[NF126] Kesabaran Ibu Membawa ke Syurga

Oleh: Hamimah Karmidi

Muqaddimah

Anak adalah anugerah terindah daripada Allah SWT kepada ibu bapa. Setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT seperti dalam firmanNya, Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu..[TMQ al-Isra(17): 31]

Ujian Kesabaran Para Ibu

Tidak dinafikan bahawa tanggungjawab menjaga amanah Allah SWT ini memerlukan kesabaran.  Tambahan pula jika anak ini dilahirkan istimewa seperti anak kelainan upaya (oku), atau anak yang mempunyai penyakit kronik yang perlu dipantau rapi sepanjang masa. Sememangnya ini adalah tugas yang lebih mencabar dan memerlukan tingkat kesabaran yang sangat tinggi berbanding ibu bapa lain.

Mereka perlu memahami bahawa ini merupakan salah satu ujian Allah SWT kepada hambaNya. FirmanNya, Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian)?[TMQ al-Ankabut (29): 2].

Ibu yang menjaga anak istimewa ini perlu sentiasa bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian Allah SWT dengan sentiasa mengadu dan bergantung harap kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, Tidak ada suatu rezeki pun yang Allah berikan kepada seseorang hamba yang lebih luas baginya daripada sabar[HR Al-Hakim].

Teladan Sosok Ibu Hebat

Cabaran dan dugaan menjaga anak istimewa ataupun anak berkeperluan khas bukan hanya dialami oleh para ibu pada era ini sahaja. Jika ditelusuri sejarah Islam, dapat ditemui sosok seorang ibu yang hebat kerana mempunyai tingkat kesabaran yang sangat tinggi dalam menghadapi ujian Allah SWT yang boleh dijadikan teladan serta panduan. Antaranya adalah ibu kepada ilmuwan tersohor iaitu ibu Imam al-Bukhari. Imam al-Bukhari telah dibesarkan oleh ibunya dalam keadaan yatim kerana ayahnya telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi.

Mengikut sejarawan Islam, terjadi sesuatu yang menakjubkan kepada Imam al-Bukhari ketika beliau kecil. Beliau mengalami masalah penglihatan sehingga buta. Ibu beliau tidak pernah berputus asa dan bersabar dalam mendoakan beliau di sepertiga malam sehingga pada suatu malam ibunya bermimpi bertemu dengan Nabi Ibrahim Al-Khalil AS yang berkata kepadanya, Wahai ibu, Allah SWT telah mengembalikan penglihatan anakmu kerana banyak tangisan dan doamu.Ahmad bin Al-Fadlal Al-Bakhi perawi kisah ini berkata, Paginya kami mendapati Allah telah mengembalikan penglihatannya.

Anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada al-Bukhari berupa ilmu dan pengalaman, rezeki beliau berupa hadis dan adab serta kejadian yang dialami oleh beliau ketika kecil yang tidak dijangkau oleh akal yang waras adalah berkat daripada doa seorang ibu tanpa mengenal putus asa. Ibunya dengan rendah diri menadah tangan dan berdoa dengan sepenuh hati, menangis dan mengetuk pintu RabbNya sehinggalah Allah mengabulkan doanya. Daripada kisah ini, boleh dipelajari bahawa doa yang berterusan dengan penuh pengharapan dan sabar dalam menghadapi dugaan adalah senjata yang paling utuh.

Peranan Negara dalam Membantu Meringankan Beban Ibu

Islam sangat menjaga golongan anak istimewa atau anak berkeperluan khas ini. Pelaksanaan tanggungjawab negara terhadap mereka adalah sama seperti warganegara secara umumnya iaitu memastikan keperluan asas mereka dipenuhi. Mereka diberi perkhidmatan pendidikan serta rawatan perubatan yang lengkap dan canggih secara percuma. Dalam memenuhi keperluan asas mereka, sekiranya seorang bapa tidak berkemampuan, maka kaum kerabat yang mempunyai hubungan waris kepada anak ini diwajibkan membantu. Firman Allah SWT,

Dan kewajipan ayah memberi makanan dan pakaian kepada para ibu dengan cara makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kemampuannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan waris juga berkewajipan demikian [TMQ al-Baqarah (2): 233].

Sekiranya mereka pun tidak berkemampuan, barulah kewajipan itu berpindah kepada Baitul Mal (perbendaharaan negara) melalui agihan zakat. Sabda Rasulullah SAW, Siapa sahaja yang meninggalkan harta, maka harta itu menjadi hak para ahli warisnya. Siapa sahaja yang meninggalkan orang yang lemah, maka ia menjadi kewajipan kami[HR Muslim]. Jika Baitul Mal kekurangan dana, maka negara perlu menanggung mereka melalui dana lain sehingga kehabisan harta Baitul Mal. Akhir sekali, jika Baitul Mal sudah ketiadaan harta sama sekali, maka kewajipan tersebut akan beralih kepada seluruh umat Islam. Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman: Tidaklah beriman kepadaKu sesiapa sahaja yang tidur kekenyangan, sedangkan tetangga di sampingnya kelaparan, sementara dia mengetahuinya[HR al-Bazzar].

Di sini jelas bahawa Islam tidak pernah membebankan para ibu terutamanya daripada segi kewangan. Anak ini akan dibantu daripada segenap sudut oleh negara (Khilafah). Di samping itu, para ibu dapat melaksanakan tugas sebagai seorang isteri dan menjadi anggota masyarakat terutama dalam berdakwah kepada umat.

Selain itu, Islam turut memastikan si ayah turut bersama dalam melaksanakan tugas menjaga anak, mengurangkan beban dan tekanan ibu dengan membantu para isteri dengan cara yang makruf. Allah SWT memerintahkan kepada suami agar bergaul secara makruf atau berbuat baik dengan isterinya. Firman Allah SWT, Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.[TMQ al-Baqarah (2): 228].

Khatimah

Sebagai ibu, sudah tentu akan keletihan dan juga bersedih memikirkan keadaan anak, tetapi pujuklah hati untuk bersabar dan tenang dengan sepenuh pengharapan pada Allah SWT. Mungkin dengan kepenatan menguruskan rumah tangga, suami dan juga anak memberikan para ibu ganjaran terbaik iaitu syurga Allah. Firman Allah SWT, Harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar. [TMQ Al-Anfal (8): 28].

Ujian ini turut menjadi penghalang ibu daripada seksa neraka. Sabda Rasulullah SAW, Barangsiapa yang mendapat ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian ia berbuat baik kepada mereka, maka anak-anaknya akan menjadi penghalang baginya dari seksa neraka.[HR. Bukhari-Muslim dan Tirmidzi].

Rujukan :

  1. https://muslimahnews.net : Memberdayakan Difabel, Bukan Mengeksploitasi
  2. https://mykhilafah.com/kelahiran-setiap-anak-membawa-berkah/
  3. https://muslimahhtm.com/2022/05/26/berkongsi-peranan-dalam-rumah-tangga-bagaimana-tuntunan-islam/
  4. https://muslimahhtm.com/2022/04/02/ramadhan-bersama-keluarga-maksimakan-peranan-ibu/
  5. https://muslimahhtm.com/2023/04/12/kemuliaan-wanita/
  6. https://muslimahhtm.com/2021/12/29/menjadi-ibu-tunggal-yang-berwibawa/
  7. https://mykhilafah.com/generasi-dambaan-lahir-dari-ibu-yang-hebat/
  8. https://www.ambiummusalman.com/kisah-ibunda-imam-al-bukhari/ (rujukan luar)
  9. https://mykhilafah.com/sn560-bagaimana-islam-mengatasi-masalah-kemiskinan/