis ini menjelaskan makna as-siyasah (politik). Secara bahasa, kata sasa-yasusu-siyasah juga boleh membawa makna ra’a syu’unahu (memelihara urusan-urusannya). Dengan kata lain, as-siyasah (politik) maknanya adalah ri’ayah syu’un al-ummah (pengaturan dan pemeliharaan urusan-urusan umat). Inilah pengertian politik menurut Islam, yang mana berdasarkan hadis ini, semua nabi, termasuk Nabi Muhammad saw menjalankan peranan politik mereka sebagai pengurus, pengatur, dan pemelihara urusan umat. Dan peranan politik (mengatur urusan umat) ini dengan jelas akan diambil alih pula oleh para Khalifah yang sekali gus menjelaskan bahawa pemimpin/pengurus umat Islam (untuk seluruh dunia) setelah Rasulullah adalah Khalifah, yang akan mengurusi/memelihara kepentingan umat Islam.

Dari pengertian politik ini, tidak hairanlah jika ada ulama menekankan bahawa politik dan agama adalah ibarat dua saudara kembar [Lihat: Imam al-Ghazali, Al-Iqtishad fî al-I‘tiqad, hlm. 199]. Dikatakan juga, “Jika kekuasaan (as-sulthan) terpisah dari agama atau jika agama terpisah dari kekuasaan, nescaya keadaan manusia akan rosak” [Lihat: Ibn Taimiyah, Majmu‘ al-Fatawa, 28/394]. Ulama-ulama yang ikhlas, baik yang salaf mahupun yang khalaf memahami pengertian politik dari perspektif ini dan mereka adalah golongan yang selalu melakukan amar ma’ruf nahi mungkar terhadap pemerintah sehingga ada yang dipenjarakan dan dibunuh. Keadaan ini jauh berbeza dengan kedudukan ulama sekarang di mana ada yang menolak politik, ada pula yang memahami dan mengambil politik ala sekular dan ada pula yang bersekongkol dengan pemerintah sekular dan menyalahkan gerakan Islam yang melakukan aktiviti politik memuhasabah pemerintah.

Berdasarkan maksud politik (siyasah) menurut Islam, maka adalah jelas bagi kita bahawa mengurus/memelihara (ambil peduli) tentang urusan umat Islam adalah tanggungjawab politik yang dibebankan oleh Allah swt ke atas bahu pemerintah. Ini sesuai dengan sabda Nabi saw bahawa,

“Imam (pemimpin) itu pemelihara dan dia bertanggungjawab di atas orang yang dipelihara (rakyat)nya”
[HR Muslim].

Memelihara rakyat bermaksud mengambil berat tentang kepentingan-kepentingan rakyat yakni menunaikan segala hak dan kewajipan rakyat mengikut ketentuan yang telah Allah perintahkan ke atas mereka. Bagi setiap individu Muslim dan gerakan Islam pula, mereka juga wajib berpolitik dengan maksud wajib ke atas mereka memerhatikan urusan atau kepentingan umat Islam. Wajib bagi mereka memastikan bahawa mereka ‘diatur’ (oleh pemerintah) dengan hukum-hakam Islam dan wajib pula bagi mereka memuhasabah pemerintah sekiranya pemerintah tidak menerapkan hukum Islam ataupun mengabaikan kemaslahatan kaum Muslimin. Dalam hal ini, Allah swt telah mewajibkan adanya segolongan (jemaah/gerakan) dari kalangan umat Islam agar mengajak manusia kepada Islam dan melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Firman Allah,

“Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (Islam), dan menyuruh kepada yang ma’ruf serta mencegah dari yang mungkar dan mereka itulah orang-orang yang menang.” [TMQ Ali Imran (3):104].

Inilah tanggungjawab politik umat Islam yang telah diwajibkan oleh Allah swt. Peri pentingnya muhasabah dari rakyat kepada pemerintah yang zalim, yang tidak menerapkan Islam sehingga Allah dan RasulNya meletakkan satu darjat yang tinggi kepada mereka yang melakukan aktiviti politik (muhasabah) ini, dengan status sebagai sayid asy-syuhada (penghulu para syahid). Sabda Nabi saw,

“Penghulu syuhada adalah Hamzah ibn Abi Thalib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang jahat/zalim, lalu menyerunya berbuat baik dan mencegahnya berbuat mungkar, kemudian ia dibunuh (oleh penguasa tersebut)” [HR Hakim].

Rasulullah adalah Ahli Politik

Sesungguhnya amat salahlah orang yang mencontohi Rasulullah hanya dalam bidang akidah, ibadat dan akhlak semata-mata. Sesungguhnya amat naiflah pandangan orang yang tidak mahu terlibat dengan politik dan hanya mementingkan soal akidah dan ibadat sahaja. Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah adalah uswatun hasanah bagi kita di dalam semua perkara, bukan hanya akidah, ibadat atau akhlak semata-mata? Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah adalah seorang ahli ekonomi dan ahli politik yang agung? Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah merupakan seorang pemimpin sebuah kutlah (kelompok/gerakan) Islam (semasa di Mekah) dan baginda adalah Ketua Negara Islam (semasa di Madinah) dan sekali gus merupakan seorang pemimpin dunia Islam? Adakah sebagai seorang pemimpin sebuah kutlah, Rasulullah bukan ahli politik? Adakah sebagai seorang pemimpin negara dan pemimpin dunia, Rasulullah bukan ahli politik? Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah mengajak manusia kepada (agama) Islam dan dalam masa yang sama melakukan aktiviti politik di dalam dakwahnya, baik di Mekah mahupun di Madinah? Tidakkah mereka sedar akan hadis Rasulullah yang masyhur (semasa Rasulullah masih di Mekah),

Demi Allah, andaikata mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, agar aku meninggalkan urusan (dakwah) ini, hinggalah Allah benar-benar memenangkanku atau aku hancur bersamanya, sekali-kali tidak akan aku tinggalkan.” [HR At-Thabari].

Hadis ini sebenarnya agak panjang di mana pada awalnya orang kafir Quraisy sudah tidak tahan dengan dakwah Rasul yang meremeh-remehkan akidah dan kepercayaan mereka, mencaci sembahan-sembahan mereka dan ‘menghentam’ segala bentuk ‘sistem kufur’ yang mereka amalkan. Kafir Quraisy tahu dan memahami bahawa apa yang Rasulullah inginkan ialah sebuah kekuasaan/negara di mana sistem Islam dan hukum Allah boleh diterapkan di dalamnya. Atas sebab inilah mereka cuba menawarkan atau memberi kuasa kepada Rasulullah, cuma dengan syarat Rasulullah mesti meninggalkan dakwah baginda. Jadi, apakah dakwah Rasulullah yang ‘menghentam’ akidah, pemerintahan dan sistem kufur yang ada ini bukan dakwah yang bersifat politik? Apakah usaha Rasulullah untuk mendapatkan kekuasaan/negara (untuk menerapkan hukum Allah) ini, bukan aktiviti yang bersifat politik? Hadis ini (dan banyak lagi hadis lainnya) sebenarnya dengan jelas menunjukkan bahawa aktiviti dakwah yang Rasulullah lakukan adalah berbentuk politik. Hadis ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah tidak pernah kompromi atau tunduk kepada orang-orang kafir (apatah lagi bersekongkol dengan pemerintah dan sistem kufur) di dalam aktiviti dakwah/politik baginda. Walhal jika difikirkan secara logik, adalah lebih baik Rasulullah menerima sahaja tawaran kuasa yang diberikan oleh orang kafir Quraisy, kemudian baginda bolehlah merubah sistem yang ada setelah baginda berkuasa. Namun, hal ini samasekali tidak dilakukan oleh baginda Rasul kerana Islam wajib dimenangkan di atas kekufuran, bukannya disatukan atau dikompromikan dengan kekufuran. Di dalam dakwah dan aktiviti politik untuk mendapatkan kekuasaan, bukan maslahat/manfaat dunia yang diambil kira oleh Rasul, tetapi kepatuhan kepada perintah Allah dan keredhaanNya sahajalah yang dicari.

Mengatakan Rasulullah berdakwah hanya dari segi akidah, ibadah atau akhlak sahaja tanpa mengaitkannya dengan siyasah/politik (mengurus urusan umat) adalah menyalahi al-Quran itu sendiri. Adalah suatu yang amat dangkal apabila seseorang itu hanya mementingkan aspek akidah tetapi tidak mementingkan aspek siyasah (yang merupakan sebahagian dari hukum syara’). Ini kerana terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh tentang aspek siyasah/politik di dalam dakwah Rasul walaupun ketika itu masih di peringkat awal dakwah (di Mekah). Malah, terdapat ayat-ayat Al-Quran (semasa di Mekah) yang membincangkan (dan ada yang diturunkan kerana) hal-hal politik yang sedang berlaku (contohnya Surah ar-Rum). Ini belum lagi mengambil kira ayat-ayat Madaniyah yang begitu banyak menyentuh tentang politik. Rasulullah di peringkat awal dakwah lagi telah diperintah oleh Allah agar melakukan aktiviti siyasah dengan melaknat sistem kufur yang dipraktikkan dan membetulkan sistem tersebut. Firman Allah,

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka minta dipenuhi dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.” [TMQ al-Muthaffifin (83):1-3].

Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makan orang miskin.” [TMQ al-Ma’un (107):1-3].

Ayat yang pertama di atas adalah ‘menghentam’ sistem ekonomi yang diamalkan oleh kafir Quraisy yang suka menipu dan ayat yang kedua pula ‘menghentam’ (celaan Allah ke atas) pembesar/pemerintah Mekah yang suka mengherdik anak yatim dan tidak mempedulikan orang-orang miskin di kalangan mereka. Ayat-ayat ini dan banyak lagi ayat lainnya di mana Allah mengajar Rasulullah (dan orang-orang yang beriman) bagaimanakah aktiviti dakwah siyasah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pendakwah, bukan hanya dakwah dari segi akidah sahaja, walaupun di peringkat awal dakwah. Jadi, dalam keadaan sekarang pun samalah kedudukannya di mana kita sedang dilingkari oleh sistem yang rosak, maka adalah menjadi kewajipan atas kita untuk menghentam sistem yang rosak ini dan berusaha menggantikannya dengan sistem Islam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Dalam pada kita yakin bahawa Allah itu Esa, dalam masa yang sama kita wajib menyeru (tidak memaksa) orang kafir menyembah Allah Yang Esa; dalam pada kita yakin al-Quran adalah Kalamullah, kita dalam masa yang sama wajib solat dan menegur saudara kita yang tidak bersolat, wajib meninggalkan riba dan menegur saudara kita yang mengambil riba; dalam pada kita yakin Rasulullah adalah penutup para Rasul, kita dalam masa yang sama wajib memuhasabah pemerintah yang tidak mengikut perintah Rasulullah; dalam pada kita beriman dengan qadha’ dan qadar, kita juga wajib melakukan amar ma’ruf nahi mungkar; dalam pada kita yakin adanya syaithan dan taghut, dalam masa yang sama kita diharamkan berdiam diri dengan sistem taghut yang ada; dalam pada kita yakin Daulah Khilafah akan tegak semula dengan izin Allah, kita dalam masa yang sama wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan Khilafah. Saudaraku sekalian! Inilah kaitan antara akidah dan siyasah. Kesempurnaan iman itu adalah apabila kita mengambil dan mengamalkan Islam itu di dalam semua aspek dan bukannya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian. Apabila seseorang itu telah masuk Islam melalui pintu tauhid, maka wajiblah baginya untuk menyempurnakan ajaran Islam dengan memasuki pintu ibadah, pintu politik, pintu ekonomi, pintu pendidikan, pintu uqubat, pintu jihad dan semua pintu-pintu lain yang ada. Wallahu ‘alam.